Jom gi candat sotong! 232 peserta dan 24 bot sertai soft launching Musim Candat Sotong di Terengganu!
Published byBot membawa peserta menuju ke lokasi mencandat sotong
SETIAP
tahun, musim mencandat sotong di Terengganu menjadi tarikan utama bukan sahaja
kepada penduduk tempatan malah pelancong asing turut menyertai aktiviti mencandat sotong sama ada secara persendirian atau menyertai program yang dianjurkan
oleh pihak tertentu.
Musim mencandat sotong yang biasanya berlangsung dari bulan April hingga September, bukan sahaja merupakan tradisi lama masyarakat pantai Timur Malaysia, tetapi juga sumber pendapatan penting bagi nelayan tempatan.
Razali Idris (dua dari kanan) menunjukkan banner program candat sotong
Terengganu, dengan pantai yang panjang dan kaya dengan sumber laut, menawarkan pengalaman mencandat sotong yang unik. Nelayan tempatan menggunakan teknik tradisional dengan bantuan lampu yang menarik sotong pada waktu malam.
Bagi pelancong, ia adalah satu aktiviti yang menarik dan memberi peluang untuk merasai kehidupan nelayan serta menikmati keindahan laut di waktu malam.
Terbaharu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) meneruskan program candat sotong dengan melancarkan “Soft Launching Musim Candat Terengganu 2024” dengan tujuan untuk mengembalikan kerancakan musim mencandat sotong di perairan Pulau Kapas, Marang.
Program sehari ini melibatkan seramai 232 peserta dan 24 bot daripada seluruh Terengganu termasuk penggiat industri pelancongan.
Golongan wanita tidak ketinggalan menyertai program candat sotong di perairan Terengganu
Pelepasan program telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Daripada jumlah tersebut, peserta dari setiap daerah kecuali Hulu Terengganu akan turun mencandat di daerah masing-masing, tidak hanya tertumpu di perairan Pulau Kapas seperti sebelum ini.
Apa yang diusahakan ini, selaras dengan saranan kerajaan untuk menyemarakkan kembali sektor pelancongan negeri secara meluas ke setiap daerah.
Razali Idris
Peserta menaiki bot
Razali berkata, Kerajaan Terengganu melihat aktiviti ini perlu diteruskan
kerana ia memberi rangsangan terhadap penggiat-penggiat industri pelancongan
yang terdiri daripada pengusaha bot nelayan, pengusaha hotel serta resort,
peniaga, dan orang ramai yang menerima manfaat ekonomi daripada aktiviti
pelancongan ini.
Menariknya aktiviti tersebut kini udah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC).
Razali berkata MOTAC juga bersetuju mempromosikan pesta mencandat sotong yang diadakan setiap tahun bermula daripada April hingga Oktober ke seluruh negara.
Sejak aktiviti mencandat sotong dijadikan sebagai produk pelancongan, jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu sepanjang tempoh musim mencandat sotong (April hingga September) telah dilaporkan meningkat berkali ganda.
Katanya, berdasarkan rekod, dianggarkan hampir 500 bot candat membabitkan
seramai 5,000 pencandat, termasuk pelancong luar negara, akan turun ke laut
setiap hari dalam tempoh tersebut untuk menikmati hobi mereka.
Sebahagian besar pelancong akan mengambil pakej mencandat sotong biarpun ramai dalam kalangan mereka belum pernah mencuba aktiviti itu.
Selain perairan Pulau Kapas, Marang, lokasi terbaik untuk mencandat sotong di Terengganu adalah sekitar perairan Pulau Perhentian, Besut; Pulau Chepu, Setiu; Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus; Pulau Gemias, Marang; Kg. Gong Balai, Marang; Rantau Abang, Dungun; dan Kuala Dungun, Dungun.
Aktiviti mencandat sotong biasanya bermula ketika matahari mula terbenam, sekitar jam 7 malam, dan berterusan sehingga jam 5 pagi. - KitaReporters