RAMAI peniaga di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan, menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula selepas ditutup beberapa bulan lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Beberapa peniaga ditemui melahirkan rasa bersyukur serta gembira kerana dapat membuka semula perniagaan selepas 'berehat panjang' dan bersabar apabila terpaksa menanggung bebanan kepayahan hidup mencari sumber rezeki.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat beli belah


Wan Azmi Wan Salleh menunggu pelangan di premis jualannya.


Seorang peniaga, Wan Azmi Wan Salleh berkata dia mula membuka semula kedai menjual pelbagai barangan peralatan dan perkakas dapur sejak tiga minggu lalu dan berasa gembira apabila menjadi tumpuan ramai pengunjung khususnya pada hujung minggu.

Menurutnya, walaupun hilang sumber pendapatan kerana terpaksa menutup kedai baru-baru ini, dia tidak mengambil  kesempatan untuk menaikkan harga barangan apabila beroperasi semula malah menjual dengan harga sama seperti sebelum ini.

“Paling penting saya gembira dengan kehadiran ramai pengunjung yang datang dari pelbagai negeri dan tidak sewajarnya kita menjual barangan dengan harga tinggi kerana mereka juga terkesan dengan pandemik COVID-19,” katanya. 



Latifah melihat stok baharu seluar untuk aktiviti lasak yang baru diterima sebaik sahaja membuka semula kedainya.


Bagi peniaga pelbagai pakaian aktiviti lasak, bermotosikal dan sukan, Latifah Pin berkata dia baru sahaja sebulan memulakan semula perniagaan di kawasan bebas cukai itu selepas menghentikannya apabila PKP Penuh dilaksanakan di seluruh negara.

Menurutnya, sebaik sahaja membuka perniagaan itu dia perlu mengemaskini stok pelbagai pakaian yang sedia ada di samping menyelesaikan tempahan secara dalam talian yang diterima bagi memastikan dapat memenuhi kehendak pelanggan.

“Saya amat teruja untuk memulakan semula perniagaan selepas beberapa bulan berehat dan hilang sumber pendapatan harian selain berharap semua pengunjung dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19  terutama memakai penutup muka,” katanya yang turut dikenali dengan nama Kak Fah Kargo. 




Seorang lagi peniaga, Rahimah Abdul Muning, berkata dia baru sebulan membuka semula kedainya yang menjual pelbagai barangan seperti toto, kain selimut, cadar, pakaian dan sebagainya melahirkan rasa bersyukur apabila menerima pelanggan.Jelas beliau, pada setiap hujung minggu dan cuti umum khususnya pengunjung semakin ramai datang untuk membeli-belah seperti lazimnya  yang mengembirakan ramai hati peniaga apabila dapat mencari semula pendapatan harian.

Kami sekali-kali tidak akan mengambil kesempatan seperti menaikan harga barangan sesuka hati kerana turut memahami masalah pelanggan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 malah situasi tawar menawar memeriahkan lagi suasana dalam kawasan bebas cukai ini,” katanya.


Rahimah Abdul Muninh (tengah) dan Latifah (kanan) gembira dapat membuka semula kedai dalam kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan


Sementara itu beberapa pengunjung yang ditemui mengsyorkan agar pihak berkuasa menyediakan kemudahan penyebaran informasi yang lengkap mengenai keadaan kedai atau premis perniagaan yang terdapat dalam kawasan bebas cukai berkenaan. 

Seorang pengunjung dari Sik, Kedah, Mohamad Mahmud, berkata ramai pengunjung hanya tertumpu di tengah-tengah kawasan bebas cukai itu sahaja, sedangkan di bahagian tepi atau belakang yang agak terlindung banyak lagi kedai yang menjual pelbagai barangan menarik.



Rakannya, Farid Najwan pula berkata, seharusnya pihak berkuasa tempatan boleh bertindak sebagai ‘Polis Pelancongan’ dengan mengedarkan risalah atau memberi informasi kepada pengunjung kedudukan gerai dalam kawasan bebas cukai itu yang secara tidak langsung membantu peniaga mempromosikan barangan jualan mereka.

Kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, di Tumpat, Kelantan, mula beroperasi pada Oktober 1989 yang membabitkan kawasan berpagar seluas kira-kira 25,175 meter persegi dengan menyediakan pelbagai premis perniagaan dan hanya 25 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu. 

Kawasan ini beroperasi bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari. - KitaReporters


Kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan kini kembali ceria dan dikunjungi orang ramai.

21
12
0
9
0

Copy Link: