Tak pandai main layang-layang? Ni 10 tip! Tip 1: Jaga SOP!

Published by
KitaReporters

BERMAIN layang-layang boleh mengasyikkan dan melekakan. Tapi masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu mungkin minat ini tak dapat ditunaikan. Semasa tempoh PKP Pemulihan (PKPP) ini pula, hobi berkenaan boleh kembali melayang-layang di udara. Namun patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya penjarakan fizikal (sosial) dan pemakaian pelitup muka. : KitaReporters

Pantai Bagan Lalang, di Selangor antara tempat sesuai bermain layang-layang. - Kredit gambar: Libur


Lagi cerita-cerita berkaitan hobi:

https://kitareporters.com/search?search=hobi


MACAM senang je bermain layang-layang. Betulkah senang? Kalau belum cuba manalah nak tau kan? Nak tahu susah senangnya, cubalah dulu! 

Penulis pernah bermain layang-layang.  Agak mudah juga, sewaktu ada angin, luncurkan saja layang-layang ke atas serentak itu tegangkan talinya dengan menarik sedikit. Jika arus angin elok, mudahlah untuk memulakan permainan. Namun selagi tidak mencuba sendiri, kaedahnya tidaklah semudah yang diberitahu ini.

Menonton permainan layang-layang memang melekakan. Tapi leka lagi kalau dapat bermain. 

Bermain di tempat jauh daripada orang ramai, anda bebas berlari membawa layang-layang. - Kredit gambar: Yono


Melihat layang-layang terbang melenggang lengguk di udara, terasa sangat teruja. Fikiran tertumpu kepada satu perkara sahaja iaitu pengawalan talinya agar ia tidak jatuh menyembah bumi.

Sewaktu mengawal layang-layang, tidak memungkinkan anda memikirkan perkara lain. Dengan itu, main layang-layang boleh membuat anda fokus kepada satu perkara dan melupakan kepada masalah lain seketika.

Jika sedang menghadapi masalah atau fikiran sedang buntu, cuba legakan bebanan minda dengan bermain layang-layang. 

Bagi yang baru nak mencuba, gunalah layang-layang biasa, yang tidak mahal. Banyak layang-layang boleh didapati pasaran. Yang berukuran terkecil misalnya boleh didapati serendah harga RM5 satu.

Di mana nak beli? Biasanya ada dijual di kawasan tumpuan bermain layang-layang, misalnya di Taman Metropolitan Kepong, atau lebih dikenali Taman Layang-Layang atau di kawasan pantai yang lapang.

Kanak-kanak pun boleh bermain layang-layang. - Kredit gambar: Selangorkini


Teringin cuba bermain? Ketahui panduan seperti di bawah:

Perkara yang perlu dipertimbangkan sewaktu hendak bermain layang-layang, merujuk sumber id.wikihow :

1. Jenis layang-layang.

Sediakan layang-layang yang ringkas dan standard saiznya, jika bentuk rumit atau besar sukar pula untuk mula belajar.

2. Keadaan angin.

Kerana permainan ini bergantung kepada angin, tunggu hari dan waktu sesuai. Jika tiada angin tidak guna ke padang, kerana layang-layang tak mungkin dapat dinaikkan.

Jika angin ringan dan sedang sekitar 9-24 km/jam paling baik untuk menerbangkan layang-layang bentuk bersegi berlian.  Apabila tiupan angin agak kuat sekitar 13-40 km/jam, sesuai untuk jenis layang-layang 3D.

3. Cara untuk menentukan adanya angin.

Angin tidak dapat dilihat tetapi wujud. Kewujudannya dapat ditentukan dengan melihat keadaan sekeliling, misalnya pokok. 

Seperti kata pepatah, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang? Maksudnya Jika pokok, dahan atau daun bergoyang, itu tanda adanya angin. 

Andai pokok bergoyang sedikit maksud angin lembut atau sepoi, bergoyang kuat maksud angin kuat.

Boleh juga dilihat dedaun di atas tanah atau rumput. Lihat kepada gaya pergerakan dedaun itu terombang ambing,  lembut atau kuat. 

Jika lembut petanda waktu yang sempurna untuk bermain. Kelajuan angin sekitar 8-40 km/jam, adalah paling ideal. 

Dalam keadaan angin ideal, layang-layang terbuai dengan elok di awangan dan mudah dikawal pergerakan turun naiknya.

4. Cuaca

Pastikan cuaca baik, elak bermain pada waktu hujan atau petir. Ini kerana di dalam awam ada arus elektrik yang berisiko ditarik oleh benang layang-layang yang basah. 

Sentiasa ingat hal ini untuk keselamatan. 

Satu lagi, arus elektrik juga terhasil sewaktu petir. Justeru elak sama sekali bermain sewaktu angin kuat, hujan atau waktu guruh.

5. Kawasan bermain

Elak bermain dekat dengan jalan raya, di sekitar talian elektrik dan berdekatan lapangan terbang. 

Lokasi terbaik adalah kawasan taman lapang berhampiran rumah, taman awam yang luas dan kawasan bendang yang kering serta pantai yang rata dan lapang. 

Semakin luas kawasan, semakin sesuai dan selesa bermain.

Pilih kawasan yang tidak banyak pokok. 

Pokok tinggi memungkinkan berlaku masalah layang-layang tersangkut dan sukar untuk dilepaskan. Pokok rendah, layang-layang yang tersangkut, masih boleh dikait. 

6. Teman bermain.

Elok bermain berdua untuk kemudahan meluncurkan layang-layang sewaktu hendak mula bermain. Seorang menarik tali dan seorang melonjakkan layang-layang.

7. Cara menerbangkan layang-layang

Seorang pegang gulungan benang, seorang lagi memegang layang-layang. Pastikan kedudukan layang-layang menghadap anda, bahagian belakang menghadap arah datangnya angin. 

Tunggukan waktu ada angin, barulah mula bermain, dengan melonjakkan layang-layang sambil menarik atau menegang tali sewaktu meluncurkannya.

8. Jarak sesuai  layang-layang

Sebelum itu, lepaskan gulungan tali kira-kira 20 meter. Bermakna jarak itulah yang sesuai bagi kedudukan  pemegang gulung benang dengan pemegang layang-layang.

9. Waktu melonjakkan layang-layang

Waktu ada angin, beri isyarat kepada kawan untuk melonjakkan layang-layang, sementara anda menegangkan tali.

10. Peka dengan arah angin

Sentiasa peka dengan arah angin sewaktu bermain layang-layang. Dengan kata lain, sesuaikan kedudukan anda mengikut arah angin.

Dan sebagai amaran serta peringatan:

Pada ketika wabak penyakit COVID-19 ini masih menular, bila pergi bermain layang-layang di tempat ramai orang, maka elaklah berkumpul serta jagalah penjarakan fizikal (penjarakan sosial) anda. Jangan lupa pakai pelitup muka dan selalu guna sanitizer! - KitaReporters

Seronoknya bermain layang-layang - Kredit Video: Anjung Destinasi TV

0
0
0
0
0

Copy Link: