Identiti Pahang jadi inspirasi Kuantan Art Street. -
Kredit foto-foto Lukisan Mural 3D: Bazaei Ahmad
Bertepatan dengan pemasyhuran Kuantan sebagai bandar raya pada 21 Februari 2021 lalu, usaha memperindah dan mencantikkan lagi kawasan persekitaran ibu negeri Pahang itu terus giat dilaksananan.
Ini termasuk penggunaan konsep lukisan mural 3D di beberapa dinding premis perniagaan yang terpilih sekitar bandar itu.
Dinding bangunan kedai di lorong belakang antara Jalan Besar dan Jalan Mahkota yang terletak di tengah-tengah kesibukan bandar Kuantan yang dahulu kosong, kini dihiasi dengan lukisan mural 3D. Laluan pejalan kaki juga menggunakan konsep 3D. Canggih!
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan mural:
https://kitareporters.com/search?search=mural
Dulu suram, sepi dan kelam namun kini sudah terang benderang dan penuh dengan lukisan yang menyentuh jiwa dan menggamit memori silam. Kenangan mengusik jiwa betul!
Semua itu merupakan hasil kerja 14 anak jati Pahang berusia antara 26 dan 52 tahun dikenali sebagai 'Projek ZeroSix' iaitu simbolik kepada kod nombor kad pengenalan artis yang terbabit dalam projek yang diselia oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), iaitu kosong enam (06) mewakili kod untuk negeri Pahang.
Dinding premis bangunan di lorong yang diberi nama 'Kuantan Art Street' sepanjang 200 meter itu sebahagian besarnya sudah ditransformasikan dalam bentuk lukisan mural 3D bakal mula menjadi lokasi tumpuan pelancong sejak awal untuk melihat dan merakam kenangan.
Mohammad Amer Farouk
Wakil kumpulan, Mohd Amer Farouk, 31, berkata, mural sepanjang 200 meter itu pada asalnya adalah sebahagian daripada projek persiapan Kuantan dinaik taraf sebagai bandar raya.
Bagaimanapun, kerja-kerja menyiapkannya terpaksa ditangguhkan kerana hujan berterusan pada awal tahun ini menyebabkan ia tidak dapat disiapkan sebelum pengisytiharan pada 21 Februari 2021.
"Pada peringkat awal, kerja melukis mural dimulakan dengan mengecat semula bangunan menggunakan warna putih supaya lukisan lebih mudah menonjol, namun hujan menyebabkan kerja terganggu hampir sebulan.
"Walaupun masih belum siap sepenuhnya, lorong ini sudah menerima kehadiran pengunjung dan kami seronok apabila melihat mereka sangat teruja bergambar," katanya.
Seorang pengunjung melihat keindahan lukisan dan merakamkan gambar kenangan.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan teknik melukis dan semburan cat dan selepas setuju dengan gambar sesuai untuk dilukis, mereka terus melukis dan mengecat.
Mohd Amer berkata, antara mural yang menjadi pilihan ramai lukisan kerbau hitam menarik pedati berisi hasil laut, iaitu diilhamkan daripada masyarakat nelayan di Pantai Beserah yang menggunakan khidmat haiwan itu sekitar tahun 70-an bagi memudahkan kerja.
Antara mural yang sudah siap dilukis.
Turut mendapat perhatian ialah lukisan batik menggunakan teknik ikat dan gambar aktiviti luncur ombak di Pantai Cherating terkenal kepada peminat sukan lasak itu.
Turut diabadikan di situ ialah paparan seorang lelaki memakai baju belang berwarna firus, putih dan hitam memasak burger dikenali sebagai Lan Burger iaitu individu pertama membuka gerai burger di bandar Kuantan sekitar 1977 dan lakaran susuk tubuh tukang kasut khusyuk dengan kerjanya, panorama yang biasa dilihat di tepi-tepi kedai sekitar bandar raya ini.
Bagi Ahmad Fadzril Abdul Ruzsnan, 27, lukisan yang paling sukar dihasilkan ialah naga berwarna hijau pada bangunan setinggi tiga tingkat yang mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan.
"Lukisan ini diinspirasikan daripada kisah rakyat Naga Sri Gumum yang diceritakan 'menghuni' Tasik Chini di Pekan.
"Bonus dalam melukis naga ialah apabila bangunan itu mempunyai tangga berpusing di sebelahnya membolehkan kami menggunakannya sebagai badan naga.
"Namun ia juga menyebabkan kami perlu lebih teliti mengira kedudukan tangga supaya pergerakan naga tidak janggal, selain perlu disesuaikan dengan perincian sisik naga.
Lukisan mural 3D Gajah yang sinonim dengan negeri Pahang.
"Satu lagi lukisan yang turut melibatkan bangunan tinggi ialah lukisan gajah yang menjadi sebahagian identiti negeri ini," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Bila dah cantik ni, jangan ada tangan-tangan gatal dan terlebih kreatif pula menambah-nambah lagi contengan pada mural yang dah cantik berseni tu.
Pengunjung melihat keindahan lukisan dan merakamkan gambar kenangan.
Sementara itu,
Azri Azahar, 31, berkata, tema pada bangunan kedai itu dibincangkan bersama ahli kumpulan sebelum 'diangkat' kepada pihak Majlis Bandaraya Kuantan bagi persetujuan mereka dan melalui beberapa proses penambahbaikan supaya ia benar-benar mencerminkan identiti Pahang dan Kuantan khususnya.
"Mereka yang berasal dari Kuantan pastinya dapat meneka maksud nombor 25000 berwarna hitam putih iaitu sebagai poskod daerah ini dan gambar kerang gergasi menggambarkan Taman Kerang, sebuah kawasan rekreasi berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan yang popular dalam kalangan penduduk setempat.
Seorang pengunjung bergambar berlatarbelakangkan lukisan mural.
Warga Kuantan ceria bergambar berlatarbelakangkan lukisan mural sebuah beca.
"Saya gembira apabila peniaga di sini (Kuantan) mengatakan lorong belakang yang dahulunya gelap, kini lebih hidup disebabkan lukisan kami.
"Malah, ada yang mengatakan keadaan kini lebih bersih dan lebih selamat pada waktu malam dengan adanya lampu yang dihidupkan mulai jam 7 petang.
"Saya berharap lukisan kami juga membantu peniaga di sini memperoleh pendapatan lebih baik dengan kedatangan pelancong selepas lama terkesan dengan pandemik Covid-19.
"Bagi pengunjung pula, saya amat berterima kasih jika hasil seni kami dinikmati sebaiknya dan tidak menjadi mangsa vandalisme," kata Azri.
Antara mural yang sudah siap dilukis.
Bandar raya Kuantan kini sudah ada Menara Kuantan 188 dan dinding cantik dihiasi lukisan mural 3D.
Jagalah kebersihan, keindahan dan kelebihan yang ada. Jangan dicemari dengan perbuatan yang tiada kesedaran sivik seperti laku musnah (vandalisme).
Jangan ditambah dengan contengan yang mencemarkan lukisan yang cantik ini. - KitaReporters
Antara mural yang sudah siap dilukis.
Laluan pejalan kaki juga dihiasi dengan batu bata berkonsepkan 3D