KE MANA kuah jika tidak ke nasi.... Mungkin itu yang paling sesuai diperkatakan kepada anak pensyarah kulinari apabila anak lelakinya yang berusia 13 tahun itu muncul pemenang dalam Kejohanan Cef Sedunia 2019, baru-baru ini. : KitaReporter.com

Syahzan Imran Putra Khairil Anuar Hisham tenang ketika beraksi dalam Kejohanan Cef Sedunia 2019, di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, baru-baru ini. - Foto FB Khairil Anuar Hisham Mahmud.


Syahzan Imran Putra Khairil Anuar Hisham telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kejohanan berkenaan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, pada 18 Disember 2019 lalu.

Dalam kejohanan yang disertai, remaja itu bukan sahaja merangkul satu pingat, tetapi dua pingat gangsa iaitu dalam kategori Hidangan Utama Ayam dan kategori hidangan Salmon.

Lebih menarik, kejohanan itu juga menjadi salah satu kebanggaan buat dirinya kerana berjaya menewaskan ramai peserta berpengalaman dari seluruh dunia. 

Syahzan mengakui hanya membuat persediaan selama dua minggu dan banyak dibantu oleh bapanya sebagai persediaan menyertai pertandingan berkenaan.


Dengan kebolehan yang ditonjolkan, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Syed Mohamed Al-Bukhary itu juga menerima Anugerah Juri bagi peserta harapan.

Syahzan berkata, kejayaan yang diperoleh adalah hasil tunjuk ajar daripada bapanya.

“Sebelum ini saya banyak membantu ayah mungkin dari situ timbul idea untuk tonjolkan idea dalam kejohanan hari ini.

“Dalam kejohanan ini saya hanya dilatih selama dua minggu, ayah banyak mengajar saya bagaimana mengendalikan peralatan masakan dan asas masakan,” ujarnya yang teruja dengan kejayaan pertama yang diperoleh dan berjanji akan terus mendalami bidang ini, walaupun bercita-cita mahu menjadi seorang jurutera. 

Syahzan menyusun keperluan yang digunakan dalam Kejohanan Cef Sedunia 2019.


Sementara itu, bapanya Khairil Anuar Hisham Mahmud berkata, dia akan terus-menerus memberi sokongan dan membantu kepada anak lelakinya itu untuk memantapkan lagi ilmu dan kemahiran dalam bidang kulinari ini.

“Saya nampak dia boleh pergi jauh walaupun masih muda dan ini peluang dia untuk terus ke depan dalam dunia kulinari,” ujarnya yang juga seorang tenaga pengajar di Northern Harvard Academy of Hospitality & Culinary Arts.

Kumpulan juri membuat penilaian terhadap hidangan yang dipersembahkan oleh peserta.


Pensyarah yang berpengalaman lebih 18 tahun itu berkata, dia tidak akan memaksa anaknya mengikut jejak malah memberi sokongan dalam apa jua bidang yang mahu diceburi.

Hebat remaja ini!! Kejayaan itu membuktikan kepada dunia bahawa dengan minat dan usaha, semuanya boleh berlaku walaupun umurnya masih  setahun jagung.

Tahniah Syahzan Imran Putra! - KitaReporters.com

5
26
0
0
0

Copy Link: