Gambar hiasan... Ikan celup tepung. 


PESISIRAN Pantai Penarik di Setiu, Terengganu amat sinonim dengan hasil jualan makanan berasaskan sumber laut terutama produk Ikan Celup Tepung (ICT) menyebabkan pelancong ke negeri itu tidak mahu melepaskan peluang untuk berkunjung ke lokasi tersebut bagi menikmati makanan tersebut.

Bagaimanapun, di sebalik keseronokan menimati makanan popular di negeri ini orang ramai terutama pelancong perlu berhati-hati memilih premis-premis jualan yang bersih dan diperakui oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Ini kerana JKNT mengesan di sebalik berpuluh-puluh premis jualan yang wujud di pantai tersebut ada juga yang peniaga yang tidak beretika dan tidak sensitif dengan penjagaan premis jualan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makanan dan masakan

Penguat Kuasa JKNT memeriksa bahagian dapur sebuah premis menjual ikan celuk tepung di Setiu.Kredit Foto JKNT


Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan dengan mengarahkan sebuah premis jualan di lokasi berkenaan ditutup kerana pemiliknya tidak menjaga kebersihan kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan oleh JKNT. 

Katanya, arahan itu dikeluarkan susulan Operasi Pesisir Pantai Daerah Setiu yang diadakan di daerah berkenaan pada 4 September 2022 lalu.

Sebanyak 24 premis makanan di sepanjang jalan pantai bermula dari Kampung Penarik sehingga Kampung Rhu Sepuluh telah diperiksa di mana satu premis diarahkan ditutup kerana tahap kebersihan premis di bawah tahap minimum yang ditetapkan iaitu berada dibawah markah penilaian 60 peratus,” katanya.


Dr Kasemani Embong


Beliau berkata, menerusi operasi itu pihaknya juga mendapati persekitaran premis makanan tidak bersih dan tidak terurus, pengendali makanan yang tidak diketahui status kesihatan dan tiada pelalian antitifoid serta tidak menitikberatkan kebersihan diri.

Menurutnya, arahan penutupan premis jualan produk ikan celup tepung terbabit ditutup tidak melebihi 14 hari  di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Selain daripada itu, sebanyak  23 notis kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM7,200,” katanya dalam satu kenyataan pada 5 September 2022. 


Keadaan sebuah dapur premis menjual ikan celup tepung yang didapati dalam keadan tidak terurus


Dr Kasemani juga berkata, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan melalui perlaksanaan sepenuhnya Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 akan diadakan secara berterusan bagi melindungi kepentingan awam.

“Pemeriksaan secara berterusan itu juga bertujuan untuk mendidik warga penjaja dan peniaga supaya mengamal dan mengutamakan kebersihan di premis masing-masing pada setiap masa

“Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa amalkan tabiat perhati dan pilih sebelum melanggan makanan di premis makanan tertentu,” ujarnya. 


Ikan celup tepung makanan pupular penduduk Terengganu


Operasi Pesisir Pantai Daerah Setiu 2022 yang telah disertai oleh 30 anggota penguatkuasa yang terdiri daripada anggota di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

Lokaliti yang terlibat adalah sepanjang jalan pantai bermula dari Kg Penarik hingga ke Kg Rhu Sepuluh.

“Premis  makanan di kawasan tersebut sering menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan pelancong dari luar Terengganu untuk menikmati pelbagai juadah terutama makanan berkonsepkan celup tepung termasuk ikan, udang dan sotong celup tepung,” katanya lagi. - KitaReporters


Seorang pegawai penguat kuasa JKNT menjalankan pemeriksaan dalam Operasi Pesisir Pantai di Daerah Setiu

 

15
18
2
10
2

Copy Link: