Jom ke Cabin Hill Labis Eco Resort! Rasai percutian menarik dalam dusun! Makan durian percuma!
Published byKontena yang diubah suai jadi bilik penginapan merupakan salah satu kelainan yang terdapat di Cabin Hill Labis Eco Resort di Kampung Ulu Juaseh, Labis, Johor.
KINI ramai yang menarik nafas lega dan masing-masing merancang perjalanan untuk pulang ke kampung selain melawat tempat-tempat menarik berikutan kelongaran yang diberikan untuk merentas sempadan selain kebenaran pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor pelancongan beroperasi semula.
Bagi mereka yang berhasrat untuk bercuti bersama keluarga selepas "berkurung" selama hampir dua tahun dan masih tertanya-tanya di mana lokasi menarik dan sesuai untuk dikunjungi, Cabin Hill Labis Eco Resort di Kampung Ulu Juaseh, Labis, Johor adalah jawapannya.
Berkonsepkan penginapan dalam kabin, resort ini dikelilingi dusun durian di pinggir hutan yang jauh daripada binggit kesibukan kota dan kenderaan, dengan bilik penginapan serba lengkap dilereng bukit menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung khususnya pencinta alam semula jadi.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan percutian
Antara pengunjung yang menginap di Cabin Hill Eco Resort kerana tertarik dengan konsep bermalam di suasana dusun durian.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang untuk merasai kehidupan kampung sepanjang bercuti di Cabin Hill.
Menurut Pengurus Cabin Hill, Nabila Harris, resort berkenaan adalah cetusan idea bapanya sendiri yang juga merupakan pemilik resort moden selepas mendapat idea untuk membanggunkan kawasan tersebut yang merupakan dusun durian sebagai lokasi pelancongan berkonsepkan kabin sebagai bilik penginapan .
"Idea ini bapa saya peroleh ketika melawat beberapa negara seperti Australia dan New Zeland yang sudah lama menggunakan konsep tersebut," ujar lulusan undang-undang yang kini mengusahakan perniagaan milik keluarganya.
Nabila Harris kini mengurus perjalanan resort milik keluarga hasil cetusan bapanya sendiri.
Keadaan di dalam bilik penginapan yang selesa dan mampu memuatkan dua pengunjung.
"Hampir dua tahun kami sekeluarga memerah keringat membanggunkan kawasan dusun seluas lapan ekar ini dari sebuah kawasan yang dipenuhi belukar sehingga menjadi kawasan pelancongan dengan pelbagai kemudahan seperti yang ada pada hari ini.
"Kebanyakkan kerja-kerja pembinaan bermula daripada penyediaan tapak sehinggalah kerja-kerja membina bangunan seperti mengikat besi, membancuh simen dan membina kerangka konkrit bangunan kami lakukan sendiri memandangkan bapa saya mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembinaan sebelum ini," katanya lagi.
Walaupun belum siap sepenuhnya seperti yang
dirancang, namun kemudahan asas seperti bilik penginapan, surau, kolam renang
kafeteria serta dewan mesyuarat sudah siap dan mula beroperasi sejak beberapa
bulan lalu.
Malah tempahan yang diterima membuat dia sudah tidak menang tangan kerana turut menerima tempahan untuk program-program melibatkan badan-badan korporat dan kerajaan.
Pengunjung yang ingin beriadah bersama keluarga boleh menggunakan kolam renang yng disediakan.
Surau merupakan salah satu kemudahan yang terdapat di Cabin Hill Labis Eco Resort.
Selain itu pihaknya turut menyediakan kemudahan lain untuk pengunjung seperti dewan mesyuarat serta kafeteria kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan kursus atau seminar di kawasan tersebut.
"Namun apa yang paling menarik, kami menawarkan pengalaman menginap di dusun durian, jika bernasib baik, pengunjung yang datang pada musim buah-buahan berpeluang untuk mengutip sendiri dan makan durian yang terdapat di sini secara percuma.
Wow meriahnya!
Katanya lagi, keluasan resort berkenaan turut dikelilingi hampir 200 pokok durian pelbagai jenis yang matang dan berbuah.
"Kami tidak berhasrat untuk menjual buah durian yang terdapat di kawasan resort ini, sebaliknya membenarkan pengunjung memungut dan makan seberapa banyak yang mereka suka tanpa sebarang bayaran," katanya.
Aktiviti lain yang turut ditawarkan kepada mereka yang menginap di resort tersebut adalah dalam pakej lawatan ke tempat-tempat menarik yang berhampiran seperti di kawasan air terjun Taka Melur, Pusat Rekreasi Kolam Air Panas serta Perkampungan Orang Asli Ulu Juaseh berhampiran Empangan Juaseh.
Pengunjung juga berpeluang bermandi-manda dan menikmati sumber alam di kawasan Air Terjun Taka Melur yang terletak berhampiran resort.
Selain itu, pengunjung yang berminat dengan aktiviti lasak turut berpeluang menerokai kawasan sekitar melalui aktiviti jungle treking (redah hutan) atau menggunakan All Terrain Vehicle (kenderaan serba rupa bumi) atau ATV melalui trek berbukit serta menjanjikan cabaran dan pengalaman menarik di trek yang disediakan.
Dalam masa sama, pelbagai kemudahan lain yang sedang rancak
dibangunkan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung adalah kolam pancing,
bangunan asrama yang mampu menampung lebih 60 pengunjung dalam satu-satu masa
serta bangunan untuk riadah yang menempatkan meja snuker sebagai aktiviti
mengisi masa terluang.
Apabila bangunan penginapan berkonsep asrama tersebut siap sepenuhnya nanti, pengunjung boleh memilih sama ada mahu menginap di bilik kabin atau asrama mengikut cita rasa serta keselesaan mereka.
Pengunjung berpeluang menerokai kawasan sekitar melalui aktiviti jungle treking atau menggunakan All Terrain Vehicle (ATV) melalui trek berbukit serta menjanjikan cabaran dan pengalaman menarik di trek yang disediakan.
Kongsi Nabila sebenarnya ramai yang tidak mengetahui daerah Labis
merupakan "syurga" kepada pencinta alam semula jadi berikutan
kedudukannya yang bersempadan dengan Hutan Simpan Labis yang merupakan
sebahagian daripada kawasan Hutan Endau Rompin yang menyimpan pelbagai rahsia
untuk diterokai.
"Labis merupakan salah satu pintu masuk ke kawasan Hutan Endau Rompin yang merupakan salah satu kawasan hutan tropika tertua di negara ini dan penerokaan ke kawasan tersebut boleh dilakukan melalui aktiviti mendaki Gunung Besar di mana Kampung Tenang yang terletak berhampiran resort ini merupakan pintu masuk ke gunung tersebut," katanya yang juga merupakan bekas atlet memanah negeri Johor. - KitaReporters
Jalan masuk ke Cabin Hill Labis Eco Resort di Kampung Ulu Juaseh, Labis, Johor.
Pemandangan sekitar yang mendamaikan di Cabin Hill Labis Eco Resort Labis, di Kampung Ulu Juaseh, Labis, Johor.