Gulai kawah PKP! Untuk penduduk Kpg Amir Hilir, Kota Putera
Published byGULAI kawah adalah lauk atau gulai yang cukup sinonim dalam kalangan penduduk Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu. Kebiasannya ia disediakan untuk majlis kenduri kendara atau perkahwinan. Namun kini gulai kawah banyak dijual dan dihidangkan di kedai makan atau gerai-gerai serta restoran. : KitaReporters
Gulai kawah popular dikalangan penduduk Kelantan dan Terengganu
Asalnya gulai kawah dimasak di dalam kawah besar dengan menggunakan kayu api.
Gulai kawah mengambil masa yang lama untuk dimasak supaya daging benar-benar mesra dan meresap dengan gulainya.
Keistimewaan gulai kawah adalah pada rempahnya. Rempah gulai kawah disediakan khas untuk memasak gulai kawah dan hanya dijual di negeri-negeri berkenaan sahaja.
Bagaimanapun, pengemar gulai
kawah yang ingin menikmati lauk berkenaan tidak perlu lagi menunggu musim
kenduri kahwin kerana sempena Ramadan dalam tempoh Pergerakan
Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia dijadikan sebahagian sumbangan kepada
penduduk negeri ini.
Tukang masak sedang memasuk gulai kawah ke dalam bekas plastik untuk diagihkan kepada penduduk
Ini kerana sepanjang Ramadan tahun ini, banyak pihak yang tampil memasak gulai kawah untuk dijadikan bahan sumbangan sebagai lauk berbuka puasa yang diagihkan percuma kepada penduduk negeri ini.
Penduduk Kampung Amir Hilir dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, Besut, Terengganu antara yang bertuah kerana menerima agihan bekalan lauk gulai kawah dari pemimpin kawasan itu.
Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman, meluangkan masa turun padang bersama sukarelawan untuk mengagihkan lauk berkenaan kepada penduduk kawasan itu.
Tugasnya, tidak keseorangan
sebaliknya ia turut dibantu oleh Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti
Kampung (MPKK) bagi mengagihkan juadah berbuka puasa berkenan.
Mohd Nurkhuzaini sedang mengagihkan gulai kawah kepada penduduk
Menerusi program turun padang di kampung itu sebanyak 250 bekas gulai kawah diagihkan kepada isi rumah penduduk Kampung Amir Hilir hasil daripada kutipan sumbangan orang ramai.
“Mungkin pemberian ini tidak seberapa, namun besar nilainya bagi mereka yang kurang berkemampuan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera.
Mohd Nurkhuzaini (depan kanan) bersama Jawatankuasa MPKK berjalan kaki dari rumah ke rumah mengagihkan gulai kawah
“Terima kasih kepada semua petugas dan ahli Jawatankuasa MPKK yang komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Mudah-mudahan usaha baik ini mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda pada bulan yang mulia ini disisi Allah,” katanya. - KitaReporters
Tip untuk membuat gulai kawah :
Bahan A
- 500 gram daging lembu
- 2 sudu makan kerisik
- 2 cawan santan pekat
- 2 sudu makan gula merah
- 2 keping asam gelugur
- minyak masak secukupnya
- garam secukup rasa
- air secukupnya
Bahan B (dikisar)
- 20 tangkai cili kering
- 1 sudu makan rempah kari daging
- 1 sudu teh jintan manis
- 1 sudu the jintan putih
- 7 biji bawang merah
- 1 labu bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1 ½ inci halia
- 1 inci lengkuas
Bahan C (menumis)
- 1 inci kulit kayu manis
- 3 kuntum bunga cengkih
- 2 kuntum bunga lawang
- 3 biji buah pelaga
Cara membuat
- daging dipotong kecil. Kemudian dibasuh dan ditoskan
- panaskan minyak kemudian tumis bahan tumisan sehingga wangi
- masukkan bahan yang dikisar dan masak sehingga wangi dan pecah minyak
- masukkan daging dan kacau rata. Kemudian masukkan sedikit air dan kacau rata
- apabila sudah pecah minyak, masukkan santan pekat, kerisik, asam gelugur, garam, dan gula merah
- masak sehingga mendidih dan pekat. Kacau sekali sekala.
- Tutup api dan hidangkan.