JANGAN MENGHINA!! BERATUR DEMI AYAM MURAH
Published byPELBAGAI reaksi dilontar oleh netizen gara-gara promosi murah restoran makanan segera terkenal kerana resipi rahsianya. Ada yang mengejek, ketawa, gelak, gambar ayam disunting semula dan kata-kata sindiran buat penggemar makanan itu gara-gara sanggup beratur panjang ada sehingga berjam-jam untuk menikmati KFC murah. : KitaReporters.com
Foto daripada pembaca: Orang ramai sanggup beratur panjang demi promo hidangan ayam murah KFC
KFC sebelum itu menawarkan promosi sehari jimat RM8 satu hidangan pada Khamis, 20 Februari 2020 .
Bagaimanapun sebahagian netizen pula bersimpati melihat suasana sedemikian berlaku ke atas negara ini sehingga ada tertanya teruk sangat ke ekonomi negara hari ini.
Ramai yang bersetuju bahawa kos sara hidup semakin tinggi dan amat mencengkam leher masing-masing.
Rakyat buang rasa malu, demi memenuhi kehendak anak, isteri dan diri untuk makan KFC murah.
Suasana begini jarang berlaku dulu-dulu kerana rakyat tidak kisah sangat KFC sebab ada banyak pilihan seperti TEXAS, McD dan sebagainya.
Kredit foto: Facebook Banturaz Media
Bercerita mengenai fakta mengikut PERKESO, sepanjang tahun lalu, hampir 40,000 rakyat kerja swasta hilang sumber pendapatan dalam skim pemberhentian beramai-ramai.
Projek terbesar lebuh raya Pan Borneo Sarawak pula menamatkan 500 pekerja serentak berkuat kuasa pada Khamis, 20 Februari 2020.
Realitinya amat perit bagi rakyat bawahan, mereka tidak faham apa itu KDNK dan sebagainya ayat ekonomi. Yang mereka tahu apa nak makan esok.
Kredit foto: Facebook I Love Pahang.
Sekarang wujud pula fenomena kemiskinan yang berlaku ke atas penduduk di bandar dan pinggir bandar di mana status ekonomi seseorang berubah dari mampu kepada tidak mampu tanpa ia bersedia menghadapinya.
Pakar Ekonomi Penggunaan dari Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Laily Paim yang membuat kajian khusus golongan kemiskinan rentan ini berkata, faktor kos sara hidup yang meningkat, diberhentikan kerja, kesihatan merosot, kurang upaya akibat kemalangan dan lain-lain lagi akan menjejaskan pendapatan atau sumber kewangan seseorang.
"Sebagai contoh seorang yang berpendapatan RM6,000, memiliki empat anak yang masih bersekolah, tiba-tiba tidak mampu membayar pinjaman bank bagi rumah, kereta dan kad kreditnya akibat kenaikan harga barang yang meningkatkan kos sara hidup.
"Analoginya mereka lebih miskin dari orang yang menetap di kampung, walaupun ada kereta tetapi mahu isi minyak kereta pun tidak mampu, maknanya mereka boleh dikategorikan lebih miskin daripada yang tidak memiliki kereta.
"Orang di kampung kurang komitmen bank dan sebagainya, mereka juga sudah biasa hidup dengan kos hidup yang mininum," katanya kepada wartawan KitaReporters.com.
Dulu-dulu nilai wang lebih besar dari hari ini, dulu 50 sen boleh makan dan minum sekali, sekarang 50 sen adalah harga untuk masuk tandas awam.
Rata-rata peniaga makan di negara ini juga mengeluh rakyat kurang kuasa membeli, kos belian mahal mereka hendak turunkan harga jualan pun susah.
Jadi moralnya, tidak perlu menghukum, perli atau ketawa orang yang sanggup beratur nak beli KFC murah.
Setiap orang nasib dan rezekinya berbeza bukan semua mampu makan mewah di restoran berpusing Menara Kuala Lumpur. - KitaReporters.com