Ratusan botol menghiasi laluan masuk ke 'Rumah Botol'.


PENARIK memang menarik. Pekan kecil di Setiu, Terengganu yang terletak di laluan jalan persekutuan (jalan lama) dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuantan, Pahang atau sebaliknya, yang sentiasa dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.  

Pekan ini yang terletak dalam persekitaran tenang dan damai dengan lambaian pokok kelapa, serta kedudukannya di tepi laut, menampilkan persekitaran yang sangat nyaman. Sinaran matahari yang menguning ketika akan berlabuh menambah cantik pemandangan.

Panarik secara umumnya memiliki dua daya penarik utama. Pertama ia tempat tumpuan mereka yang suka menikmati makanan ‘celup-celup’. Tidak sah jika melalui pekan ini tetapi tidak singgah untuk menikmati pelbagai makanan ‘celup-celup’.

Keistimewaan kedua Penarik ialah ‘Rumah Botol’ yang merupakan destinasi tumpuan ramai. Rumah ini unik kerana ia bukan didiami orang, tetapi dihuni oleh ribuan botol, sehingga melimpah ke kawasan halaman.


Enaknya menikmati 'celup-celup' di pinggir laut di Penarik, Setiu, Terengganu.


Kepada yang tidak biasa dengan ‘celup-celup’, ia adalah makanan laut yang digoreng bersalut tepung, dimakan dengan dicicah sauce. Antaranya ada ikan, biasanya ikan kembung, sotong, ketam dan udang disediakan. Pilih sahaja mana yang memenuhi selera.

Terdapat banyak kedai ‘celup-celup’, kebanyakannya di pinggir laut Penarik. Ini membuktikan popularnyaa makanan berkenaan sebagai tarikan pengunjung ke pekan kecil itu. Selain itu, makanan lain juga disediakan seperti nasi, tomyam, mi, kuetiew dan lain-lain.

Penulis yang berkunjung ke Penarik baru-baru ini melihat kedai ‘celup-celup’ dipenuhi pelanggan, termasuk para penunggang motorsikal besar yang berhenti menjamu selera. Tentu enak menjamu selera didodoi tiupan angin laut yang membuai rasa. Pada waktu cuti, pelanggan lebih ramai.


Tengku Mohd Ali @ Tengku Enduk memberi penjelasan mengenai sejarah 'Rumah Botol'. 


Jika sudah berada di Penarik, jangan lepaskan peluang melawat ‘Rumah Botol’, tarikan yang tidak ada di tempat lain. Sekurang-kurangnya ada 4,000 botol di dalam rumah ini hasil koleksi pemiliknya, Tengku Mohd Ali @ Tengku Enduk.

Kedatangan pengunjung akan disambut dengan kerlipan pelbagai jenis botol berwarna warni, dalam pelbagai saiz dan bentuk. Ada yang kecil ada yang besar. Ada yang bulat dan empat persegi, ada yang panjang dan pendek.

Menurut Tengku Enduk, dikenali sebagai Tok Ayah dan Ayah Ku, 79, koleksi botol berkenaan dikumpul sejak 25 tahun lalu sejak sebelum ‘Rumah Botol’ diwujudkan pada 2005. Kebanyakan koleksi botol bekas tentera itu adalah botol hanyut yang terdampar di pantai.

Apabila koleksi botolnya semakin banyak, Tok Ayah membeli sebuah rumah milik kakaknya khusus untuk dijadikan tempat simpanan koleksi. Rumah tersebut bagai sebuah muzium botol. Botol juga diabadikan pada laluan masuk ke rumah berkenaan.


Botol berwarna warni dalam pelbagai saiz dan bentuk menghiasi 'Rumah Botol'.


Selain itu terdapat koleksi cawan minuman (mugs) yang tersusun rapi di atas rak. Tok Ayah juga mengumpul selipar yang hanyut ke pantai dan diletakkan pada bahagian luar sisi rumah. Pendek kata bermacam-macam selipar hanyut ‘mendarat’ di ‘Rumah Botol’. 

Minat Tengku Enduk mengumpul botol tercetus apabila melihat kelompok remaja memecahkan botol yang terdampar di pantai. Beliau bimbang ini akan memudaratkan pengunjung pantai jika terkena tusukan kaca yang bertaburan.

Beliau meminta kelompok remaja berkenaan tidak memecahkan botol di pantai, sebaliknya menjual kepadanya. Dengan itu koleksi botol beliau makin bertambah, tambahan ada orang ramai yang memberi botol kepadanya apabila mengetahui beliau membuat koleksi.


Selipar hanyut turut diabadikan di 'Rumah Botol'.


Yang istimewa, koleksi botol juga termasuk dari luar negara, hanyut dibawa ombak laut. Antaranya dari Mexico, Korea Selatan, Amerika, Perancis dan Filifina. Ada pula antara botol-botol berkenaan mempunyai mesej di dalamnya. Mungkin dihanyutkan oleh orang yang bercinta!

Sambil menikmati ‘celup-celup’ di Penarik, pastikan anda mengunjungi ‘Rumah Botol’ untuk menyaksikan keunikan koleksi botol Tengku Enduk. Beliau dengan senang hati akan memberi penerangan mengenai koleksinya. Jika ingin menginap jangan risau kerana terdapat banyak homestay (rumah inap) di Penarik. - KitaReporters


 

Koleksi cawan minuman tersusun rapi di atas rak di 'Rumah Botol', Penarik, Setiu. 

 

19
8
0
12
0

Copy Link: