Golongan pekerja di Malaysia pernah direkodkan bekerja paling lama di rantau Asia Tenggara, dengan purata 15 jam lebih lama daripada waktu bekerja dalam tempoh seminggu.

Justeru, tertanya-tanya bagaimana mereka membahagikan masa untuk keluarga dan diri sendiri. Tidak dinafikan kerjaya sangat penting untuk memastikan rumah tangga berada dalam keadaan aman dan bahagia.

Apatah lagi yang tinggal di bandar-bandar besar dengan kos hidup yang tinggi. Bagi menampung perbelanjaan, sudah pasti suami isteri kena bekerja. Nak tak nak, mereka terpaksa harunginya.  

Ada sesetengahnya, mereka melakukan hobi yang digemari untuk melepaskan tekanan atau healing ( penyembuhan atau pemulihan) bagi ‘menyembuhkan’ sakit yang digalas. Setiap orang berbeza caranya.  


Cara Hamizah Othman dan suami, Huezainey Mohd Hassan mengeratkan kasih sayang.


Bagi Hamizah Othman, 55, dia dan suami, Huezainey Mohd Hassan, 54, mereka ada cara untuk healing.

Pasangan ini gemar meluangkan masa dengan menunggang motosikal berkuasa besar atau superbike. Persis seperti Awie dan Era Fazira dalam filem Sembilu, begitu jugalah pasangan suami isteri yang menetap di Subang Murni, Shah Alam, Selangor ini.

Bekerja sebagai senior purchasing executive dan suami pula sebagai pegawai bank, tidak dinafikan adakalanya mereka tertekan dengan tanggungjawab yang digalas. Jadi, inilah cara mereka melepaskan tekanan dan healing. Hobi yang kini menjadi rutin setiap kali masa terluang, bermula pada tahun 2015.

“Hobi kami ini bermula pada tahun 2015. Tercetusnya idea ini memandangkan anak-anak sudah besar. Jadi, kami tidak perlu bimbang kerana mereka tahu menjaga diri sepanjang ketiadaan kami. 

"Selain itu, hobi ini juga memberi peluang untuk kami menjadi diri sendiri selain kepuasan apabila dapat melihat banyak tempat menarik seluruh Malaysia,” ceritanya.


Gemar singgah di tempat makan viral.


Menurut ibu tiga orang anak berusia antara 17 hingga 28 tahun ini lagi, dia bertuah kerana anak-anak memahami dan memberi lampu hijau untuk mereka meneruskan hobi tersebut.

Selain itu, hobi ini dapat mengeratkan lagi kasih sayang antara satu sama lain. Setiap orang ada caranya. Tegas Hamizah, tidak semestinya cara dia dan suami sahaja yang membuatkan pasangan suami isteri itu bahagia.

“Tidak dinafikan menunggang superbike dapat mengeratkan hubungan kami sebagai suami isteri. Bukan nak kata yang naik kereta tak bahagia. Cuma mereka yang naik motor ini sebenarnya rasa lebih bahagia sedikit berbanding yang lain. Tapi bukan kata mesti kena naik motor besar atau superbike. Asalkan motosikal, kecil walaupun kapcai, itu sudah cukup.

“Namun, yang naik kereta ni bukan tak bahagia tapi perasaan apabila naik motor lain daripada yang naik kereta. Bergurau atas motor lebih seronok walaupun agak berbahaya. Kadang-kadang suami buat lawak atas motor, berbual-bual bersama isteri sambil menunggang motosikal,” ujarnya yang mempunyai motosikal jenama Yamaha MT09.


Bersama grup motosikal bergambar kenangan.


Tidak berdua sahaja bersama suami, pasangan ini juga sering melakukan perjalanan bersama grup superbike. Paling jauh destinasi yang mereka pernah singgah ialah Langkawi, Kedah.

“Kami sering melakukan perjalanan bersama beberapa grup antaranya, Bike Brothers, dalam 20 orang, MT Kuda Liar, dalam 300 orang dan MT Blue Central & Friends, dalam 120 orang.

“Kami suka singgah di tempat makan yang viral dalam media sosial dan tempat paling jauh pernah kami kunjungi adalah Langkawi. 

"Oleh kerana aktiviti atau hobi kami ini agak berisiko kerana berada di atas jalan raya, saya sering mengingatkan suami agar menjaga jarak kenderaan di depan bagi mengelakkan kemalangan dengan pengguna jalan raya lain.

“Kami juga sentiasa memakai jaket keselamatan dan helmet berkualiti adalah sangat penting. Kebiasaannya suami akan servis motor sebelum menyertai mana-mana konvoi,” katanya mengakhiri perbualan. - KitaReporters


Pemakaian helmet berkualiti tinggi adalah sangat penting.

15
8
0
12
0

Copy Link: