Kucing haiwan peliharaan kesayangan manusia. - Kredit foto: Pexels


Kucing adalah haiwan peliharaan paling popular dalam kalangan manusia tanpa mengira bangsa. Bagi pencinta kucing, sama ada memelihara di dalam atau di luar rumah, sama sahaja perasaan mereka terhadapnya. Pencinta kucing sahaja tahu bagaimana perasaan mereka terhadap haiwan peliharaan itu. 

Rata-rata, kucing bagi penggemarnya adalah haiwan yang sangat menyenangkan untuk dibelai bahkan menjadi ‘teman setia’ dan penghilang rasa stres akibat lelah seharian bekerja.

Mereka rela menjaga dan menatang haiwan itu seperti anak atau anggota keluarga sendiri, tidak pernah alpa untuk memberi makanan dan sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk makanan dan kebajikan membesarkannya.


Bagaimana sekali pun rupa seseekor kucing itu tetap dipandang comel dan dipelihara di dalam rumah. - Kredit Foto - FB Lumpi cat.


Pendakwah antarabangsa, Mufti Menk dalam satu video menjelaskan, menghabiskan masa dengan memelihara kucing tidak salah kerana ia bukan perbuatan sia-sia. Memelihara kucing di rumah memang dapat memberi aura positif kepada ahli keluarga, bagaimanapun menurutnya lagi ia tidak juga selalu begitu. 

Teruskan meneliti penerangannya untuk mengetahui apakah yang dimaksudkannya oleh beliau berkait kenyataan ini. 

Sebelum itu, berikut tambahan kepada kebaikan memelihara kucing sebagai hobi. 

Dipetik daripada beberapa sumber, memeliharanya dikatakan boleh mengurangi risiko terkena serangan jantung. Daripada penelitian yang pernah dilakukan, pemilik memiliki risiko serangan jantung 30 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak memelihara kucing. 


Kucing, haiwan peliharaan kesayangan manusia, boleh dibelai oleh dewasa mahupun kanak-kanak. - Kredit Foto: Pexels


Menurut Dr Adnan Qureshi, seorang penulis senior yang meneliti mengenai perkara itu mengatakan, memiliki haiwan peliharaan dapat membantu menghilangkan stres. Pemilik kurang risiko diserang depresi. Kajian mendapati pemilik haiwan itu,  tidak mudah menderita kerana depresi dan kolestrol.

Bahkan penghidap penyakit tekanan darah tinggi mampu mengawal keadaan stres manakala pesakit serangan jantung boleh bertahan lebih lama selain dikatakan menjadi terapi buat anak autisme. 

Di sebalik keghairahan masyarakat memelihara kucing, Mufti Menk memberi peringatan berwaspada dengan kesan negatif apabila membawa pulang haiwan itu ke rumah, tidak kiralah sama ada kucing pemberian orang atau dibeli. Lebih-lebih lagi kucing yang berkeliaran atau kucing liar yang dikutip. 

Inti pati penerangan dalam video bertajuk Pets and Jinns dalam saluran YouTube Islam In East, katanya, awas pada peringkat awal membawa pulang haiwan itu ke rumah. 


Walaupun bukan manusia, mandi juga amalan rutin bagi sesetengah kucing peliharaan, tentunya dibuat oleh tuannya. - Kredit foto: FB Lumpi cat.


Menerusi ayat pembukaan, Mufti Menk mengakui memelihara kucing di rumah memberi aura positif yang tersendiri namun tidak juga selalu begitu. 

Dalam video 3.09 berdurasi minit itu, beliau menambah, pernah juga berlaku di mana suasana rumah yang sebelumnya aman dan selesa bertukar sebaliknya seperti ahli keluarga sihat walafiat tiba-tiba jatuh sakit, suasana rumah menjadi tegang dengan pergaduhan atau ahli keluarga tidak sihat.

Pernah terjadi, anak tiba-tiba tidak boleh bangun atau berjalan dan hal ini berkemungkinan besar terkait gangguan benda halus yang datang bersama kucing sebagai pembawa.

"Situasi ini sedikit kompleks, namun nasihat ringkas, berwaspadalah pada peringkat awal pememeliharaannya, sedari waktu ia dibawa ke rumah sehingga minggu pertama ataupun kedua, teliti kesan apa yang berlaku, ada atau tidak ahli keluarga tiba-tiba sakit berterusan, timbul perbalahan yang tidak berkesudahan, saling tidak percaya dan sebagainya," katanya.

Jika ini berlaku, sebaiknya tidak usahlah pelihara kucing itu atau tukarlah dengan yang lain. Antara solusi lain, nasihatnya lagi, amalkan surah Qursi setiap pagi dan petang dan surah terakhir al-Quran (Annas) iaitu surah untuk memohon perlindungan. - KitaReporters


Berwaspada jika ada perubahan dari segi suasana rumah dalam tempoh seminggu dua  kucing dibawa pulang, adakah berlaku ahli keluarga diserang penyakit atau suasana rumah menjadi tegang. - Kredit foto: Pexels

16
16
0
11
0

Copy Link: