LEBIH 20 tahun tidak menjejakkan Bukit Bendera Pulau Pinang, ternyata sudah banyak perubahan. Ketika penulis berkunjung bulan lalu, perbezaan ketara di kaki bukit dan di puncak bukit. Persekitaran ternyata lebih teratur dan menarik dengan pelbagai kemudahan tarikan pelancong disediakan. : KitaReporters

PENULIS di Astaka Tinjau di Bukit Bendera yang membolehkan anda memandang seluruh Pulau Pinang dari udara.


Lagi cerita-cerita berkaitan Pulau Pinang:

https://kitareporters.com/search?search=pulau+pinang


Yang nampak tidak berubah ialah jumlah pengunjung yang tetap ramai beratur di stesen kaki bukit untuk menaiki tren memanjat Bukit Bendera. Ini tidak menghairankan kerana Keretapi Bukit Bendera adalah salah satu tarikan pelancong utama di negeri Mutiara Timur tersebut serta menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Di stesen kaki bukit, persekitarannya telah diubah suai dan menyaksikan beberapa buah kedai makanan dan minuman diwujudkan. Laluan untuk membeli tiket serta untuk menaiki tren lebih tersusun dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Untuk kemudahan pengunjung, sebuah tempat letak kereta bertingkat juga dibina. Pengunjung tidak perlu lagi meletakkan kenderaan di tempat-tempat terbuka sehingga boleh menjejaskan kelancaran lalu lintas.

TIGA evolusi Kereta Api Bukit Bendera. Dari koc kayu (kanan) sehinggalah koc kereta api laju masa kini (tengah).


Pengalaman baharu akan dirasai apabila menaiki koc tren bagi mereka yang sebelum ini hanya merasai menaiki koc lama. Tren yang kini menjalankan perkhidmatan turun naik Buit Bendera adalah jenis baharu dan evolusi ketiga Keretapi Bukit Bendera.

Pada peringkat awal perkhidmatan, koc kayu digunakan. Kereta api kayu digunakan antara tahun 1922 hingga 1977. Ini diikuti koc lebih moden tetapi pergerakannya agak perlahan dan perlu bertukar koc di pertengahan perjalanan untuk sampai ke puncak bukit atau untuk turun. Ia digunakan dari tahun 1977 hingga 2010.

Koc yang ada kini mula digunakan mulai 2011 dan boleh dianggap seperti ‘kereta api laju’. Ini kerana pergerakannya menaiki bukit memang laju dan masa diambil sampai ke puncak lebih pantas. Juga tidak perlu lagi berhenti di pertengahan jalan. Sebaliknya tren akan bergerak terus dari stesen kaki bukit hingga ke puncak Bukit Bendera.

INGIN melihat Pulau Pinang dar dekat? Gunakan sahaja teropong tinjau di Bukit Bendera.


Sesampainya di atas bukit, ada stesen tinjau untuk anda menyaksikan pemandangan sekeliling pulau melalui dek stesen tersebut sambil mengabadikan gambar kenangan. Malah ada teropong disediakan untuk membolehkan anda melihat Pulau Pinang dari dekat.

Ada juga ‘lorong cinta’ disediakan untuk mereka yang mahu mengambil gambar di sepanjang lorong berkenaan yang dihias dengan pelbagai ungkapan cinta dan bunga lambang cinta. Malah ada juga tempat love lock (mangga cinta). Abadikan kata-kata cinta dan kasih sayang anda dan kekasih dalam tulisan dan kemudian kunci dengan mangga sebagai pengabadian kasih sepanjang musim.

ASTAKA Bukit Bendera tumpuan pengunjung bersantai, makan minum atau membeli cenderamata.


Kedai-kedai makanan seperti kafe dan kedai cenderamata juga sedia menunggu anda menjamu selera atau membeli cenderamata kenangan-kenangan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang dan dihadiahkan kepada ahli keluarga atau kawan-kawasan.

Bagi mereka yang ingin mengabadikan wajah dalam bentuk karikatur sebagai kenangan, di Bukit Bendera ini ada pelukis-pelukis karikatur yang sentiasa sedia berkhidmat untuk anda. Bayarannya tidak mahal, hanya RM10 untuk karikatur hitam putih dan RM30 untuk warna.

UNTUK mengelilingi kawasan Bukit Bendera, sewa sahaja buggy untuk memudahkan pergerakan.


Keseluruhan kawasan Bukit Bendera memang luas. Jika anda ingin menerokainya dengan berjalan kaki pasti memenatkan. Oleh itu ada disediakan perkhidmatan kereta sewa buggy untuk mengelilingi kawasan Bukit Bendera.

Dengan menaiki buggy, anda akan dibawa melalui jalan yang dipagari pohon-pohon menghijau dengan kiri kanannya dihiasi bahan-bahan bersejarah dan juga rumah-rumah banglo lama di lereng bukit jalan berkenaan.

Jika ingin membasahkan tekak, ada pula kedai minuman kopi istimewa di celah-celah hutan di perjalanan berkenaan. Terletak di kawasan sunyi tetapi jangan terkejut ramai yang berbaris menunggu giliran untuk membeli minuman.

Di sepanjang perjalanan itu, pamandu buggy akan menerangkan satu persatu peninggalan sejarah yang ada di situ. Dia juga sedia menjawab soalan anda mengenai tempat-tempat berkenaan jika perlukan penjelasan lanjut.

KEDAI Kopi dalam hutan. Tetapi lihatlah betapa ramai menunggu giliran untuk membeli minuman.


Tentunya cara terbaik menghayati dan menikmati keindahan di Bukit Bendera ini ialah dengan mengungjunginya sendiri. Kata-kata tidak cukup untuk menyerlahkan segalanya. 

Oleh itu jika berkunjung ke Pulau Pinang pastikan Bukit Bendera ada dalam destinasi anda. - KitaReporters

PETI pos lama diletak di laluan mengelilingi kawasan Bukit Bendera.

3
0
0
0
0

Copy Link: