JIKA berkunjung ke Sabah, jangan lupa singgah ke Jambatan Tamparuli yang menjadi salah satu ikon pelancongan Sabah. Jambatan gantung kayu ini mula mendapat perhatian apabila seorang penyanyi tempatan, Justin Lusah mengalunkan lagu berjudul ‘Jambatan Tamparuli’ dalam bahasa Dusun pada awal tahun 80-an dulu. Daripada situ, jambatan ini mula dikenali ke serata Malaysia. Malah, ia diabadikan sebagai mercu tanda bandar Tamparuli. : KitaReporters



Lagi kisah-kisah berkaitan Sabah:

https://kitareporters.com/search?search=sabah


Dikatakan pembinaan jambatan Tamparuli pertama dimulakan oleh orang Cina di mana binaan asalnya adalah berasaskan kayu dan tali. Ia dibina dalam keadaan tergantung merentasi Sungai Tamparuli. Namun, jambatan tersebut telah musnah akibat banjir besar yang berlaku sekitar tahun 1930.

Sebagai ganti, kerajaan Biritish ketika itu telah membina sebatang jambatan baru sepanjang 200 meter di tempat sama. Jambatan yang dibina pada tahun 1933 ini lebih kukuh kerana dibina menggunakan gabungan simen dan besi.


 

Kerja pembinaan jambatan baru oleh pihak British.



Kisah legenda di sebalik jambatan ini ada beberapa versi. Menurut Muzium Sabah, ada kisah di sebalik pembinaan jambatan ini di mana kawasan Tamparuli waktu itu berada di bawah jajahan British.

Begini cerita yang dicatatkan...

Ketika itu, seorang pegawai British bernama Robinson yang bertugas di Tamparuli jatuh cinta kepada seorang gadis tempatan bernama Solungkoi. Cintanya berbalas dan mereka menjadi pasangan kekasih. Tetapi dalam masa yang sama, seorang pemuda tempatan bernama Intang dalam diam turut menaruh hati terhadap Solungkoi.

Semasa rancangan membina jambatan itu hendak dilaksanakan, Robinson telah dipertanggungjawabkan dengan projek pembinaan tersebut. Namun, dia sering berdepan masalah apabila jambatan yang sedang dibina selalu roboh atau rosak kerana banjir besar.

Suatu hati, Robinson meminta bantuan Intang untuk mengatasi masalah tersebut. Intang telah menemui seorang odu-odu (nenek-nenek) untuk meminta nasihat dan mencari penyelesaian kepada masalah jambatan tersebut.

Kata si odu-odu itu, jambatan itu sering roboh kerana tombuakar (hantu air) marah dengan pembinaan jambatan itu yang mengganggu kawasan tempat tinggalnya. Lalu odu-odu itu memberi saranan agar satu upacara menjamu tombuakar dilakukan sebagai tanda minta maaf.

Apa yang dicadangkan itu telah dilakukan oleh Robinson. Jamuan sudah dibuat, tetapi pembinaan jambatan itu tetap menghadapi masalah. Rupa-rupanya, tombuakar mahukan nyawa seorang gadis cantik untuk menjadi penemannya di dalam air.



Ketika itu, tiada gadis lain yang lebih jelita melainkan Solungkoi. Kerana dendam cintanya tidak berbalas, Intang telah menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi kepada tombuakar. Robinson bingung, hendak memilih yang mana. Kekasih hati atau tugasnya sebagai pegawai British?

Akhirnya, Robinson akur untuk mengorbankan kekasih hatinya.

Pada suatu malam, Robinson bersama Solungkoi berserta penduduk kampung berpesta sehingga semuanya mabuk tidak sedarkan diri. Apabila tersedar, Solungkoi mendapati badannya sudah diikat dan tergantung pada tali untuk diturunkan ke bawah jambatan. Itu adalah syarat yang ditetapkan tombuakar supaya korbannya harus ditanam hidup-hidup ke dalam cerucuk jambatan.

Tangisan dan rayuan Solungkoi yang minta dilepaskan tidak dipedulikan. Pasrah dengan takdirnya, Solungkoi sempat membuat permintaan terakhir kepada tombuakar agar bersumpah – Jambatan Tamparuli tidak akan kukuh dan terus roboh selagi tidak mengorbankan darah Robinson.

Robinson yang kemudian menyesal dengan tindakannya telah mengukir nama Solungkoi di atas plat besi dan melekatkannya di cerucuk jambatan di mana Solungkoi ditanam. Selepas itu, Robinson dilaporkan membunuh diri dengan membiarkan dirinya dilemaskan oleh tombuakar.

Begitulah kisahnya, tragedi cinta di sebalik keutuhan jambatan Tamparuli. Ada yang mengatakan cerita ini hanya mitos. Namun, seperti yang disahkan oleh orang-orang yang pernah menyelam di sungai Tamparuli, plat besi berukir nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, lokasi tepat keberadaannya dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan. 



Sekadar info, Tamparuli merupakan sebuah bandar kecil dalam daerah Tuaran di Sabah. Majoriti penduduk di sini adalah suku kaum Kadazan-Dusun, selain komuniti lain seperti bangsa Cina yang mana kebanyakannya Hakka.

Daripada sebuah perkampungan kecil, Tamparuli berkembang menjadi sebuah pekan selepas golongan peniaga luar mula mendirikan beberapa kedai runcit kayu di sini (sekitar 1930-an).

Ada banyak versi cerita bagaimana nama Tamparuli diperoleh. Menurut sumber dari Muzium Sabah, Tamparuli mendapat nama daripada ayat 'ditampar oleh air', berasal daripada perkataan atau percakapan orang Brunei. 


Sungai Tamparuli.


Dikatakan pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Brunei yang datang ke Tamparuli sering mengalami masalah untuk naik ke hulu sungai kerana arus air yang terlalu deras. Dari situlah muncul ayat 'ditampar oleh air' seterusnya disingkatkan menjadi Tamparuli.

Yang pasti, setelah lebih 80 tahun, jambatan gantung Tamparuli sehingga ke hari ini tetap utuh dan masih digunakan oleh penduduk setempat. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: