.


SUDAH sebahagian tradisi Ramadan, bubur lambuk adalah sajian yang "wajib" ada kerana juadah itu adalah lambang ukhwah dalam kalangan masyarakat Islam.

Ini kerana dari acara mengacau bubur dilakukan dalam suasana meriah dan bergotong-royong sehingga membungkus dan mengedarkan secara percuma sebagai sedekah yang pahalanya berganda-ganda sempena bulan mulia yang disambut sejak 2 Mac 2025.

Ketika Ramadan sedang menginjak ke penghujungnya, bekas kakitangan Utusan tidak lupa, mengambil peluang meneruskan tradisi itu, meraikan bulan yang penuh barakah ini dengan mengedarkan hampir 500 bekas bungkusan Bubur Lambuk Utusan yang menjadi tradisi buah tangan akhbar itu kepada kakitangannya sejak bertahun-tahun lamanya.



Kali ini sajian itu kekal dengan nama Bubur Lampuk Utusan tapi ditaja oleh portal berita dalam talian, KitaReporters.com yang diketuai bekas Pengarang Kanan Online Utusan, Gamal Nasir Mohd Ali (kini Ketua Editor KitaReporters) yang mengambil insiatif menaja bubur lambuk itu sebagai menyambung semula ukhwah kakitangan yang bertahun-tahun setia bertugas dengan akhbar Utusan, Melayu, Utusan Malaysia dan Kosmo! semasa berada di bawah syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Sumbangan juga diterima daripada beberapa individu prihatin bagi melancarkan dan meeriahkan lagi projek memasak bubur lambuk ini.

Bubur lambuk itu kemudian diedarkan kepada orang ramai termasuk surau dan sesetengahnya lagi diedarkan kepada pekerja dan staf syarikat-syarikat berhampiran tempat memasak di Kantin Mak Ani, Jalan Utusan (dulunya Jalan Enam) off Jalan Chan Sow Lin. 

Sekawah bubu lambuk itu dimasak oleh Kamsari Noor dengan dibantu oleh Mohd Haris Mohd Yunos, Zulkifle Mad Amin, Saloma Mohd Jamain, Rohana Man, Suhaila Abd Rahman, Mohd Azmi Abd Mutalib, Norashidah Mohd Kassim, Asmaruddin Jamaluddin, Sedek Ismail, Aisha Abdullah dan Bazli Abd rahman. Semua kerja bermula jam 9 pagi dan siap menjelang tengah hari.

Kumpulan Utusan beroperasi sejak 1938 sehingga ditutup operasinya pada 2019 selepas 81 tahun ekoran keputusan pengurusan tertinggi syarikat untuk melakukan penggulungan sukarela. 

Kini kedua-dua akhbar berwarisan itu - Utusan Malaysia dan Kosmo! - sudah kembali beroperasi tetapi di bawah entiti syarikat berlainan.



Kenangan mengacau bubur lambuk itu mengembalikan nostalgia suka duka dan manis pahit bagi bekas kakitangan Kumpulan Utusan itu dulu yang berhimpun si bawah satu bumbung sambil menyambung silaturahim antara kakitangan daripada pelbagai jabatan.

Kini projek memasak dan mengedarkan Bubur Lambuk Utusan itu dihidupkan semula sebagai satu usaha kecil bagi mengekalkan nama besar akhbar Suara Keramat Bangsa itu serta kenangan bekerja dengan syarikat yang dinamakan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. - KitaReporters

19
17
0
12
0

Copy Link: