PERJALANAN menggunakan perkhidmatan kereta api ekspres dari Sungai Golok, selatan Thailand menuju kota Bangkok, memberi banyak pengalaman baharu kepada rombongan ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Daerah Besut, Terengganu. 

Rombongan disertai 40 peserta, sebahagian besarnya membawa pasangan suami isteri, memilih untuk menggunakan pekhidmatan kereta api hanya untuk berkongsi pengalaman dengan sistem pengangkutan tersebut.

Perjalanan sejauh 1,125 kilometer melalui perkampungan tradisional itu walaupun jauh dan mengambil masa selama kira-kira 20 jam tetapi tidak menjemukan, sebaliknya dapat melihat sendiri suasana penduduk desa di negara gajah putih tersebut

menjalankan aktiviti harian di sepanjang laluan kereta api ke Bangkok. 


Peserta rombongan bergambar kenangan di Lapangan Terbang Bangkok untuk perjalanan pulang.



Bagi sebahagian besar peserta yang berstatus warga emas, ini adalah kali pertama mereka menikmati suasana menaiki kereta api di negara berkenaan. 

Sepanjang perjalanan, ahli-ahli rombongan dapat melihat dari dekat kesan bencana banjir besar yang melanda kampung-kampung pedalaman di selatan Thailand pada Disember 2023 lalu.

Selepas empat jam bertolak dari Sungai Golok, kereta api singgah di bandar Hatyai dan peserta telah dibekalkan dengan makanan nasi minyak oleh pembekal yang ditempah khas oleh agensi pelancongan. 

“Memang seronok dapat makan atas kereta api,” kata peserta Akhyar Wan.


Ahli rombongan menikmati makanan di atas kereta api


Selepas satu jam berlepas dari Hatyai, petugas kereta api sibuk pula mengubah suai tempat duduk masing-masing untuk dijadikan tempat untuk tidur.

Sekali lagi peserta begitu seronok kerana dapat tidur dengan selesa seperti di sebuah hotel dengan bilik tidur berhawa dingin.

Peserta, Romali Ismai, dari Setiu berkata, beliau tidak menyangka dapat menikmati keseronokan menggunakan pekhidmatan kereta api. 

“Walaupun jauh dan mengambil masa agak lama tetapi tidak terasa kerana boleh makan, berjalan dan tidur di atas kereta api,” katanya yang turut ditemani isterinya.


Bergambar kenangan sebelum menaiki kapal persiaran di Sungai Chao Phraya


Program lawatan sosial anjuran PPKM Besut itu turut memilih pelbagai destinasi pelancongan menarik di sekitar Bangkok dan Pattaya. 

Antaranya termasuklah Noong Nooc Garden, makan malam di atas kapal Persiaran di Sungai Chao Phraya, melawat kawasan pasar yang menjadi laluan kereta api.

Pendek kata, lawatan tersebut amat berbaloi apa lagi apabila sebut fasal makanan yang sememangnya sedap dan murah di semua bandar di Thailand. - KitaReporters


Makan malam di atas kapal persiaran di Sungai Chao Phraya, Bangkok.

15
13
0
10
0

Copy Link: