PARA pengamal media peserta Jelajah Media Duriotourism MARDI Kedua, 2024 bergambar dengan Pengurus MARDI Kuala Kangsar, Mohammad Ammaruddin Amin (depan, empat dari kiri) dan Timbalan Pengarah Program Perhubungan Awam MARDI, Nur Mohd. Saifuddin Salahuddin. - Kredit foto: JMDT


PERJALANAN selama empat jam dan sejauh 259 kilometer bagaikan tidak terasa jauh mahupun menjemukan tatkala berpeluang menyertai Jelajah Media Kedua, 2024 ke Duriotourism Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kuala Kangsar, Perak.

Satu pengalaman yang jarang diperoleh tetapi masih menarik malah mampu memperkaya sumber dan nilai berita serta maklumat buat para pengamal media. 

Jelajah sempena lawatan kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 28 Disember 2024 lalu ini disertai hampir 30 pengamal media yang berpangkalan di Lembah Klang.

Sejak Jelajah Media MARDI pertama Julai lalu, mereka yang mewakili radio, TV dan portal berita dalam talian turut cukup teruja untuk menyaksikan penjenamaan semula varieti durian MDUR 88 kepada MARDI Super (MS88) di sana.


RUPA varieti durian premium Malaysia, MDUR88 dari dekat yang dijenamakan semula kepada MS88 oleh MARDI. 


Penjenamaan semula ini menurut MARDI ialah sebagai sebahagian memperkenalkan ‘Raja Buah’ premium Malaysia ini ke peringkat lebih tinggi dan memperluas peluang komersial ke pasaran domestik mahupun global. 

Ciri-ciri unggul MS88:

  • Rasa lemak manis;
  • Isi tebal dan berkrim;
  • Tahan terhadap penyakit;
  • Warna isi menarik dan tahan lama;
  • Sumber ekonomi berkualiti.

Berikut ialah ulasan para pengamal media sempena jelajah dan pelancaran penjenamaan semula MS88 yang turut dihadiri Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail serta diliputi ramai wakil media Perak. 


MOHAMAD Sabu (dua dari kanan) memegang pangsa berulas durian MS88 yang dipertonton kepada wakil media sempena lawatan kerjanya ke Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar, Perak pada 28 Disember 2024. Kanan dan tiga dari kiri ialah Azman Ismail dan Mohamad Zabawi Abdul Ghani. 


“Saya mendapat tahu tentang Duriantourism selepas menemu ramah Dr. Zabawi, baru-baru ini. Ketika mula masuk ke kawasan MARDI Kuala Kangsar, hidung saya telah dapat menangkap bau durian. Ketika itu rasa teruja terus bertambah dan tidak sabar lagi nak mencuba variasi durian MARDI.

“Benar bagai dikata, semua durian di sini sedap belaka dan sangat istimewa. Selain itu, saya mendapat peluang untuk mengenali lebih dekat tentang proses sehingga ke peringkat akhir penanaman dan pengurusan ‘Raja Buah’ ini. 

“Kami juga berkesempatan mengetahui tentang ‘Permaisuri Buah Malaysia’ iaitu mestar dan mengenali ciri-cirinya yang ‘sama api tidak serupa’ dengan manggis.

“Terima kasih Mardi untuk pengalaman ini dan tidak sabar rasanya hendak bawa keluarga saya ke Duriotourism ketika musim buah nanti kerana harganya begitu berpatutan.” - RAIFANABILLAH ZULKIFLI, BERNAMA RADIO


RAIFANABILLAH Zulkifli (kiri), Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Arief Muhammad memperagakan pangsa berulas durian MS88 sempena Jelajah Media Duriotourism MARDI Kedua, 2024 di Mardi, Kuala Kangsar. - Kredit foto: JMDT 


"Biasanya kita tengok dan beli durian tepi jalan sahaja tanpa tahu ilmu, teknik dan kajian yang ada untuk menghasilkan varieti durian premium. Namun semua pengalaman itu ada di MARDI Kuala Kangsar yang saya turut perolehnya menerusi Jelajah Media MARDI Kedua ini.

"Dan disebabkan itu juga, varieti MDUR88 yang dijenamakan semula kepada MS88 merupakan durian terbaik keluaran Malaysia. Isi tebal, rasa lemak manis dan paling penting tahan rekah hingga 86 jam lamanya." -ARIEF MUHAMMAD, PENERAJU BERNAMA RADIO


ARIEF MUHAMMAD


“Jelajah Media Duriotourism MARDI Kuala Kangsar ini merupakan satu inisiatif yang sangat bagus oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Saya rasa Duriotourism mempunyai potensi yang sangat besar bagi industri pertanian dan daya tarikan buat para pelancong tempatan serta asing.

“Diharapkan dengan hebahan media menerusi Jelajah Media anjuran MARDI, para pelancong akan menjayakan Agro Tourism (Pelancongan Berasaskan Pertanian) pada tahun depan (2025), sempena Tahun ASEAN 2025 di mana Malaysia akan

mempengerusikan mesyuarat para pemimpin (Kepengerusian) Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN).” - AMIR WONG ABDULLAH, PENGURUS UTUSAN BORNEO


AMIR WONG ABDULLAH


NURUL IZZAH ZULKIFLE


"Jelajah Media Duriotourism amat berfaedah, kerana selain berpeluang merasai buah-buahan tempatan yang segar di MARDI, kami dapat menyaksikan sendiri komitmen MARDI dalam memacu kemajuan industri pertanian negara khususnya melalui penerapan teknologi dan inovasi terkini pada penanaman pokok-pokok buah-buahan."

"Terima kasih juga kepada MARDI atas peluang yang diberikan untuk merasai durian MS88.

“Rasanya begitu unik. Dengan keistimewaan segar yang disertai keseimbangan sempurna antara rasa manis dan pahit. Jelas sekali, hasil kacukan MS88 ini merupakan bukti kejayaan MARDI dalam mencipta kepelbagaian varieti durian di Malaysia." -NURUL IZZAH ZULKIFLE, WARTAWAN RADIO RTM


ZULHILMI SHALEHUDDIN


"Sebuah pengalaman yang baharu apabila saya menyertai Jelajah Media Duriotuorism MARDI Kuala Kangsar. Program tersebut juga merupakan lawatan sulung saya ke Duriotuorism MARDI Kuala Kangsar. Walaupun perjalanannya untuk tiba di sini panjang, tetapi cukup bermakna dapat berkenalan dengan rakan-rakan media yang lain.

"Lawatan ini juga memberikan sarat dengan info dan maklumat yang khusus berkaitan dengan pertanian khususnya penanaman pokok durian dan manggis. Kawasan yang luas dan hijau, menenangkan jiwa, jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan bandar. Saya merasakan sebuah lawatan yang turut merehatkan minda buat seketika, di samping keterujaan saya untuk dikongsikan kepada khalayak tentang 'tuah' apabila berkunjung ke sini. - ZULHILMI SHALEHUDDIN, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA


PARA peserta Jelajah Media Duriotourism Mardi Kedua, 2024 bergambar kenangan dengan Mohamad Zabawi Abdul Ghani (baris kedua, enam dari kanan). - Kredit foto: JMDT


Terima kasih yang tidak terhingga kepada MARDI dan dititipkan dua rangkap pantun:

"Pagi-pagi menanam selasih,

"selasih ditanam di hujung serambi,

"bagailah mana hati tak kasih,

"kerana tuan baik budi."

"Kalau tuan bawa perahu,

"muatan isi buah berangan,

"hendak berbudi biar selalu,

"supaya boleh buat kenangan."

(Pantun dipetik oleh Zulhilmi Shalehuddin daripada Kurik Kundi Merah Saga) - KitaReporters


PARA peserta Jelajah Media Duriotourism Mardi Kedua, 2024 bergambar kenangan dengan Mohammad Ammaruddin Amin (sembilan dari kanan) dan Timbalan Pengarah Program Perhubungan Awam Mardi, Nur Mohd. Saifuddin Salahuddin (berdiri, tiga dari kanan). - Kredit foto: JMDT

11
9
0
8
0

Copy Link: