Apabila sebut sahaja bulan puasa, maka terbayanglah deretan bazar Ramadan di setiap pelosok. Apabila disebut bazar Ramadan, maka terbayang pula pelbagai jenis juadah berbuka puasa. 

Ada sesetengah juadah seperti kuih-muih, hanya boleh didapati atau diburu pada bulan puasa sahaja. Kebanyakannya adalah kuih-muih tradisional.

Kuih-muih tradisional dibuat menggunakan bahan-bahan semula jadi. Selain itu, teknik pembungkusan juga menggunakan bahan semula jadi. Contoh paling mudah, pembungkusan nasi lemak menggunakan daun pisang. Kalau kuih, antaranya ialah tepung pelita.

Daun pisang banyak digunakan dalam pembuatan makanan tradisonal Melayu. Selain mudah didapati, ia juga menaikkan aroma makanan tersebut. Justeru, tidak hairanlah orang dulu-dulu suka menggunakan bahan semula jadi atau alami.


Para peniaga lebih suka menggunakan dawai kokot berbanding lidi kerana ia lebih mudah dan pantas.


Namun, zaman berubah seiring dengan perkembangan semasa. Penggunaan peralatan moden mula mengambil alih kerana lebih pantas sekali gus menjimatkan masa. 

Paling ketara penggunaan pencucuk menggunakan lidi sudah jarang kelihatan. Peniaga masa kini lebih gemar menggunakan dawai kokot (stapler) bagi tujuan membungkus makanan supaya lebih kemas dan tidak mudah rosak. Malah ia sangat menjimatkan masa.

Antara kuih yang menggunakan kaedah ini seperti tepung pelita dan pulut panggang. Kalau dulu, lidi digunakan untuk mengemaskan bungkusan. Tetapi dek kerana kaedah itu tidak lagi relevan pada masa kini, penggunaan dawai kokot dilihat lebih berkesan serta pantas.


KKM telah melarang penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan.


Malangnya, penggunaan dawai kokot dalam pembungkusan makanan telah dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah kerana bahan tersebut boleh menyebabkan kecederaan serius jika termasuk dalam makanan dan ditelan. 

Jika disabit kesalahan, peniaga boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Disebabkan larangan tersebut, para peniaga di bazar Ramadan pada tahun 2024 ini dilihat telah menukar kaedah pembungkusan. Tiada lagi kelihatan tepung pelita dan pulut panggang yang menggunakan dawai kokot dalam pembungkusan.



Perubahan ini dilihat sangat positif. Namun, timbul pula rungutan orang ramai terhadap cara pembungkusan kuih tepung pelita menggunakan kaedah moden. 

Peniaga kuih tradisional ini menggunakan bekas plastik bagi menggantikan daun pisang. Menurut para pembeli, penggunaan bekas plastik menyebabkan kuih tepung pelita hilang rasa aslinya. Mereka lebih suka peniaga mengekalkan penggunaan daun pisang untuk tepung pelita.

Oleh kerana rungutan ini tular dalam media sosial, seorang peniaga kuih tersebut berkongsi cara mengekalkan penggunaan daun pisang untuk membuat tepung pelita tanpa dawai kokot. Dia berkongsi cara tersebut melalui akaun TikTok bernama Abang Cikmak. Cara baharu itu menggunakan cellophane tape atau pita selofan yang lebih selamat. 

“Tiada penghalang kalau tiada stepler. Boleh je buat antara rajin dan malas je. Siapa satuju sila komen,” tulisnya.




Perkongsian itu mendapat reaksi daripada para netizen. Ada yang setuju dan sebaliknya. 

Ada juga yang keliru antara kuih tepung pelita dan tako. Ada juga yang bertanya kenapa tidak menggunakan lidi sahaja seperti dulu-dulu.



Bagi penulis sendiri, jujur kata, penggunaan bekas plastik dalam pembuatan tepung pelita mengurangkan rasa asli kuih tersebut. Hilang aroma dan rasa asli kuih tersebut. 

Apapun, terpulang pada cita rasa masing-masing. - KitaReporters


11
7
1
18
0

Copy Link: