BESERAH PUN ADA MI BANDUNG ALA MUAR TAU!!
Published byJOM terjah warung yang terletak di tepi pantai Beserah, Kuantan ni sambil menikmati keenakan Mi Bandung Viral yang padu dan 'merecik hawau' tu. Lokasi? Terletak bersebelahan Hotel Mandurah, Jalan Beserah. : KitaReporters
Mi Bandung Viral pilihan utama di Warung Dapur Kekanda
Bila sebut mi bandung apa yang terfikir pada fikiran penggemarnya adakah ia sama dengan Mi Bandung Muar (biasa disebut Muo) yang popular di Bandar Muar khususnya dan Johor amnya itu.
Kalau tak dapat makan mi bandung versi Muar ni atau tak kena dengan selera memang bukan mi bandunglah jawabnya.
Itu penangan menu mi bandung yang selalu sangat disamakan dengan Mi Bandung Muar.
Penulis pun sama. Kalau nak makan mi bandung haruslah bertanya kepada pelayan yang ambil pesanan sama ada mi bandung di kedainya sama atau tidak dengan resepi Mi Bandung Muar.
Kalau sama.. penulis order. Kalau tidak, rela pilih menu lain. Demand sangat kan!
Sebenarnya mi bandung ni banyak versi. Resepi dan ramuan yang digunakan juga berbeza.
Kalau di Kuantan biasanya ada diletakkan hirisan tomato dan telur rebus atau telur mata dan kuahnya memang berbeza dengan Mi Bandung Muar.
Ada rasa masam manis dan sedikit cair.
Bagi penggemar mi bandung versi Muar ni dan agak sukar nak jumpa di mana-mana kedai makan atau restoran di Kuantan, bolehlah singgah menjamu selera di Warung Dapur Kekanda milik Jasmani Jaman, 35, yang diusahakan bersama suami, Khairuddin Jaafar, 44, di Kampung Baru, Beserah, Kuantan yang dibuka sejak 10 tahun lalu.
Jika dilihat pada warung ini, tiada apa yang istimewanya, sama seperti kedai-kedai makan lain yang berderet dibuka berhadapan dengan pantai.
Kelainannya, Warung Dapur Kekanda menyajikan mi bandung yang enak dan menepati selera peminat Mi Bandung Muar malah ada pelanggan meninggalkan komen dengan sebutan 'merecik hawau' di laman sosial facebook bagi menggambarkan keenakan sajian berkenaan.
Jasmani turut membuat hantaran di Facebok beberapa perkongsian pelanggan yang sudah berkunjung ke Warung Dapur Kekanda yang memberi maklumbalas positif dan mengajak pelayar internet menjamu selera di sana. Padu beb !
Ketika ditemui, Jasmani berkata, dia sedia berkongsi resepi masakannya jika ada pelanggan yang bertanya kerana baginya ia sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang memuji keenakan hasil air tangannya itu.
"Bagi saya, tak perlu nak berahsia sangat kerana air tangan masing-masing berbeza walaupun bahan resepi tu sama je. Siapa yang nak resepi saya beri.
"Semuanya saya masak sendiri menggunakan bahan yang sama seperti peniaga lain. Saya masak seperti untuk makan sendiri bersama ahli keluarga. Masak dengan penuh kasih sayang," katanya.
Menggunakan laman sosial Facebook bagi mempromosi kedainya yang sedikit tersorok daripada pandangan umum, Jasmani mengakui mendapat maklum balas positif daripada pelanggan terhadap menu yang disediakan terutama Mi Bandung Viral yang begitu memikat selera.
Makan-makan di berhampiran pantai memang mengasyikkan ditambah pula dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa!
Mengenai bahan untuk persediaan mi bandungnya itu, Jasmani berkata, dia menggunakan gabungan cili kering, bawang putih, bawang merah dan gula perang yang dikisar terlebih dahulu bagi menyediakan pes mi bandung. Bahan berkenaan ditumis sehingga naik bau sebelum memasukkan air rebusan sotong kering untuk menambah kelazatan pada kuahnya.
Selepas bahan dimasak dan disebatikan, campuran garam, gula dan tepung jagung pula dimasukkan untuk mendapatkan kepekatan kuahnya.
"Bagi mendapatkan pes yang lebih sedap dan menambat selera saya campurkan sedikit minyak masak dan tumis dalam tempoh dua setengah jam dan masukkan kacang tanah yang dikisar," katanya.
Mi Bandung Viral menjadi pilihan penggemar Mi Bandung Muar
Gabungan potongan, ayam, sotong, udang, bebola daging dan kek ikan dengan taburan bawang goreng dan kacang tumbuk yang menghiasi permukaan hidangan panas itu pasti mengecurkan air liur pelanggan.
Selain mi bandung yang menjadi pilihan pelanggan, Jasmani turut menyediakan nasi lemak, nasi goreng, nasi ayam dan mi sup.
Bagi yang nak makan ringan-ringan, menu disediakan seperti French Fries, Cheesy Fries, Loaded Fries, Corney Beef, Cheesy Wedges, Nachos Chilli's Cheese, Spicy Korean Chicken, Nugget Tempura, keropok lekor dan Lekor Cheese.
Cheesy Fries ni memang sedap makan ketika panasSelepas menikmati makanan boleh berjalan di gigi air pula malah jika masih punya masa terluang sebelum senja, boleh tunggu bot nelayan pulang membawa hasil laut.
Warung Dapur Kekanda yang terletak bersebelahan Hotel Mandurah, Jalan Beserah itu dibuka setiap hari mulai jam 5.30 petang hingga 12.00 malam.
Jom makan sambil lepak-lepak menyedut udara malam yang dingin. - KitaReporters