SUDAH diumumkan bahawa tiada aktiviti Bazar Ramadan di negeri Pahang tahun 2020 ini. Keputusan itu diambil bagi mengelak orang ramai berkumpul, sekali gus berkemungkinan meningkatkan semula penularan wabak pandemik COVID-19. Sehubungan itu, kerajaan negeri menawarkan satu alternatif. : KitaReporters


Pahang mengikut jejak beberapa negeri lain seperti Selangor, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan apabila mengumumkan tiada aktiviti Bazar Ramadan pada bulan Ramadan 2020/1441 ini. 

Terbaik Pahang kerana membuat keputusan yang amat melegakan menjelang kehadiran bulan mulia itu kira-kira dua minggu lagi. 

Ketiadaan Bazar Ramadan di Pahang tidak jadi masalah. Peniaga dan pelanggan boleh terjah portal PahangMart.

Peniaga boleh berniaga dan pelanggan boleh mencari juadah pilihan untuk berbuka puasa secara dalam talian (online). 

Senang dan mudah tanpa perlu merisikokan diri dengan virus yang belum tentu bila akan berakhir.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini, Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri membuat keputusan tidak membenarkan penganjuran aktiviti Bazar Ramadan di kesemua kawasan di bawah pentadbiran 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  di negeri ini.

Dato' Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Menurutnya, ia juga sebagai mematuhi saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak menggalakkan sebarang bentuk perhimpunan membabitkan orang ramai dalam tempoh enam bulan hingga setahun, tanpa mengira sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang dilanjutkan lagi atau tidak.    

Sebagaimana kita sedia maklum, PKP Fasa 1 bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020, telahpun dilanjutkan ke Fasa 2 sehingga 14 April 2020 dan disambung ke Fasa 3 sehingga 28 April 2020. 

Umat Islam pula dijangka memulakan ibadah puasa pada 24 April 2020. 

Bagaimanapun, peniaga bazar tidak dibiarkan begitu sahaja seperti "anak ayam kehilangan ibu". 

Ada jalan penyelesaainnya. Anda (peniaga dan pembeli) tidak perlu risau. Caranya? 

Peniaga-peniaga Bazar Ramadan boleh mengambil peluang berniaga secara dalam talian (online) dengan mendaftar dalam aplikasi PahangMart.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri telahpun meminta pihak pengurusan PahangGo (pihak yang bertanggungjawab membina portal PahangMart ini) agar dapat menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan para peniaga untuk terus ‘mencari makan’, manakala rakyat/pengguna dapat membuat pesanan makanan untuk juadah berbuka puasa

“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan melancarkan ‘platform’ pasar raya dalam talian (online) atau portal dikenali PahangMart yang akan memaparkan senarai pasar raya yang beroperasi dalam negeri Pahang berserta barangan jualan mereka. 

“Turut dipaparkan ialah senarai tapak Bazar Ramadan serta gerai-gerai jualannya, dan rakyat/pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan menerusinya,” katanya. 

Beliau juga berkata, selain menggunakan perkhidmatan penghantaran sedia ada, PahangGo juga akan menyediakan ‘platform’ penghantaran menggunakan khidmat penghantar (runners). 

Kredit foto: Arkib NSTP


Menurut Menteri Besar, rakyat Pahang yang berminat untuk mendaftar sebagai penghantar (runner) ini pula, boleh menghubungi PahangGo menerusi laman sosial mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Menerusi inisiatif ini, diharap dapat membantu bukan sahaja rakyat/pengguna untuk membeli juadah Bazar Ramadan dan barangan keperluan harian lain, malah boleh membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus berniaga dalam tempoh yang sukar akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya. 

Sejumlah 94 lokasi membabitkan 4,639 peniaga di 11 PBT dan di bawah pentadbiran Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) terbabit dengan aktiviti Bazar Ramadan berdasarkan statistik pada 2019.

Untungkan peniaga Bazar Ramadan Pahang. 

Masih berpeluang mencari rezeki melalui portal PahangMart. Bersamalah kita berniaga dan membeli secara berhemah, telus dan amanah. - KitaReporters

0
2
0
0
0

Copy Link: