Tak sah ke Danok kalau tak makan daging bakar! Berhantu kepada penggemarnya! Daging bakar tersedap!
Published byBandar Danok, Thailand
POPULARITI daging bakar Danok masih pada kedudukan yang mantap. Bahasa tepatnya kekal "berhantu".
Sehingga kini tiada lagi yang mampu "caras" takhtanya sebagai daging bakar tersedap yang mengambil sempena nama Danok, pekan paling ke selatan di negara Thailand yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Jadi tidak hairanlah bagi yang memilih untuk keluar dari Thailand melalui Bukit Kayu Hitam pastinya akan singgah menjamu selera daging bakar Danok terlebih dahulu.
Begitulah juga rombongan dengan Cik Bella atau nama sebenar Nur Nabilah Ridzuan, 21, yang kali ini sengaja memilih Danok sebagai destinasi terakhir sempena lawatan sehari menjelajah Satun sehingga ke Hatyai ini hanya kerana ingin menikmati makanan popular ini.
Seperti kata pemandu van yang ramah-tamah, Zul, sebelum balik kena makan daging Maybank dahulu. Apa kena pula kena menggena Maybank dengan daging bakar Danok?
Rupanya beliau yang suka berseloroh ini mengaitkan logo bank ini dengan daging harimau menangis yang merujuk kepada daging bakar Danok.
Jadi semua penumpang van semakin tidak sabar mahu menikmati daging bakar Danok sebagai siri makanan terakhir yang perlu dipenuhi sebelum masuk ke Malaysia.
Bagi yang tak biasa datang ke Danok, tak perlu risau kerana pilihan kedai makan menghidangkan daging bakar Danok memang banyak. Jadi di sini kumpulan rombongan kami terpaksa berpecah kerana sambutan hangat menyebabkan tempat duduk di sesebuah kedai cepat penuh.
Kata Cik Bella, dia memang suka makan di kedai Aleena Tomyam dan Daging Bakar Danok yang berhadapan kedai 7-Eleven kerana menepati seleranya. Penulis ikut saja sebab inilah pertama kali ingin menikmatinya.
Sekalipun sedia diketahui, populariti daging bakar Danok ini sudah menjalar ke seluruh negara. Pelbagai resepi daging bakar Danok dicuba oleh peminat masakan.
Itu belum lagi gerai, restoran yang menawarkan daging bakar ala Danok di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand.
Tidak cukup dengan itu, ada yang mengusahakan perapan sejuk beku daging bakar harimau menangis atau ala daging bakar Danok ini yang boleh dibeli di Shopee.
Bagaimanapun rasa yang terbaik menikmatinya adalah di Danok sendiri sebab dari sini ia bermula.
Rempah rahsia sebagai bahan perapan daging, cara membakar yang dimakan dengan sos pedas-pedas masam ini yang membuatkan rata-rata pelancong Malaysia puas hati.
Tambahan pula sepinggan daging bakar hanya 80 bath lebih kurang RM10.30 boleh dimakan dengan sosnya sahaja atau dimakan dengan nasi putih dan pelbagai pilihan menu lain.
Bagi penulis, daging bakar Danok memang ada "level" tersendiri, jadi tidak hairanlah penggemarnya memang ramai dan tak akan melangkah pulang ke Malaysia sebelum menikmatinya. - KitaReporters