KEPOH PASAL ROBOT MEMASAK! BERBALOI KE?

Published by
KitaReporters
RAMAI warganet daripada kalangan orang biasa memerli pasal harganya sangat mahal RM7,000 lebih. Ada dengan lantangnya mengaku tak perlukan produk semahal itu, mereka rela berpayah sedikit daripada membazirkan wang untuk alat itu. : KitaReporters

Produk 'dapur robot' TM6. - Kredit foto: Thermomix


Menjadi buah mulut tepat pada masanya, pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Di mana ibu-ibu tengah stres setiap hari kena sediakan makanan sekeluarga sebab tidak lagi boleh beli siap dengan mudah di luar. 

Ibu-ibu yang sebelum ini jarang memasak lagilah stresnya, bayangkan terkial berpeluh di dapur terpaksa menyediakan makanan yang sebelum ini ditapau saja dari kedai sahaja. 

Sekarang nak beli di kedai, takut Covid-19. Nak beli online pun takut Covid-19.

Apabila keluar cerita benda alah ini, segolongan ibu dan wanita juga pria yang gemar memasak sudah bulat mata. Manakan tidaknya boleh memasak pelbagai jenis resipi tanpa perlu mengacau atau menunggu di dapur robot itu. Alat dikatakan ini ibarat sejenis robot kerana boleh menyediakan masakan sendiri, dengan kita hanya mencampak-campakkan sahaja bahan ke dalam bekasnya, kemudian biarkan ia masak. 

Serius, penulis sendiri pun belum tahu bagaimana cara penggunaan alat dikenali Thermomix itu.

Macam tak percaya ia mendakwa boleh memasak lebih daripada 57,000 resipi makanan dengan mudah dan cepat


Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dalam ulasan dalam Instagram berkata, alat ini mempunyai lebih 22 fungsi peralatan dapur `standalone'.

Baginda memberitahu baru saja memiliki alat itu.

Difahamkan Thermomix dilengkapi panduan memasak digital terbesar di dunia dengan paparan lebih 50,000 jenis resipi masakan pelbagai kaum

Dan akan bertambah apabila dikemas kini oleh pengeluar dan dihantar ke pengguna dari semasa ke semasa.


Seorang pengguna berkata, ia seperti gabungan mesin pengisar (blender), iPad dan bermacam-macam alat masak dalam satu

Thermomix TM6 adalah peralatan dapur pintar model terkini `20-dalam-1`. Dikatakan, penggunaannya boleh menjadikan kerja memasak menyeronokkan.

Lebih menarik lagi, seorang wakil penjual alat itu, Widyana Ali berkata, dia tahu alat tu telah membantu tiga ibu pengidap depressi teruk, termasuk pengidap bipolar. 

Mungkin maksudnya dengan menggunakan alat itu telah mengurangkan tekanan pesakit berkenaan dan mengembirakan hati mereka, sekali gus meredakan sakit.

Mohd Yazid Ismail, seorang lagi penjual, sampai memohon maaf kepada warganet lantaran postingnya mengenai alat itu menjadi viral. 

Faham dengan luahan warganet yang membidas harganya terlalu mahal dan tidak mungkin mampu dibeli oleh orang kebanyakan, beliau menjawab, produk itu disasarkan untuk mereka yang berpendapatan tinggi.

"Saya faham harga dapur robot ini terlalu mahal. Tapi untuk pengetahuan, ramai yang beli adalah golongan M40."

Ada yang berangan ingin memilikinya ada yang membuat lawak dengan menghasilkan susunan peralatan memasak sedia ada menjadi serupa alat masak viral itu. 

"Nok beli hok mana se ni? Pm best price" kata Sid Razali dalam Twitternya. 


Bagi penulis, senang sahaja kalau mampu dan ada duit lebih nak beli, beli sajalah. Tak kisah. 

Sendiri punya duit, sendiri punya suka nak belanjakan untuk apa. 

Mungkin ada yang baru dapat keluarkan simpanan KWSP lebih setengah juta, berapa sangatlah dengan RM7,000 tu?  

Demi kesenangan sendiri, boleh saja dimiliki. 

Itu kalau dimanfaatkan, jangan pula beli tapi tak diguna. Nanti  akan ada yang kata, baik didermakan sahaja duit tu, dapat juga pahala, membantu di akhirat kelak.

Namun bagi yang ada duit sedang-sedang, fikirlah banyak kali, baik dibelanjakan untuk kegunaan yang lebih diutamakan. 

Kalau nak juga, baiklah bersabar dulu, tunggu, sampai harga turun. Manalah tahu kalau kalau ada pesaing membuat produk yang sama atau seakan, dan dijual pada harga lebih murah.

Kredit foto: https://www.americastestkitchen.com/


Ingat pasal dapur airfryer, sewaktu satu syarikat membuat pelancaran produk itu, harganya lebih RM1,000, ia kekal mahal sampai sekarang. 

Tidak dinafikan airfryer penting, mudah dan senang diguna menggantikan kuali menggoreng. 

Tidak perlu guna minyak, letak sahaja ikan, daging atau bahan masakan tertentu, terus petik butang pasang dan biarkan ia masak dengan sediri. 

Tidak perlu kacau tak perlu balik, kerana kepanasan airfryer sekata di dalamnya, masak dari atas tepi dan bawah. 

Tidak lama selepas itu, berlambak airfryer ada di pasaran dengan macam-macam jenama. 

Dan harganya jauh bumi dengan langit, kalau jenama pertama tadi berharga RM1,000 lebih, kini jenama lain dijual dengan harga offer, RM100 lebih sahaja! 

Tentunya ada perbezaan dari segi mutu antara yang mahal dan murah. Yang penting, jangan terbeli yang sistem elektroniknya tidak elok. Bahaya pula kepada yang mengguna.

Rupanya-rupanya produk teknologi Jerman yang viral itu sudah ada di pasaran Eropah sejak 1961 dan di Malaysia sejak 10 tahun lalu. 

Model terbaru TM6 diperkenal sejak tahun lepas dan kini baru viral. - KitaReporters

Alat yang boleh memasak dengan pelbagai jenis gaya masakan.


2
1
0
0
1

Copy Link: