MAI.. MAI.. MAKAN LAKSA BUDAK SEKOLAH RM1
Published byPEMINAT laksa jangan lepaskan peluang untuk membeli pada harga RM1 di Restoran Nasi Arab Cikgu Mi di Guar Sanji, Arau, Perlis. Laksa yang dijual ini adalah hasil masakan Najwa Nordin, 20, pelajar Kolej Komuniti Arau yang mengambil jurusan Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu makanan selama dua tahun di situ. : KitaReporters.com
Najwa memilih Restoran Nasi Cikgu Mi untuk menjalani latihan praktikal selama empat bulan mulai Disember 2019.
"Saya bertuah kerana bukan sahaja dapat mempelajari asas pengurusan restoran, mengendali restoran dan menjadi juruwang malah pelbagai masakan juga dipelajari termasuk membuat laksa ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Najwa berkata, idea untuk memilih laksa sebagai menu pilihan untuk dijual dengan harga RM1 adalah hasil perbincangan dengan pengurus restoran ini.
Katanya, Cikgu Mi memberi pilihan kepadanya untuk memilih menu yang hendak dijual dan dia tidak perlu mengeluarkan modal kerana pengusaha restoran menanggungnya.
Setelah keputusan dicapai, Najwa membuat pilihan dan mula menumpukan perhatian dalam menyediakan laksa sepenuhnya walaupun mempelajari pelbagai menu lain sebelum ini.
Cikgu Mi (kiri) bersama Najwa (kanan) di Restoran Nasi Arab Cikgu Mi
"Laksa yang dihasilkan daripada ikan dan bahan-bahan lain itu saya sediakan sendiri termasuk ulam-ulaman.
"Saya namakan Laksa Budak Sekolah kerana semua peringkat boleh membelinya kerana murah," katanya lagi.
Dalam pada itu, Cikgu Mi berkata, walaupun ada pihak yang kurang yakin dengan harga itu, namun penghasilan dan penjualannya tetap akan dilaksanakan mulai Mac ini selama sebulan, yakni sebulan sebelum Najwa menamatkan latihan praktikalnya.
"Saya memberi pandangan dan cadangan kepada pelajar kolej komuniti ini, namun semuanya terletak pada pilihannya untuk memilih menu yang akan dijual untuk bulan keempat latihan praktikalnya tanpa sebarang modal daripadanya kerana saya akan menangung semuanya," katanya lagi.
Cikgu Mi berkata, jualan laksa itu akan bermula 1 Mac mulai jam 11 pagi hingga enam petang waktu bekerja selama sebulan di restorannya.
Bimbingan, perancangan, pengajaran dan pelaksanaan laksa ini bukanlah untuk mencari keuntungan, tapi yang penting dapat melahirkan usahawan dalam kalangan belia dan mereka yang berminat sudah cukup untuk memuaskan hati beliau.
Oleh itu, semua pihak diharap dapat membantu Najwa sehingga dapat membantu hasratnya membuka perniagaan sendiri oleh anak bongsu dari empat beradik yang berasal dari Utan Aji, Perlis ini. - KitaReporters.com