KOLEKSI peribadi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah seperti gambar-gambar peribadi ketika zaman kanak-kanak selain barangan seperti kenderaan mewah antara tarikan pengunjung sempena Pameran Raja Kita di Muzium Negara, Kuala Lumpur.  

Pameran Raja Kita yang dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia menghimpunkan sebanyak 272 koleksi. Ia yang berlangsung dari 26 Julai 2024 sehingga 29 September 2024, diadakan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ia diadakan di Galeri 1 dan 2, Muzium Negara dan berita baik ialah pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran masuk. 

Pengunjung berpeluang melihat koleksi peribadi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Pameran Raja Kita.


Orang ramai berpeluang melihat lesen memandu lokomotif serta set polo Sultan Ibrahim serta pelbagai koleksi lain milik Yang di-Pertuan Agong termasuk membaca Riwayat Hidup Seri Paduka Baginda berdua, perjalanan latihan ketenteraan baginda di dalam dan luar negara serta 19 terjunan payung terjun dan lapan daripadanya dilakukan pada waktu malam.

Turut dipamerkan ialah kereta dan motosikal mewah yang digunakan Sultan Ibrahim ketika mengambil bahagian dalam Kembara Mahkota Johor (KMJ). 

Yang Di-pertuan Agong turut memiliki empat kereta beroda tiga Morgan dan kenderaan itu direka khas mengikut spesifikasi baginda. 


Motosikal berkuasa tinggi ini pernah digunakan Sultan Ibrahim ketika mengadakan Kembara Mahkota Johor (KMJ).


Kereta mewah beroda tinggi ini antara tarikan pengunjung di Pameran Raja Kita dan pernah digunakan Sultan Ibrahim dalam program Kembara Mahkota Johor.


Baginda memang seorang peminat dan pengumpul kereta sukan dan klasik daripada pelbagai jenama terkenal termasuk model Dodge, selain menjadi pemilik pertama di dunia memiliki kenderaan keluaran China, Hongqi L5.

Tapi, paling istimewa dan kemungkinan ramai belum pernah melihat ialah koleksi basikal Raleigh Chopper yang dibeli Yang di-Pertuan Agong ketika zaman kanak-kanak menggunakan wang sendiri. Ia dibawa khas dari Johor khusus untuk pameran berkenaan.

Basikal itu antara barangan utama yang dibeli Sultan Ibrahim hasil daripada wang yang dikumpul daripada menjual botol dan besi buruk yang dikutip di sekitar istana, Ia pastinya mempunyai nilai sentimental kepada Tuanku kerana baginda membelinya sendiri ketika zaman kanak-kanak. 

Basikal  Raleigh Chopper yang dibeli sendiri Sultan Ibrahim ketika zaman kanak-kanak antara koleksi peribadi yang menjadi tarikan pengunjung Pameran Raja Kita.


Kisah Raleigh Chopper itu pernah dikongsikan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam catatan Facebook rasmi Sultan Ibrahim pada 11 September 2015 dan baginda menyifatkan basikal berkenaan "cinta pandang pertama" dan terlalu sentimental.

Seri Paduka Baginda berkongsi Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Iskandar Ismail tidak memanjakan anak-anaknya dengan duit, oleh sebab itu Sultan Ibrahim mengambil keputusan berusaha mencari wang untuk membeli basikal idaman berkenaan. Dan, ia mengambil masa tiga bulan untuk mengumpul duit sebelum dapat membeli basikal idaman itu. 

Kotak diperbuat daripada kulit buaya untuk menyimpan cerut yang dihadiahkan duta Thailand kepada Sultan Ibrahim.


Koleksi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong tidak kurang hebatnya termasuk koleksi lukisan pemandangan rumah di atas air biru, lukisan abstrak, nukilan buku cerita Puteri Gunung Ledang dan Puteri Tanjung Puteri serta gambar-gambar ketika di zaman kanak-kanak.

Raja Permaisuri Agong diputerakan pada 14 Ogos 1959 di Hospital Batu Gajah, Perak. Baginda merupakan puteri kedua dan anakanda ketiga kepada Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II dan Almarhumah Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Muzwin Almarhum Raja Dato' Sri Ariff Shah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, berkata pihaknya amat teruja kerana Sultan Ibrahim memberi perkenan agar pelbagai barangan peribadi Seri Paduka Baginda yang mempunyai kisah serta nostalgia tersendiri dipertontonkan kepada rakyat termasuk pengunjung antarabangsa. 

Wajah comel milik Raja Zarith, anakanda ketiga Almarhum Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Idris Shah II di Pameran Raja Kita.  


Beliau berkata, pameran ini diadakan sebagai satu inisiatif untuk mengangkat institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Konsep Raja Berperlembagaan agar ia terus terpelihara sebagai lambang kedaulatan yang memayungi setiap rakyat negara ini.

"Pameran Raja Kita merupakan salah satu program yang dimasukkan sebagai salah satu dari tujuh acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17. Antara koleksi lain yang dipamerkan termasuklah Regalia Persekutuan seperti Cogan Alam dan Cogan Agama.

“Dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 serta manuskrip menerangkan dokumen undang-undang yang telah digunakan dari zaman Kesultanan Melaka seperti Undang-Undang Laut Melaka turut dipamer. 

Koleksi buku kanak-kanak yang ditulis sendiri Raja Zarith dan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka.


"Paling Istimewa di pameran kali ini ialah koleksi Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri yang digunakan semasa upacara kemahkotaan baginda pada 2015 dan hobi Baginda Tuanku berdua mengumpul kenderaan mewah seperti kereta Morgan, motor Harley Davidson dan karya seni baginda Raja Permaisuri," katanya.

Beliau menyasarkan Pameran Raja Kita selama dua bulan bakal menarik seramai 20,000 pengunjung apatah lagi masuk adalah percuma. 

Pameran Raja Kita dilaksanakan sejak 1980 semasa pertabalan Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7.

Sempena pameran itu, pelbagai aktiviti pendidikan seperti Bicara @ Muzium, Podcast Pojok Muzium serta aktiviti sisipan berbentuk hands-on seperti pameran kraf tangan dan hasil kerja seni Orang Asli sepanjang dua bulan pameran ini berlangsung. Ini membolehkan rakyat menghayati Institusi Yang di-Pertuan Agong di samping mengenali dengan lebih dekat lagi keperibadian Baginda Tuanku. - KitaReporters

Koleksi peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Zarith ketika majlis Makan Berdamai selepas Istiadat Berlimau Besar di Istana Iskandariah.

14
14
0
7
0

Copy Link: