KITA biasa melihat layang-layang Wau Bulan dan seni kata lagu Wau Bulan tidak pernah lapuk ditelan zaman malah sudahpun didendangkan pada peringkat antarabangsa. Bagaimana pula dengan Wau Pungguk? Bagaimana rupa bentuknya dan apa istimewanya wau dari Pahang ini. : KitaReporters

Wau Pungguk


Lagi cerita-cerita berkaitan Pahang:

https://kitareporters.com/search?search=pahang


Agak janggal kedengarannya malah tidak semua orang tahu akan kewujudan Wau Pungguk ini. Jika adapun, pasti hanya dalam kalangan penduduk setempat seperti di Pekan, Pahang. Sayang kalau tiada pihak yang mengetengahkannya semula kepada masyarakat hari ini.

Disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai kewujudan Wau Pungguk. maka ramailah yang tidak mengetahui keistimewaan yang ada padanya termasuk bunyi dan lenggoknya ketika berada di udara yang mampu memukau setiap mata yang memandang.

Nak percaya atau tidak ni. Wau Pungguk boleh hasilkan dengung mirip gesekan biola. Silap haribulan kalah irama penggesek biola.

Kredit foto: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3185716321547453&id=1000032734970


Menceritakan bagaimana menghasilkan Wau Pungguk, Pengerusi Persatuan Wau Sri Wangi Pekan, Pahang, Mohammad Khairi Ahmad berkata, ia diperbuat daripada gabungan buluh, rotan dan batang pokok pinang atau nibong.

Tulang tengah dan busur dibuat daripada batang pokok nibong atau pinang; buluh pula digunakan sebagai rangka utama wau, manakala rotan dijadikan aksesori tambahan seperti kepala dan bahagian hujung kepak yag dipanggil simba.

Wau Pungguk mempunyai keunikan yang tersendiri dan salah satu keistimewaannya, wau ini mempunyai gandar di bahagian kepala dan 'wajib' ada ekor yang panjang.

Ciri dan reka bentuk wau bergantung kepada dari negeri mana ia berasal. Keindahan dan keunikan wau juga berdasarkan warna dan seni lukisan yang dipaparkan pada muka wau berkenaan.

Wau Pungguk mempunyai keistimewaan tersendiri apabila ia boleh menghasilkan bunyi dengung menyerupai gesekan biola ketika diterbangkan. Betul ke ni?

"Bunyi ini sebenarnya terhasil daripada gandar atau busurnya yang diperbuat daripada batang pokok pinang atau pokok nibong," katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Layang-layang dan Wau Tradisional Pahang di Pantai Kempadang, Kuantan.

Antara wau yang menyertai pertunjukan Wau dan Layang-layang Tradisional di Pantai Kempadang, Kuantan 


Hampir 60 peserta terdiri dalam kalangan veteran dan belia menyertai pertunjukan wau yang turut disertai pemain wau dari Kelantan yang terkenal dengan Wau Bulannya itu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Wau dan Layang-layang Pahang berkata, objektif pertunjukan itu diadakan antara lain adalah untuk memartabatkan kembali permainan tradisi masyarakat Melayu yang semakin dilupakan.

Mohammad Khairi berkata Wau Pungguk diperkenal dan dimainkan bermula pada zaman pemerintahan Sultan Pahang ketiga lagi dan di sekitar kawasan Istana Abu Bakar, Pekan.

Wau Bulan


Wau Pungguk dari Persatuan Wau Sri Wangi, Pekan


Seorang peserta membetulkan busur layang-layang


Mohammad Khairi berkata, pembuat wau perlu memiliki kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan wau yang baik. "Bukan senang sebenarnya untuk menghasilkan wau ini jika tidak memiliki kemahiran," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Khairi berkata, beliau meminati permainan wau sejak kecil dan mengasah kemahirannya di kawasan sawah padi sekitar bandar Pekan.

“Arwah ayah seorang pembuat Wau Pungguk dan secara tidak langsung mendedahkan saya dengan cara pembuatan dan permainannya sejak kecil," ceritanya.

Mohammad Khairi mengambil masa tiga hingga lima hari untuk menyiapkan Wau Pungguk dengan berat lebih tiga kilogram (kg) dan untuk menerbangkannya ia memerlukan kelajuan angin lebih 40 knot secara berterusan.

Diberi nama Wau Merak kerana berwarna warni dengan bahagian ekornya yang agak panjang



Seorang peserta, Mohd Syahril Aminullah Abdullahady berkata, dia bersama rakannya seramai 20 orang turut menyertai pertunjukan itu dengan membawa beberapa jenis wau seperti Wau Bulan, Wau Barat, Wau Puyuh, Wau Sewah dan Wau Dodo Helang

Wau ni semua guna nama burung pulak ye.

"Kami komuniti dari Kampung Razali teruja menyertai pesta wau ini bagi mencari pengalaman sebagai titik tolak untuk menyertai pertandingan wau pada masa akan datang.

"Walaupun permainan wau ini lebih dikuasai golongan veteran, kami tidak mahu ketinggalan untuk mewarisinya kerana ia sejenis permainan tradisional rakyat yang semakin dilupakan. Justeru, kami Jom tengok Wau Pungguk! Lihat rupa, dengar bunyi dengungnya," katanya.  

Salah satu wau yang menyertai Pertunjukan Wau dan Layang-layang Tradisional di Pantai Kempadang, Kuantan


Antara wau yang dibawa menyertai Pertunjukan Wau dan Layang-layang Tradisional di Pantai Kempadang, Kuantan


Penyertaan belia Kampung Razali yang menyertai Pertunjukan Wau dan Layang-layang Tradisional di Pantai Kemladang, Kuantan


Wau Pungguk antara permainan terkenal di Pahang suatu ketika dahulu tetapi peredaran zaman menyebabkannya semakin dilupakan dan kurang dimainkan. 

Jom kita sama-sama mempelajari cara membuat Wau Pungguk dan kembalikan zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu kepada generasi muda hari ini agar tidak hilang ditelan ledakan pelbagai gajet moden. - KitaReporters

Antara wau yang menyertai Pertunjukan Wau dan Layang-layang Tradisional di Pantai Kempadang, Kuantan

17
1
0
0
0

Copy Link: