Din Laksa Telok Kechai! Legasi 80 tahun terus bertahan! Sambal nyior rahsia tambat selera pelanggan!
Published byMAMPU bertahan sehingga lebih 80 tahun, Din Laksa Telok Kechai boleh dianggap antara perniagaan makanan paling lama di Kedah malah negara ini. Kini, jenama yang sinonim dengan penduduk negeri di utara itu sudah diwarisi generasi keempat dan lima.
Memulakan operasi secara kecil-kecilan sejak 1940-an sekitar Jalan Kuala Kedah, perniagaan itu diilhamkan oleh Ariffin Ibrahim atau Tok Pin sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Beliau menggunakan kandar dan membawa makanan itu untuk dijual dari rumah ke rumah. Ketika itu ia dikenali sebagai Tok Pin Laksa.Apabila Tok Pin meninggal dunia, perniagaan itu diambil alih dua anaknya, Abdul Rahman dan Tom Ariffin bersama pasangan masing-masing. Mereka berniaga menggunakan basikal dengan meletak tong kayu di belakang dan keluar berniaga secara bergilir mengikut hari yang ditetapkan.Laksa yang dihidangkan dengan kuah yang panas dan dicampur sambal nyior memberi kesedapan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Selepas Abdul Rahman meninggal dunia, Tom dan suaminya, Kamaludin Jusoh mengambil keputusan berniaga secara tetap di bawah rumah mereka di Teluk Kechai dan kemudian diikuti anak bongsu Ariffin, Ramlah dan suaminya Zakaria.
Pengurus Din Laksa Telok Kechai, Shaiful Azhar Abu Bakar, berkata ketika berniaga di bawah rumah inilah, Kamaludin atau Pak Din menukarkan nama yang ada sekarang sehingga popular dalam kalangan pelanggan tempatan dan seluruh negara.Beliau berkata, isterinya, Roziana Noor yang juga anak bongsu Kamaludin memberitahu, arwah bapa dan ibunya banyak berkorban bagi memastikan perniagaan laksa yang diasaskan oleh datuknya, Ariffin Ibrahim terus mendapat sambutan orang ramai.Shaiful Azhar Abu Bakar
"Dulu, laksa hanya dijual 50 sen sepinggan tapi arwah bapa mertua saya masih mampu bertahan dan membesarkan anak-anak hasil daripada perniagaan laksa itu.
"Arwah Pak Din juga membeli mesin untuk membuat laksa dan sekeping tanah di sebelah rumah untuk membina sebuah kedai bagi memastikan perniagaan itu dapat dijalankan dengan lebih selesa. Din Laksa berpindah dari bawah rumah ke tapak baru ini sejak 1998," katanya.Di bawah rumah inilah laksa dijual selama 40 tahun sebelum berpindah ke kedai yang tetap dan lebih selesa.
Beliau berkata, perpindahan ke lokasi baharu ini membolehkan jumlah laksa dijual di antara 80 hingga 90 kilogram sehari walaupun permulaannya agak perlahan kerana ramai belum tahu kedai baru itu.
Tapi, pada hari-hari tertentu terutama Aidilfitri, jualan meningkat sehingga 150 kilogram sehari kerana ramai pelanggan menempah untuk anak-anak yang pulang dari ibu kota dan rumah terbuka.
"Kami menghasilkan laksa sendiri, dari A hingga Z menggunakan resipi yang diwarisi sejak nenek moyang. Ia menggunakan beras dan cara membuatnya masih mengekalkan kaedah tradisional, cuma ada perubahan teknologi berbanding penggunaan seratus peratus tenaga manusia sebelum ini.
"Kuah laksa menggunakan ikan selayang dan rasanya tidak berubah sejak lebih 80 tahun kerana penyediaan laksa ini menggunakan kayu api. Aroma dari kayu api menjadikan rasanya lebih sedap berbanding menggunakan dapur gas," katanya.
Cara menyediakan laksa dan kuahnya masih dimasak menggunakan arang kayu.
Populariti Din Laksa Telok Kechai menyebabkan ia bukan saja menerima kunjungan pelanggan biasa tapi orang kenamaan termasuk artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, pelawak Lan Pet Pet, Amy Search, kumpulan nasyid In-Team,Intan Ladyana dan Kamal Adli dan lain-lain.
"Bagi mempelbagaikan menu, kami juga menjual makanan lain seperti satay ayam dan daging , dadih dan pulut sambal," katanya.
Lan Pet-Pet (kanan) antara artis yang menjadi pelanggan tetap Din Laksa Telok Kechai.
Bagi waris ketiga Laksa Din Telok Kechai, Emelia Eliza Mohd Khairi, keistimewaan laksa itu ialah sambal nyior (kelapa) yang digaul bersama kuah laksa sehingga sebati. ini memberi rasa berbeza antara lemak nyior dan kemanisan ikan selayang. ini menyebabkan ramai memuji laksa berkenaan kerana hanya kedai itu menggunakan resepi berkenaan.
Beliau berkata, laksa sambal nyior yang popular sejak 80 tahun itu kini sudah diwarisi generasi ketiga dan keempat. Ia masih bertahan dan popular bukan saja di Kedah tapi seluruh negara.
Majalah Tiga terbitan TV3 pernah datang ke sini untuk membuat cerita mengenai Din Laksa Telok Kechai.
Berdasarkan maklum balas pelanggan, mereka memberitahu sambal nyior di Din Laksa Telok Kechai lebih sedap walaupun mereka pernah makan di tempat lain.
"Alhamdulillah, resipi menggunakan sambal nyior ni memang berjaya menambat selera pelanggan untuk datang lagi makan di sini malah kebanyakan mereka memberitahu jika tidak digaul kuah bersama sambal nyior memang tidak puas menikmati laksa di sini.
"Tapi, ada juga pelanggan tidak tahu cara menggaul sambal nyior itu, jadi apabila kami beritahu mereka, pelanggan memberi respons yang positif dan kata mereka kuat lebih pekat dan sedap. Dari kali pertama datang, mereka sudah menjadi pelanggan tetap kami," katanya.
Emelia Eliza Mohd Khairi
Ditanya keseronokan berniaga laksa, katanya perniagaan itu sudah adalah sumber pendapatan utama keluarga sejak turun temurun malah arwah datuk membesarkan kami adik beradik hasil daripada perniagaan ini selain dapat memberi pekerjaan kepada orang lain.
"Saya juga seronok melihat pelanggan suka dengan laksa dan makan sehingga llicin malah yang kelakar, ada yang turut menghirup kuah kerana kata mereka terlalu sedap untuk ditinggalkan dalam pinggan.
"Apabila melihat pelanggan gembira dan menikmati laksa di sini, saya gembira malah terharu hinggakan keletihan menyediakan laksa dan kuah hilang malah kami bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini dan diwariskan kepada generasi akan datang," katanya.
Inilah laksa yang menjadi legasi dan mampu bertahan selama lebih 80 tahan.
Katanya, melalui pengurusan baru, beliau berharap dapat meningkatkan lagi pelanggan ke sini selain mempromosi laksa ini ke seluruh negara, biar jadi ikon negeri Kedah sebagai makanan tradisi yang perlu dipertahan terutama dalam kalangan generasi muda.
"Din Laksa Telok Kechai dibuka setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam kecuali Jumaat dari jam 2.30 petang. Perniagaan kami ditutup setiap Isnin.
"Setakat ini, kami tiada cadangan membuka cawangan di tempat lain walaupun ada permintaan berikutan kekangan teknikal selain mahu menjadikan lokasi di sini eksklusif dalam kalangan pelanggan, bila sebut laksa, mereka akan ingat dan datang ke sini.
"Saya menganggap laksa satu menu yang dilupakan, bukan makanan ruji seperti nasi, maka menjadi tanggungjawab kami mempopularkan makanan ini, biar ia menjadi seperti nasi dagang di Terengganu atau nasi kerabu di Kelantan. Mungkin ambil masa tapi perjuangan akan diteruskan oleh anak-anak dan cucu-cucu kami nanti, insya-Allah," katanya. - KitaReporters
Penulis dan isteri bersama Shaiful Azhar Abu Bakar (kanan) ketika mengunjungi Din Laksa Telok Kechai, baru-baru ini.