TAIPING Bird Week atau Minggu Unggas Taiping 2024 (TBW 2024) yang dianjurkan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) kali ini agak istimewa kerana ia serentak dengan sambutan 150 tahun Bandar Warisan itu, sekali gus membolehkan orang ramai meraikan dua acara serentak.

Memasuki edisi ke-5 sejak kali pertama diadakan pada 2017, Taiping Bird Week 2024 akan membuka gelanggang pada 13 hingga 15 Disember 2024. Ia akan mempromosi Taiping khususnya dan Perak amnya dalam bidang ekotourism (ekopelancongan) dan avitourism (avipelancongan atau pelancongan unggas) kepada pelancong di dalam dan luar negara.

Ini sekali gus menjadikan bandar Taiping dan Perak sebagai destinasi yang unggul dan wajib dilawati kepada mereka yang meminati spesies unggas terutama ketika musim burung hijrah dari Mac hingga Oktober setiap tahun. 

Gambar arkib... Peserta Taiping Bird Race 2023 bergambar kenangan bersama Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah


Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr Muhamad Ridhwan Affendi, berkata selain menjadi acara pelancongan, Taiping Bird Week 2024 juga bagi memperkenal kepada pengunjung pelbagai spesies burung di Daerah Larut dan Matang selain peminat burung mengkaji dan merekod pangkalan data habitat unggas di bandar tertua di Malaysia itu.

Beliau berkata, TBW 2024 mendapat sokongan kerajaan negeri Perak, Tourism Perak dan Tourism Malaysia. Ia menerima penyertaan bukan sahaja daripada peminat burung dalam negeri tapi juga dari luar negara antaranya Singapura, Taiwan, , Sri Lanka, dan Thailand. 

"Perkembangan itu menjadikan Taiping antara destinasi tarikan pelancong terutama dalam kalangan "birder" bagi  melihat pelbagai spesies burung popular di negara ini. 

"Acara seumpana ini berjaya membuka mata orang ramai, khususnya peminat burung untuk melihat pelbagai spesies burung melalui acara "bird watching" (mengkaji burung),"bird race" (perlumbaan burung) dan pertandingan fotografi burung," katanya dalam sesi temu bual bersama Radio Perakfm.


Dr Muhamad Ridhwan Affendi


Seperti kebiasaannya, acara pameran pelbagai spesies burung di Taiping akan diadakan bermula 13 hingga 15 Disember 2024 di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari. Inilah peluang orang ramai melihat habitat unggas yang ada di daerah Larut dan Matang selain sekitar bandar warisan ini.

"Selain Pertandingan Taiping Photo Run 2024, penganjur turut mengadakan acara baharu tahun ini iaitu Indahnya Taiping 2024. Penyertaan sudah dibuka sejak 13 November hingga 14 Disember 2024. Yuran penyertaan ialah RM50 setiap peserta.  

"Bagi kategori pertama, peserta boleh mengambil foto pelbagai spesies burung dan alam semula jadi seperti  landskap, flora dan fauna di Taiping, manakala kategori kedua membabitkan produk pelancongan dan bangunan warisan sejarah di sekitar Taiping, daerah Larut dan Matang," katanya lagi.


Taiping sentiasa menjadi tumpuan peminat burung dari dalam dan luar negara.


Acara utama ialah Taiping Bird Race (Perlumbaan Burung Taiping) 2024 membabitkan kategori terbuka yang bermula pada 14 hingga 15 Disember 2024. 

Setiap kumpulan dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM30 dan mendapat baju-T percuma. 

Manakala bagi kategori sekolah menengah, acara akan bermula pada 15 Disember 2024 dari jam 8 pagi hingga 11.30 pagi. Setiap kumpulan dikenakan yuran penyertaan RM15 dan baju-T percuma.  

"Saya berharap program yang berbentuk kesukarelawan dan pendidikan ini akan mendapat sambutan warga Taiping, Larut dan Matang selain peminat burung di dalam dan luar negara. 

"Ini sekalig us memberi impak positif kepada golongan belia serta masyarakat untuk memeliharan kelestarian alam. 

"Harapan kami, Taiping Bird Week akan menjadi acara tahunan bagi memberi peluang orang ramai hadir di bandar warisan ini untuk melihat pelbagai spesies burung, keindahan alam sekitar, keramahan penduduk, menikmati makanan dan bergembira sepanjang tiga hari dua malam dengan membawa balik memori-memori indah," katanya. 

Dr Muhamad Ridhwan bagi pihak MPT mengucapkan terima kasih kepada penaja, rakan strategik dan pertubuhan sukarela antaranya Malaysian Palm Oil, Green Conservation Foundation, Canon Malaysia, Optisan Taiwan, MyDusun Chalet, Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia , Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Suaka Burung Panti Johor, Wild Bird Club Malaysia dan Taiping Bird Community.


Gambar arkib... Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah melihat pameran burung ketika hadir pada pelancaran TBW 2023 lalu.


Sementara itu, program Zoorama 2024 yang menjadi acara tahunan bagi menghayati keindahan flora dan fauna bertujuan meraikan warga pelajar yang menyambut cuti persekolahan, diadakan di Pavilion Zoo Taiping & Night Safari bermula dari 21 Disember hingga 29 Disembeer 2024. 

Beliau berkata, ia adalah usaha pihak Zoo Taiping & Night Safari bagi memastikan nilai kepelbagaian diversiti sepeti keindahan alam sekitar dan kelestarian terus terjaga. terutama untuk pelancong muda dan mereka  yang gemar kepada alam semula jadi. 

"Sepanjang lapan hari itu, pelbagai acara pendidikan dan santai akan diadakan, antaranya pameran produk pelancongan, jualan kraf, pertandingan melukis dan mewarna, bercerita, pakaian beragam, pantun, gubahan pulut kuning dan e-sport.

"Acara lain ialah pertandingan gubahan tepak sirih, program sukarelawan, kraf tangan dan satu segmen khas untuk pelajar iaitu apa yang Zoo Taiping & Night Safari lakukan untuk membahagiakan haiwan dalam kurungan.

"Ada juga pertandingan memasak nasi briyani bersama Persatuan Wanita Ikhlas Taiping dan pertandingan ohsem master chef junior dengan kerjasama sebuah hotel tempatan, wayang pacak dan pertandingan nyanyian," katanya.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Zoo Taiping & Night Safari atau menghubungi talian 014-4815351 untuk mendapatkan maklumat lanjut.  - KitaReporters


Burung Hud-Hud pernah bersarang dan bertelur di Taman Tasik Taiping sehingga menjadi berita utama di seluruh negara.

14
12
0
5
0

Copy Link: