Hari Rekreasi Putrajaya datang lagi! Bercanda di persisiran tasik! Berkelah, berendam! 12 Okt 2024!
Published byJIKA sudah lama tidak menikmati keseronokan bermain air, apa kata anda hadir ke Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya, Sabtu ini, 12 Oktober 2024 sempena Hari Rekreasi Putrajaya 2024 (HRP 2024). Selain dapat berkelah, bersantai bersama keluarga pada hari minggu, anda juga berpeluang berendam sepuas hati di tasik Putrajaya.
Inilah peluang keemasan yang ditunggu-tunggu selama ini. Memang seronok dapat berendam kerana bukan mudah melakukan aktiviti begitu selain bersantai bersama keluarga dan kawan-kawan dengan menghadap pemandangan "sunset" di persisiran tasik Presint 4 yang sangat indah.Penolong Pengarah, Bahagian Rekreasi dan Operasi Taman, Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya, Mohamad Raafiq Saiful Anuar, berkata aktiviti Jom Apong Diri (Water Confident) memberi peluang warga Putrajaya dan pengunjung berendam dan menikmati keseronokan bermain air buat pertama kalinya kerana pada hari-hari biasa, tiada aktiviti sebegini dibenarkan.Menikmati keindahan petang dan matahari terbenam di pesisir Tasik Putrajaya adalah nikmat yang mendamaikan dan tidak boleh diluahkan dengan kata-kata.
Beliau berkata, aktiviti itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang sukakan air dan mahu merasa pengalaman mandi di tasik tapi anda mesti berusia 10 tahun ke atas. Ia berbentuk keyakinan diri dalam air dan memberi peluang anda berendam dalam tasik.
"Jom Apong Diri diadakan pada waktu pagi, bolehlah anda merasa kedinginan air tasik Putrajaya, ia tidak sama mandi di sungai atau kolam. Soal keselamatan usah bimbang kerana kami menyediakan petugas yang menjaga keselamatan peserta sepanjang berendam bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini."Setakat ini kami menerima 400 penyertaan untuk aktiviti Jom Apong Diri, memang ramai tapi jika pengunjung mahu mengambil bahagian, mereka boleh mendaftar lagi secara "walk-in" pada Sabtu ini. Ada sesi penerangan sebelum mereka dibenarkan masuk berendam dalam tasik.Mohamad Raafiq Saiful Anuar
"Jangan lupa menggenakan pakaian yang sesuai untuk berendam dalam tasik dan membawa pakaian ganti kerana anda perlu menukar selepas beberapa jam mandi manda nanti," katanya dalam program temu bual bersama Radio KPKT.
Selain itu, katanya di sebelah pagi juga diadakan Swimathon (renangton) iaitu acara berenang jarak jauh, ada empat kategori dipertanding dengan menyediakan hadiah lumayan iaitu kategori Junior sejauh 500 meter, selain untuk perenang pro bagi kategori 1.5 kilometer, tiga kilometer dan enam kilometer."Bagi acara Swimathon, penganjur akan membuat tapisan bagi memastikan peserta yang mengambil bahagian, tahu berenang dan tiada sebarang masalah kesihatan. Kami turut menyediakan petugas yang akan memantau serta mengawasi semua peserta sepanjang renangan itu," katanya lagi.Inilah peluang anak-anak untuk menikmati waktu-waktu indah bermain pasir bersama kawan-kawan sempena HRP 2024.
Mohamad Raafiq berkata, acara lain yang diadakan sempena HRP 2024 ialah Pasar Seloka, Water Theme Park, Perang Air (Water War), Sukan Kenangan seperti menangkap anak ikan, perah air dalam botol, lumba lari bawa belon, acara tong air, lambungan belon beracun dan pancing botol air.
"Semua acara sempena HRP 2024 adalah percuma dan pengunjung boleh membuat pendaftaran secara "walk-in" di tapak acara seawal jam 7 pagi bagi memastikan anda dapat menyertai pelbagai acara yang diadakan"Selain acara zumba di sebelah pagi, pada petangnya pelbagai acara menarik disediakan di pentas utama, antaranya cabutan bertuah, permainan silap mata dan persembahan pentas yang menampilkan pemuzik generasi baharu dan busker serta Wetland Studio daripada KRU Entertainment," katanya.Pesisir tasik Anjung Floria yang bakal mengadakan Hari Rekreasi Putrajaya 2024 dan pelbagai aktiviti air.
Sementara itu, Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop, berkata hari rekreasi memang disambut di beberapa negara di dunia bagi membolehkan rakyat mereka untuk keluar dan menikmati suasana rekreasi, begitu juga di Putrajaya.
Beliau berkata, HPR 2024 pada Sabtu 12 Oktober 2024 ini diadakan dari jam 7 pagi hingga 7 malam, serentak dengan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 bagi memberi peluang warga Putrajaya dan pengunjung luar menikmati keindahan tasik dan merasakan keseronokan bermain air, sesuai dengan "tagline", Putrajaya Bandar Mesra Rekreasi. "Program yang diadakan juga bagi menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kesihatan mental, menghilangkan stres, merapatkan hubungan kekeluargaan, mempromosi keindahan dan kepelbagaian rekreasi di pusat pentadbiran negara itu. “HRP2024 akan bermula jam 7 pagi hingga 7 malam dan masih mengekalkan lokasi yang sama iaitu Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya. Lokasinya bertepatan dengan pengisian utama hari rekreasi supaya pengunjung dapat menikmati pelbagai aktiviti air," katanya.Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop
Menurutnya, setakat ini persiapan untuk HRP 2024 hampir 85 peratus siap dan penganjur yang mempunyai pengalaman menganjurkan acara itu sejak 2022 bersedia menyambut kehadiran pengunjung termasuk dari luar Putrajaya.
Pelbagai kemudahan menanti orang ramai termasuk tempat makan atau Pasar Seloka yang menyediakan pelbagai keenakan masakan dalam dan luar negara.
"Harapan kami, melalui HRP 2024, ia dapat memberi sedikit nikmat kepada peniaga kecil dan usahawan muda tempatan bagi mengetengahkan produk mereka secara meluas dan lebih dekat kepada orang ramai.
"Melalui penganjuran HRP 2024, secara tidak langsung kami dapat memperkenal Putrajaya sebagai bandar mesra rekreasi yang dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.
“Kami juga berharap HRP 2024 dijadikan acara tahunan pada peringkat kebangsaan selain menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras terutama terhadap penekanan kepada keindahan landskap bandar, pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan dan sokongan kepada gaya hidup sihat,” katanya.
HRP 2024 menjanjikan keseronokan berkelah bersama keluarga selain menikmati pelbagai aktiviti air.
Orang ramai yang berminat untuk mengambil bahagian dalam HRP 2024, pendaftaran boleh dibuat melalui imbasan QR Code pada poster atau pautan yang disediakan melalui laman sosial Perbandaran Putrajaya seperti FB, IG dan TikTok untuk maklumat lanjut. - KitaReporters