Rali Kapal Layar Sail Malaysia 2024! 35 pelayar antarabangsa singgah berlabuh di Duyung Marina Resort!
Published byDuyung Marina Resort,Kuala Terengganu
KEINDAHAN PANTAI dan kepelbagaian budaya yang ada di Terengganu telah menarik minat 35 pelayar dengan 14 kapal layar dari pelbagai pelosok negara memilih negeri ini untuk berlabuh sambil melihat sendiri budaya hidup masyarakat negeri ini.
Kehadiran pelayar tersebut sempena Program Sail Malaysia Passage To The East (PTE) Yacht Rally 2024 bermula pada 19 Mei sehingga 2 Jun 2024 memberi peluang kepada peserta untuk mengenali kehidupan masyarakat.
Peserta terbabit adalah dari Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Switzerland, New Zealand dan United Kingdom.
Pelayar termuda Sawyer Anderson berusia tiga tahun dan Larry Green, 83 tahun (paling berusia), antara peserta yang menyertai pelayaran selama 15 hari di Terengganu.
Ahmad Ridzwan Abd Rahman
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, ketika singgah di negeri ini, para peserta dibawa melawat ke beberap alokasi pelancongan tersohor di Terengganu, antaranya Kuala Terengganu, Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.
Sepanjang lima hari berada d Kuala Terengganu bermula 21 Mei hingga 25 Mei, pelayar-pelayar dibawa oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk mengenali budaya dan adat tradisi negeri dan merasai keenakan makanan tradisional.
Antara lokasi terbabit adalah Kampung Budaya Terengganu, tempat pembuatan bot di Kampung Pulau Rusa, Noor Arfa Batik dan Pasar Payang.
Katanya, program seupama ini pastinya bukan sahaja dapat memperkenal negeri ini sebagai destinasi pelayaran malah mampu mempamerkan keindahan pulau-pulau dan adat resam Terengganu kepada dunia luar.
“Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berharap dengan adanya program seperti ini, ia dapat mempromosikan lagi Kuala Terengganu sebagai salah satu hab kapal layar,” katanya lagi.
JPNT akan sentiasa
memberi kerjasama yang sewajarnya bagi program-program seperti ini sebagai
usaha menarik kedatangan lebih ramai pelayar antarabangsa datang ke Terengganu
selain meminta agar peserta program menyalurkan maklum balas pelayar kepada ke
JPNT.
Sementara itu semua peserta terbabit sudah memulakan sesi lawatan iaitu lokasi pertama yang dipilih adalah Pulau Rusa (Pembuatan Bot), diikuti Kampung Budaya Terengganu (KBT) kemudiannya ke Muzium Negeri Terengganu, Kampung Losong (Pembuatan Keropok), Perkampungan rumah-rumah lama dan Noor Arfa Batik (Pembuatan Batik).
Peserta kapal layar mencuba permainan gasing
Ketika di KBT,
pelayar-pelayar diberi penerangan berkaitan budaya dan adat resam Terengganu, selain mencuba permainan tradisional, mengoreng keropok keping guna pasir pantai dan mencuba peralatan muzik gamelan.
Mereka berlabuh di Duyong Marina, Kuala Terengganu pada 21 Mei 2024 lalu. Sebelum itu, mereka berada di Pulau Kapas, dan kemudian akan belayar ke Pulau Redang manakala lokasi terakhir adalah di Pulau Perhentian, Besut. - KitaReporters