Terbaik! 5 siswi UUM, UPM belajar usaha ladang, bisnes nanas

Published by
KitaReporters

LIMA siswi masing-masing tiga dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meneroka ladang pertanian di Sitiawan, Perak. Kalau sebelum ini adalah istilah "petani siswazah" bagi petani yang berkelulusan ijazah, kini kena tambah kepada istilah "petaninita (petani wanita) siswazah". Boleh? : KitaReporters

Siswi-siswi Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di ladang nanas mereka di Setiawan, Perak.


Mereka terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan Tani (UUM), Nurul Husna Mohamad Adnan, Noor Dahlia Sohor dan Nor Natasha Abd Rashid.

Manakala dari UPM pula Noraini Mohd Nordin yang mengambil program Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur dan Siti Nur Zafirah Mohamad pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian.

Wajah ceria siswi universiti ketika berehat selepas mengusahakan kerja pertanian. 


Kebiasaan siswi di bilik kuliah tetapi kini di ladang pertanian.


Menurut Nurul Husna, 25, mereka berlima memulakan latihan industri sejak 10 Februari lalu hingga 10 Jun 2020 di ladang nanas milik Manjung Naluri Sdn Bhd (MGROW) kepunyaan Ting Tai Fook, yang juga Alumni  UUM tahun 2008 dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia.

Katanya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan ketika itu, mereka masih meneruskan latihan dengan mengikut Prosidur Standard Operasi (SOP).

Petani moden Nurul Husna Mohamad Adnan.


"Ladang nanas seluas 197 ekar yang terletak di Sitiawan, Lekir, Perak Tengah dan Changkat Keruing  dapat menghasilkan produk tambahan lain antaranya jus, jem, nanas kering, cuka nanas serta produk kosmetik berasaskan nanas selain daripada pengeluaran nanas terbesar di Perak," katanya ketika dihubungi.

Anak keenam daripada lapan beradik ini yang dilahirkan dari keluarga yang mengusahakan kelapa sawit di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak yakin dengan pengalaman yang mereka lalui di ladang ini pastinya memberi kesedaran dan keyakinan untuk meneruskan cabaran, sekali gus dapat mengusahakan sendiri ladang pertanian satu hari nanti.


Pengalaman yang mereka lalui sepanjang latihan di sini termasuk cara menguruskan perniagaan, pejabat, tempahan, perolehan, berhubung dengan pelanggan, memetik sendiri nanas, kacang bendi, betik, jagung dan juga pisang serta mempelajari cara menanam dan penjagaannya.

Kini walaupun telah tamat daripada latihan industri mereka masih diberi peluang untuk berkhidmat dengan syarikat ini melalui tempahan secara dalam talian dan juga mengikuti latihan pengendalian makanan.

Semoga kesemua lepasan Universiti Awam (UA) ini akan meneruskan usaha mereka dalam membangunkan sektor pertanian negara. - KitaReporters

Keenakan nanas terus dari ladang.


Ting Tai Fook (kanan sekali), yang juga Alumni UUM tahun 2008, bergambar dengan siswi dan stafnya.

39
6
1
3
2

Copy Link: