PERTAMA kali bertemu pasti anda beranggapan beliau 'kurang siuman' kerana bercakap seorang diri dengan suara lantang kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai cendol Leman Dawi di Sungai Gadut, Senawang, Negeri Sembilan. : KitaReporters.com

LEMAN DAWI (berdiri) bermesra dengan pelanggan sambil menampilkan kemahiran beliau dalam pengetahuan ehwal semasa  dan kira mengira.


Beliau akan menyapa setiap orang yang datang ke gerai cendol tersebut dengan ucapan mesra selamat datang, dituruti dengan pelbagai rentetan kata-kata kepada pengunjung. Ia bagai komunikasi satu hala yang menyebabkan orang ramai menyangka beliau kurang siuman.

Namun setelah beberapa ketika, anda akan tahu beliau bukan seperti apa yang mungkin anda sangka. 

Bagi yang sudah biasa berkunjung ke gerai cendol tersebut khususnya, sudah mengenali dan biasa dengan lagak insan unik bernama Sulaiman Dawi, 67, atau dikenali dengan nama Leman Dawi ini.

Beliau sebenarnya ialah pemilik gerai cendol Leman Dawi di Sungai Gadut. Gerai berdekatan dengan stesen komuter Sungai Gadut ini dibuka pada tahun 1985 ketika beliau masih dalam perkhidmatan tentera.  Ia diusahakan dengan bantuan isteri dan dua anaknya.

Kewujudannya sejak 34 tahun lalu, ditambah dengan rasa cendolnya yang sedap, menjadikan gerai cendol tersebut tumpuan ramai, baik bagi penduduk  di kawasan berdekatan atau mereka dari luar kawasan yang datang untuk menikmati keenakan cendol di situ.  

Penulis yang pertama kali berkunjung ke gerai tersebut baru-baru ini.

PENGUNJUNG berbaris untuk memesan cendol.


Pada mulanya memang hairan dengan lagak Leman Dawi yang bagai ‘meracau’ sambil melayan tetamu. Namun selepas beberapa ketika perasaan ini hilang.

Penulis  menyedari Leman Dawi adalah insan waras sekalipun sikap uniknya kadang kala menggambarkan seolah-olah beliau kurang siuman.

Malah penulis menyedari Leman Darwi adalah seorang cerdik pandai. Pelbagai khazanah ilmu terkumpul dalam mindanya. Bukan sembarangan hebatnya pengetahuan hal ehwal semasa serta ilmu kira mengira yang dimilikinya.

Tutur katanya bukan racau orang tidak siuman tetapi meluahkan pelbagai ilmu yang sangat berguna kepada mereka yang berkunjung ke gerainya. Bagi pengunjung, Leman Dawi bagai seorang guru yang menyampaikan ilmu baharu kepada mereka yang sebelum ini mereka tidak tahu.

Leman Dawi boleh diibaratkan sebagai gedung ilmu atau ensiklopedia bergerak. Beliau bagai ‘Profesor Serba Tahu’. Pengetahuan amnya amat meluas dengan meliputi fakta-fakta pelbagai topik dalam  dan luar negara. Kebolehannya mencongak dan mengira juga amat mengkagumkan. Beliau boleh memberi jawapan kepada kiraan lebih pantas daripada alat mengira atau kalkulator.

Pesara tentera yang berkhidmat dari tahun 1969 hingga 1990 ini akan mengalu-alukan pengunjung yang datang dengan ucapan ‘Selamat Datang Tuan’ dengan kuat dan mesra. Soalan pertama beliau biasanya ialah dari mana pengunjung tersebut datang. 

Beritahu saja dari mana kita datang, Leman Dawi akan segera memberitahu asal usul nama tempat berkenaan, luas kawasan dan jumlah penduduknya. Jika anda memberitahu datang dari Perak, beliau boleh beritahu asal usul nama negeri Perak, keluasan negeri Perak serta jumlah penduduknya.

Begitu juga jika anda berasal dari Terengganu. Beliau lancar memberitahu asal usul negeri tersebut, keluasan serta jumlah penduduk. Begitulah juga dari negeri-negeri lain.

Malah jika anda datang dari mana-mana daerah dalam mana-mana negeri pun beliau boleh memberitahu anda perkara yang sama.

Semua fakta yang beliau utarakan adalah betul. Inilah istimewa dan meluasnya ilmu geografi yang dimiliki oleh Leman Dawi. Pengunjung memang kagum dengan pengetahuan yang beliau miliki.

Mereka kagum dengan kemampuan beliau mengingati sejarah asal usul sesuatu tempat, fakta penduduk dan luas kawasan kerana bukan sedikit negeri dan kawasan di Malaysia ini.

Beliau juga pantas dari segi pengiraan. Beritahu saja umur anda berapa tahun dan beliau dengan pantas boleh menukarkan jumlah umur anda dalam bulan. Misalnya anda beritahu umur anda 50 tahun, dalam beberapa saat dia akan menukar tahun itu kepada hari. Pengirannya lebih cepat daripada menggunakan kalkulator.

Malah di gerai beliau terdapat beberapa kain rentang yang penuh dengan kiraan matematik melibatkan tahun, hari, jam, saat dan sebagainya.

Pelbagai peristiwa bersejarah baik dalam negara atau luar negara sentiasa tersimpan rapi dalam mindanya. Anda ingin tahu sejarah parlimen Malaysia dan di mana ahli parlimen bersidang sebelum bangunan parlimen sekarang wujud?

Anda ingin tahu kenapa Naning yang asalnya dalam jajahan Negeri Sembilan kini dalam negeri Melaka? Ingin tahu asal usul nama Datuk Siamang Gagaap di Negeri Sembilan? Anda ingn tahu asal usul nama Gerik sebagai contoh?  Semua ini Leman Dawi boleh ceritakan. Tanyalah apa saja, beliau boleh jawab.

Ingin tahu sejarah sambutan Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun? Leman Dawi juga boleh beritahu. Beliau boleh memberitahu sejak bila dan di mana perayaan hari pekerja bermula dan kenapa tarikh 1 Mei dipilih. Perayaan ini mula disambut di Kanada sejak lebih 100 tahun lalu.

Pengetahuan am beliau berhubung isu luar begara juga amat mengkagumkan. Ramai antara kita mungkin tidak tahu siapa presiden pertama Amerika Syarikat. Leman Dawi  bukan sahaja tahu George Washington presiden pertama, malah tahu tarikh lahir beliau dan tarikh meninggal serta dari tahun berapa hingga tahun berapa  menjadi presiden.

Malah beliau juga tahu mengenai perkara yang sama berkenaan presiden seterusnya selepas kematian George Washington. Bukan calang-calang orang boleh tahu atau mengingati ini semua.

Penyampaian ilmu oleh Leman Dawi sambil melayan tetamu adalah ibarat sesi informasi dan hiburan yang benar-benar menarik pengunjung. Malah jika ada pengunjung bertanya sesuatu perkara, baik ehwal semasa atau pengetahuan am, beliau mudah menjawab dengan tepat.

“Tapi saya tidak berbicara mengenai isu-isu politik semasa di Malaysia. Hal politik ini biarlah dibicarakan dalam forum lain. Saya hanya menumpukan kepada ehwal semasa dan pengetahuan am,” kata Leman Dawi.

Beliau yang mempunyai dua orang anak dan sembilan cucu memulakan operasi gerainya pukul 11 pagi sehingga pukul lima petang.

“Bagaimanapun seawal empat pagi saya sudah memulakan persiapan perniagaan seperti menyediakan cendol, santan, air gula, kacang, jagung serta keperluan lain,” kataya yang pernah berkhidmat di pelbagia tempat semasa dalam tentera.

Menurutnya, beliau membuka gerai tersebut pada 1985 sewaktu belum bersara sebagai persediaan menghadapi persaraan lima tahun kemudian. Ketika itu katanya kawasan di sekeliling masih hutan.

Kini kawasan sekeliling sudah membangun dengan adanya stesen komuter serta bangunan perumahan dan perniagaan serta jalan lebih besar dan lebar.

Selain cendol yang merupakan tarikan utama di gerainya, Leman Dawi juga menjual mi sup dan mi kari.

Istimewanya gerai ini ialah anda boleh menambah cendol dengan percuma. Bagi hidangan pertama anda perlu membayar RM2 sahaja bagi semangkuk cendol biasa dan RM2.50 bagi cendol istimewa. Bagi cendol biasa anda boleh memilih kacang, jagung atau pulut. Tetapi cendol istimewa mengandungi campuran kesemua bahan tersebut. Cendol Leman Dawi memang lemak dan enak.

Selepas habis cendol berbayar,  jika anda belum puas dan ingin menambah, isi  semula mangkuk anda. Cendol dan air gula tambahan sudah tersedia di atas meja. Minumlah hingga puas tanpa bayaran tambahan.

Inilah keistimewaan cendol Leman Dawi yang tidak ditawarkan di tempat lain. Sekali bayar boleh menikmati minuman tambahan sehingga puas.

Gerai Cendol Leman Dawi dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat. Ramai pelanggan datang tanpa henti, baik berseorangan, dengan kawan-kawan atau keluarga. Malah masih ada yang datang ketika sudah hampir tutup. Malangnya ketika itu jualan sudah habis.

Jika ingin menikmati keenakan cendol Leman Dawi datanglah berkunjung ke gerainya. Bukan sahaja anda dapat mnikmati cendol lazat tetapi berkenalan dan mendapat ilmu daripada insan istimewa ini. - KitaReporters.com

25
6
0
2
1

Copy Link: