.


TPr Fadlun Mak Ujud (tiga dari kanan) merasmikan Festival Ramadan Putrajaya 2025.


GO Green Bazar Ramadan Putrajaya menjadi matlamat Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memastikan peniaga dan pengunjung menyokong ke arah menjadikan pusat pentadbiran negara itu sebagai Bandar Mampan dan Bandar Hijau Karbon Rendah.

Ia dilancarkan sempena perasmian Festival Ramadan Putrajaya 2025 (FRP25) yang disempurnakan Presiden PPj, TPr Datuk Fadlun Mak Ujud di Pavilion Anjung Syawal, Dataran Putrajaya, Presint 3.


Bazar Ramadan di Presint 3 Putrajaya sentiasa mendapat sambutan pengunjung untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa.


"Melalui program itu, PPj akan memantau peniaga dan pengunjung bagi memastikan Bazar Ramadan Putrajaya cakna dengan dasar ditetapkan kerajaan Madani yang mengisytiharkan Putrajaya sebagai peneraju bandar karbon rendah menjelang tahun 2030.

"Go Green Bazar Ramadan Putrajaya memerlukan peniaga dan pengunjung berurusan secara konsep tanpa tunai, mengelak menggunakan plastik, kempen membawa bekas atau beg sendiri, kempen biodiesel, kempen elak pembaziran dan mengurangkan sisa organik melalui pengkomposan di bazar Ramadan," katanya Fadlun.


Festival Ramadan Putrajaya 2025 (FRP25) menggunakan konsep Go Green Bazar dengan mengutamakan alam sekitar dan tanpa beg plastik.


Festival Ramadan Putrajaya 2025 berlangsung dari 28 Februari sehingga 30 Mac 2025. Ia beroperasi dari jam 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, dan dijangka menarik kehadiran sehingga 1 juta pengunjung sepanjang sebulan Ramadan 2025 ini.

FRP25 akan berlangsung di Dataran Putrajaya,  Presint 3, Kompleks Perbadanan Putrajaya. Ia dibahagikan kepada empat komponen utama iaitu Bazar Ramadan di Presint 3,  Anjung Syawal, Laman Oasis dan Laman Iftar. Pengunjung juga boleh menunaikan solat di Masjid Sultan Zainal Abidin.


Kawasan berhadapan Perbadanan Putrajaya antara lokasi Iftar yang menjadi tumpuan untuk berbuka puasa secara santai.


Bazar Ramadan di Presint 3 menyediakan 288 gerai dengan lebih 1,000 menu, Laman Oasis pula di antara Blok AB dan CD, Kompleks Perbadanan Putrajaya manakala berbuka puasa yang berkonsepkan berkelah pula diadakan di kawasan padang berhadapan Kompleks PPj. Anjung Syawal pula menyediakan 300 gerai menjual barangan persiapan raya.

Fadlun berkata, Laman Iftar di Dataran Putrajaya menjadi lokasi untuk orang ramai berbuka puasa berkonsepkan riadah selain pengisian kerohanian dengan takzirah Ramadan.


Ada tiga bazar Ramadan disediakan PPj, antaranya di Presint 3, Presint 14 dan Bazar Ramadan Mini di Taman Warisan Pertanian di Presint 16.


"Selepas berbuka, orang ramai boleh ke Masjid Sultan Zainal Abidin bagi mengerjakan solat fardu dan sunat tarawih dan sepanjang ke masjid terbabit, ia akan diserikan dengan program pencahayaan termasuk "centre arch" yang bertema Aidilfitri selain hiasan lampu dan pencahayaan Malam Tujuh Likur.

"Selain di Presint 3, bazar Ramadan turut diadakan di Presint 11 (120 lot peniaga) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, Bazar Ramadan di Presint 14 dan Bazar Ramadan Mini di Taman Warisan Pertanian di Presint 16," katanya.


Seronoknya berbuka puasa di kawasan terbuka di Putrajaya, sambil santai bersama keluarga, mereka juga dihidangkan dengan persembahan kerohanian. 


PPj katanya turut berkolaborasi dengan beberapa pempengaruh terkenal termasuk Pinn Yang, pengasas rangkaian Good Foodie Media yang akan bersiaran sepanjang Ramadan di Presint 3 dan mendermakan sebahagian jualannya dalam talian kepada mereka yang memerlukan.

"PPj turut menjemput selebriti tanah air antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Nadeera Zaini, Aina Abdul, Haziq Rosebi, Khair Bahar, Ara Johari, Amir Masdi dan Cik Pia membuat penampilan di Festival Ramadan Putrajaya 2025.

"Keseluruhannya, FRP25 menghimpunkan lebih 1,000 juadah selain membabitkan lebih 900 peniaga. Ini sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di Putrajaya dan menyokong ke arah kesejahteraan sejagat menerusi pelbagai pengisian program Ramadan kepada pengunjung berbilang bangsa serta pelancong," katanya. - KitaReporters

19
13
0
7
0

Copy Link: