SARI RATU 'RAJO' RESTORAN MASAKAN PADANG
Published byMASAKAN Padang, Indonesia yang mempunyai keunikan tersendiri tidak hanya sekadar aromanya, malah akan membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk mencuba setiap lauk yang tersedia di depan mata. : KitaReporters.com
CAWANGAN terbaharu Restoran Sari Ratu di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Sekiranya anda penggemar masakan Padang bagi menikmati sajian Minang itu tidak perlu berkunjung ke Indonesia kerana hidangan itu boleh didapati di sekitar Kuala Lumpur dengan keenakan lauk-pauknya persis hidangan di Sumatera mahupun Jakarta.
Biarpun di negara kita mungkin ada ratusan restoran masakan Minang, kewujudan Restoran Sari Ratu yang terletak di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pasti memberikan kepuasan kepada peminat masakan berkenaan.
Pengurus Restoran Sari Ratu Sdn Bhd, Datuk Rama Windra, berkata Restoran Sari Ratu, Bukit Bintang adalah cawangan kelima dibuka di ibu kota Kuala Lumpur selepas pembukaan pertama restoran itu pada 2001.
Rama berkata, pembukaan cawangan kelima itu selaras dengan kempen kerajaan Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dengan menyediakan restoran pelbagai rasa kepada pelancong luar negara.
"Penggemar masakan tradisi Padang boleh berkunjung ke Restoran Sari Ratu kerana restoran ini menawarkan harga berpatutan dan lebih penting, keenakan nasi Padang serta lauk-pauknya dijamin sedap.
"Dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk yang dimasak menggunakan adunan rempah khas, menjadikan menu masakan Padang mampu membuka selera pengunjung," katanya kepada wartawan KitaReporters.com selepas merasmikan cawangan Bukit Bintang pada Sabtu (21/12/2019) lalu.
PENGURUS Restoran Sari Ratu Sdn Bhd, Datuk Rama Windra (dua dari kanan) bersama tetamu kehormat menunjukkan menu istimewa yang dihidangkan di restoran cawangan Bukit Bintang.
Restoran Sari Ratu ditubuhkan 37 tahun lalu di Ratu Plaza, Jakarta menjadi pelopor penyedian masakan Padang seterusnya berkembang di 25 cawangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Selain cawangan baharu di Bukit Bintang terdapat empat cawangan lain di sekitar ibu kota yang boleh dikunjungi terdiri dari cawangan Taman Melati, Gombak; G Village Desa Pandan; G Tower, Jalan Tun Razak; dan Rasa Food Arena, Suria KLCC.
Rama berkata, kewujudan Restoran Sari Ratu yang terletak di Bukit Bintang itu pasti memberikan kemudahan dan kepuasan kepada peminat masakan berkenaan.
Menurut beliau, masakan di restoran itu pasti memberikan kepuasan kepada peminat kerana ia disediakan oleh tukang masak berpengalaman.
Ketika menikmati menu yang disediakan akan membuatkan pengunjung terasa seperti berada di negara Indonesia, apatah lagi jika mencuba menu istimewa restoran berkenaan.
Katanya, penyediaan masakan itu diadakan di dapur berpusat oleh tukang masak yang berpengalaman dengan lebih 60 menu sehari bagi menjaga kualiti masakan supaya tidak lari daripada rasa asal masakan Padang.
LEBIH 60 menu masakan Padang boleh didapati di lima cawangan Restoran Sari Ratu di ibu kota Kuala Lumpur.
"Semua menu yang disediakan adalah masakan asli restoran itu di Jakarta yang kami bawakan kepada pelanggan dalam usaha memberikan yang terbaik dan mengekalkan cita rasa tradisional masakan Padang.
"Tidak lengkap menikmati juadah dari Padang, Indonesia itu jika tidak mencuba gulai tunjang atau urat kaki lembu yang dimasak dengan kuah santan pekat dan rempah khas dari Indonesia sehingga menjadikan teksturnya kenyal dan lembut serta menjadi juadah kegemaran pelanggan.
"Selain itu, menu popular ayam pop juga harus dirasa kerana ia menggunakan ayam kampung yang disediakan dengan rendaman sup yang dicelup dalam minyak resipi tersendiri bagi menghasilkan rasa enak dan asli seperti menjamu selera di negara asal sajian dihidangkan
MASAKAN ayam balado menjadi pilihan kepada pengunjung yang meminati masakan pedas.
"Menu istimewa lain yang disediakan adalah rendang daging, gulai kepala ikan Kakap Merah, gulai ayam, ayam pop, gulai pakis, ayam balado, dendeng balado, gulai tunjang, gulai sotong, sambal balado, cincang daging, gulai rebung selain selain menu jus minuman avokado dan ice-teller.
"Bagi mengekalkan ciri asli masakan Padang, restoran ini menghidangkan juadah dalam set bermula untuk dua orang dengan pilihan lebih 20 jenis lauk sehingga 60 jenis lauk bagi jumlah pengunjung yang lebih ramai.
"Harga pula hanya dikenakan mengikut jenis lauk, yang boleh ditempah menerusi telefon atau makan secara ‘walk-in'," katanya.
Rama Windra (dua dari kiri) hadir merasmikan cawangan kelima di Malaysia di Bukit Bintang,Kuala Lumpur.
Restoran Sari Ratu Bukit Bintang ini turut menawarkan perkhidmatan penyediaan dan penganjuran majlis jamuan yang boleh menempatkan tetamu sehingga 200 orang pada satu-satu masa.
Pengunjung yang menjamu selera di restoran ini pasti berasa santai dan tenang ketika menjamu selera di tengah kesibukan pusat ibu kota, malah surau turut disediakan di tingkat atas restoran ini bagi kemudahan pengunjung untuk bersolat.
Restoran beroperasi mulai jam 11 pagi hingga 10 malam itu turut menyediakan perkhidmatan jualan nasi bungkus, nasi box dan penghantaran. - KitaReporters.com
Rama Windra (dua dari kanan) menunjukkan menu yang dihidangkan di restoran cawangan Bukit Bintang.
PELBAGAI menu menarik masakan Padang menanti kehadiran pelanggan di Restoran Sari Ratu.
MINUMAM ice-teller yang enak dan menarik menjadi pilihan pengunjung.