PERGHH!! NIKMAT MAKAN HIDANGAN ATAS TALAM

Published by
KitaReporters

TRADISI menyajikan makanan atas talam kini sudah pudar lantaran tidak tidak lagi diamalkan. Di kampung-kampung di mana ia menjadi budaya dan ciri kehidupan masyarakat desa dahulu, ia sudah pupus. : KitaReporters.com

TALAM antik... Perhatikan cantiknya seni lukis bermotif bunga yang menghiasai permukaan talam.


Pada masa dahulu, di rumah jika ahli keluarga hendak menikmati makanan pagi, tengah hari atau malam, makanan disajikan di atas talam untuk dinikmati sekeluarga. 

Begitu juga pada majlis kenduri di rumah, surau dan masjid.

Lebih ketara ialah pada pada majlis kenduri kahwin. Lauk pauk dan sayur diletakkan di atas satu talam, sekali dengan semangkuk air basuh tangan. Nasi pula diletakkan dalam bekas lain.

Petugas atau ‘gejobos’ mengangkat talam dan nasi kepada tetamu yang berada di dalam bangsal makan. 

Untuk tujuan itu memang banyak talam dan pinggan digunakan, biasanya dipinjam daripada persatuan penduduk kampung.

TIDAK sabar untuk menikmati makanan enak 'nasi talam'.


Namun tradisi ini sudah lama berlalu. Majlis perkahwinan di kampung pun kini menggunakan khidmat katering. Akibatnya, lenyaplah tradisi sajian hidangan atas talam. 

Jika pun majlis kenduri tidak menggunakan khidmat katering, dan masak memasak dibuat secara gotong royong, penyajian tetap secara ‘buffet’.

Kerana itulah generasi sekarang tidak dapat merasai sajian atas talam seperti dilalui oleh ayah ibu atau datuk nenek mereka dahulu.

CALET tempat untuk pelanggan menjamu selera.


Namun usah bimbang!! 

Mereka yang merindui cara lama penyajian makanan ini, atau mereka yang belum pernah mengalaminya, masih berpeluang merasainya. 

Anda hanya perlu berkunjung ke ‘Kedai Nasi Talam’ yang terletak di tepi jalan besar, pekan Lenggong, Perak.

Di kedai ini, set makanan disajikan kepada pelanggan di atas talam, manakala nasi dalam bekas lain, mirip era dahulu.

Set makanan ini mengandungi ikan bakar, ikan masak lemak, ikan pekasam, pecal, kerabu dan sambal.

Ikan bakar jenis talapia merah yang dihidangkan panas-panas berserta ikan sungai masak lemak pekat memang sangat menyelerakan.

Keenakan ini ditambah dengan kerabu, pecal, ikan pekasam,ulam serta sambal yang sememangnya membuka selera.

SET makanan atas talam mengandungi ikan, kerabu, pecal, ulam dan sambal.


Bayangan satu set makanan ini, biasanya untuk empat orang, kosnya hanya RM20 satu talam. Sangat murah.

Bukan itu sahaja, set makanan ini disertai pula dengan satu jug air sirap percuma, ditambah dengan bubur kacang campur jagung yang juga percuma.

Jika anda hendak memesan lauk yang tidak ada dalam set, misalnya ayam goreng, anda perlu membayar harga berlainan.

Begitu juga jika hidangan dalam set sudah habis dan anda ingin menambah, bayaran lain akan dikenakan. Namun harganya sangat berpatutan.

Setiap hari 'Kedai Nasi Talam' ini menjadi tumpuan ramai.  

Malah ada yang sudah menunggu sebelum kedai memulakan operasi pada pukul 12 tengah hari. Pelanggan boleh makan di ruang dalam atau di calet yang disediakan.

KACANG bendi dan terung rebus atar ulam di Kedai Nasi Talam, Lenggong, Perak.


SAMBAL sedap menambah selera makan. Pedas tapi enak.


Satu aspek yang menarik ialah hidangan makanan disajikan di atas talam lama yang boleh dianggap antik serta dihiasi gubahan seni lukis dahulu yang menarik.

Begitu juga pinggan yang digunakan adalah pinggan-pinggan lama yang dihiasi corak seni lukis lama dan berwarna. 

Seni lukis pada talam dan pinggan ini keseluruhannya bermotif pelbagai jenis bunga yang sangat menarik. Ia menyerlahkan seni lukis dahulu yang tinggi nilainya. 

Talam dan pinggan seperti ini sukar didapati sekarang.

Rasailah sendiri kerseronokan dan kelainan menikmati makanan enak dihidang atas talam. Datanglah ke Lenggong. 

Atau jika anda melalui pekan Lenggong jangan lupa singgah menikmati nasi talam. - KitaReporters.com

UKIRAN bunga raya menghiasi pinggan makan.


PINGGAN lama berukiran bunga ros.


IKAN dibakar disalut daun pisang.


9
0
0
0
0

Copy Link: