JANGAN BEREBUT TELUR!! TAHAN DUA MINGGU JE!
Published byTELUR ayam adalah antara yang cepat kehabisan pada musim "duduk di rumah" akibat penularan wabak Covid-19 ini, selain roti dan pelbagai bahan makanan lain. Sebabnya, telur adalah antara bahan murah dan mudah dimasak. Telur goreng campur kicap saja cukup sebagai lauk dalam keadaan "darurat". : KitaReporters
Telur mata kerbau, paling mudah untuk dimasak. : Kredit Foto: KasihSalina
Pada waktu panic buying (pembelian panik), telur ayam habis di rak.
Ada yang borong bukan main banyak telur, berpapan-papan, tak ingat orang lain. Orang di belakang datang, hampa melihat rak telur kosong.
Bagi yang gemar memborong telur dalam jumlah banyak, ketahuilah telur tidak boleh disimpan terlalu lama.
Ia ada tarikh luput. Justeru lebih baik beli ikut keperluan, misalnya untuk dua minggu.
Ini kerana telur yang disimpan di luar peti sejuk tahan dan elok dalam dua minggu sahaja, minggu ketiga dah mulai tidak elok.
Kredit foto: Sinar Harian
Apabila memperkatakan hal ini, kawan-kawan netizen pun bersetuju.
Seorang rakan, Rosmaria Bakhari, menulis di ruang komen: "Telur tahan tiga minggu je."
Gee Talikasutpink pula memberi komen, "Dua minggu je tahan."
Norhasiyati Taharin pula berkata, "Selepas dua minggu, bau semacam."
Kalau mereka kata begitu, maksud betullah, telur tak tahan lama.
Paling tidak suka, semasa dipecahkan, bahagian kuning telur sudah tidak terbentuk, mencair bercampur-aduk dengan telur putih, kenapa?
Tentulah kerana sudah kurang elok. Masuk minggu ketiga, telur yang disimpan dalam suhu bilik, akan jadi seperti itu.
Jadi jika beli telur, eloklah sesuaikan dengan tahap penggunaan untuk sekeluarga. Namun ada yang suka beli banyak dan disimpan di dalam peti sejuk, katanya tahan lebih lama.
Menurut Suzie Melor, dia selalu beli stok banyak.
"Sehari guna empat biji, telur baki disimpan dalam peti sejuk dengan bekas telur tu sekali." Itu petua dari Suzie Melor.
Perihal cara menyimpan telur ada peraturannya. Susun telur dengan keadaan yang runcing menghala atas untuk mengekalkan keelokan kuning telor.
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, dalam portal Maskulin, berkata sifat telur yang keluar daripada perut ayam, diselaputi lapisan pelindung semula jadi dikenali egg bloom, yang menutupi liang di seluruh permukaan telur. Sebarang pencemaran pada kulit tidak dapat menembusi ke dalam isi telur dengan adanya lapisan itu.
Atas faktor itu, tidak digalak membersihkan telur yang hendak disimpan. Tapi bagaimana pula kalau disimpan dalam peti sejuk? Perlukah dibasuh?
Elak beli terlalu banyak, kerana telur tidak boleh disimpan lama.
Biasanya telur diletak di tempat simpan telur pada pintu peti sejuk.
Disebabkan pintu sering dibuka tutup, suhu di kawasan pintu tidak stabil, ini boleh menjejaskan mutu telur jika disimpan lama.
Selain itu, meletak di rak telur pada pintu peti ais, risiko berlaku pencemaran silang dan ini menjejaskan kebersihan makanan lain yang disimpan, lebih-lebih lagi jika kulit telur ada kesan najis.
Justeru basuh dahulu bahagian tercemar sebelum diletak di rak pada pintu dan lap kering.
Pada kulit telur terdapat bakteria Salmonella yang kotor, tapi ia tidak merosakkan telur andai lapisan pelindung semula jadi pada kulit telur itu tidak dibasuh.
Basuhan menyebab lapisan pelindung itu terhakis. Andai terbasuh bermakna pori-porinya dah terdedah dengan bakteria berkenaan.
Cara lebih baik dari segi penyimpanan, masukkan telur ke dalam bekas bertutup,dan letak di ruang peti sejuk yang berpintu.
Jika simpan dalam bekas khas bertutup kemas, tidak perlu cuci kulitnya kecuali jika ada kesan najis, cuci dahulu sebelum disimpan. Dan dahulukan guna telur yang terkena air untuk dimasak.
Jika simpan di luar peti ais, letak telur ditempat redup, jangan dedah pada api dapur. Bahang panas daripada api dapur boleh merosakkan isi telur putih.
Pastikan berapa lama telur boleh disimpan di dalam suhu bilik dan berapa lama boleh disimpan di dalam petik sejuk.
Jumlah telur yang dibeli perlu disesuaikan dengan kadar penggunaan, dan berapa lama ia boleh disimpan, baik di dalam peti sejuk mahu pun dalam bilik.
Jangan berebut beli telur. Belilah berpada-pada, ikut keperluan, habiskan sebelum tarikh luput, apabila habis boleh beli telur baru.
Cara menguji mutu telur. Kredit foto - Deenamik
Andai telur sudah lama disimpan, bagaimana tahu masih elok?
Untuk mengesannya, masukkan telur dalam gelas berisi air, jika tenggelam mendatar sampai ke dasar, tanda baik.
Jika tenggelam ke dasar menegak, tanda kurang elok tetapi masih boleh diguna. Jika terapung, tanda sudah tidak elok dan jangan dimakan.
Lebih mudah lagi, beli sahaja telur yang ada tarikh luput. - KitaReporters