Pusat Pelancongan Seaverse  di Songkla, Thailand


SELAMA dua tahun lebih kita merasakan bagaimana sengsaranya hidup apabila pergerakan disekat, perlu berpelitup muka dan membawa Mysejahtera ke mana sahaja kita bergerak. 

Pandemik Covid-19 merenjat terus aktiviti  percutian sehingga banyak perniagaan bertukar pemilik atau ditamatkan kerana kos operasi yang ditanggung sangat tinggi tanpa pulangan perniagaan. 

Kini ia kembali bernyawa sambil pemain industri mencari rentak normalisasi.

Bagi industri yang bergantung kepada pergerakan fizikal sebagai aktiviti teras, seperti pelancongan, banyak urusan perniagaan dijalankan di platform digital dengan adaptasi sistem yang terbina dengan sendirinya sebagai solusi alternatif. 


Sebahagian produk seni kraf komuniti Muslim Pathalung, Thailand dipasarkan di Pusat Pelancongan Seaverse, Songkla. 


Kini pasaran mula positif apabila operator hotel dan agensi pelancongan merancakkan semula percutian dengan promosi pakej-pakej ekonomi untuk jarak dekat dan jangka masa pendek di samping pakej jarak jauh.

Pakej-pakej bajet ini tidak memberi impak perolehan yang besar namun ia meransang semula aktiviti percutian dalam dan luar negara. 

Antara agensi pelancongan tempatan yang kembali mempromosikan pakej-pakej dalam dan luar negara ialah Kopetro Travel and Tours, anak syarikat Koperasi Petronas yang berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam industri percutian dan pengembaraan ini. 

Walaupun permintaan di pasaran masih perlahan namun ia memberi petunjuk positif akan kembali ke tahap sebelum pandemik Covid-19 sekurang-kurangnya. 


Zulhairi Abu Bakar


Sasaran jualan diletak agak sederhana seperti kata Eksekutif Jualan Kopetro Travel, Zulhairi Abu Bakar, pemain industri keseluruhannya berhati-hati dan memantau perkembangan terkini pada peringkat global dan bersedia menghadapi ketidaktentuan pasaran sekiranya tercetus krisis luar jangka. 

Selain mempromosikan pakej-pakej menarik di luar negara dan destinasi ASEAN melaui kempen Jom Cuti Sakan yang menawarkan hadiah menarik berupa pakej-pakej percutian ke luar negara, Kopetro menyediakan percutian bajet sederhana untuk mereka yang ingin bercuti ke Thailand bagi tempoh singkat melalui jalan darat. 

Pakej ini menurut Zulhairi, mendapat sambutan baik sewaktu diperkenal sebelum C-19 dan kini ia diberi ransangan semula untuk mencapai sasaran pra pandemik termasuk membuat 'engagement' dengan influencers (pempengaruh). 

Pendekatan dan strategi pemasaran juga dipelbagaikan seperti mewujudkan rangkaian kerjasama yang lebih luas pada peringkat rantau dan global sebagai rakan bijak niaga. 

Pendedahan kepada aplikasi dalam talian bagi tempahan dan transaksi perniagaan menjadi lebih pantas dan mudah. 

Promosi berjalan pada pelbagai platform komunikasi arus utama, media sosial seperti TikTok, IG, YouTube dan Facebook serta influencers dan bloggers bagi mendekati sasaran audiens yang lebih fokus, jelasnya. 


Rosidah Carree


 Begitu juga strategi pemain industri di Thailand, antaranya Gemilang Travel and Tours yang berpangkalan di Hat Yai, Songkla. 

Menurut Pengurusnya, Rosidah Carree, Selatan Thailand tetap menjadi destinasi jarak dekat popular kepada tetamu dari Malaysia. 

Selain Phuket dan Koh Samui, Krabi juga menjadi pilihan pecuti santai yang inginkan keindahan pulau peranginan, pilihan makanan halal dan perkhidmatan percutian hotel patuh syariah. 

Beliau juga menjalankan perniagaan sutera Thai kepada pelancong ke Songkla di kedai Sutera serta Hijab Eksklusif dan tudung Rosecarree Gallery sebagai cabang promosi produk Thailand selain menawarkan pakej-pakej domestik, perkhidmatan sewa kereta dan percutian ke seluruh negara. 

Beliau yakin industri pelancongan akan kembali cergas dan meriah dalam masa terdekat jika ekonomi global kembali pulih sepenuhnya. - KitaReporters


Pusat Pelancongan Seaverse dengan keunikan struktur seni binaan  daripada buluh yang kreatif dan kontemporari. 

17
13
0
14
0

Copy Link: