Berpuasa dan berjalan 1km? Pastinya di Bazar Ramadan Wangsa Maju! Terpanjang di ibu kota! 320 gerai!
Published bybaza .

SUDAH sampai ke bazar Ramadan Wangsa Maju? Jika sudah tahniah. Sedar atau tidak, anda telah berkunjung ke bazar Ramadan paling panjang di Kuala Lumpur, mempunyai gerai jualan juadah berbuka puasa paling banyak berbanding bazar-bazar Ramadan lain di ibu kota.
Bazar popular seperti bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampong Bharu atau bazar Ramadan di Kampung Dato' Keramat pun tidak dapat menandingi bazar Ramadan Wangsa Maju.

Bazar Ramadan Wangsa Maju, Kuala Lumpur merupakan bazar terpanjang di ibu negara, yang sepanjang 1 kilometer ulang alik, dan menyediakan pelbagai jenis juadah berbuka puasa untuk pengunjung yang bersesak memenuhi bazar tersebut tiap hari.
Panjang bazar Ramadan Wangsa Maju ialah 500 meter satu hala, dari titik permulaan ke penghujung. Ini bermakna jika bergerak dari titik mula hingga ke hujung dan berpatah balik, pengunjung telah berjalan sejauh satu kilometer.
Bazar
tersebut mempunyai hingga 320 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan
minuman, lauk pauk serta kuih muih pelbagai jenis. Boleh rambang mata
memilih. Semua hendak dibeli.
Walau pun jarak bazar begitu panjang, mungkin tidak begitu terasa kerana sambil berjalan boleh memerhati dan meninjau jualan, membeli apa yang diingini. Tetapi sedialah untuk berjalan bersesak-sesak.
Bazar Ramadan Wangsa Maju bukan sahaja tumpuan penduduk setempat, tetapi juga taman berhampiran di sekitarnya. Antaranya Taman Danau Kota, Taman Ibu Kota, Taman Melati, Taman Setapak, Taman Seri Rampai, juga Taman Melewati di Hulu Kelang, Selangor.

Dr. Zaliha Mustafa (depan, tengah) berkunjung ke bazar Ramadan Wangsa Maju untuk meninjau operasi. Semua bazar Ramadan di Kuala Lumpur tahun ini (2025) dikendalikan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada kadar sewa RM300 dan deposit RM200 sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa sendiri berkunjung ke bazar berkenaan pada 4 Mac 2025 lalu untuk meninjau operasi dan bermesra dengan para peniaga.
Sambil
meninjau juadah jualan, beliau juga bertanya kepada peniaga mengenai sewa tapak
bazar. Tahun ini (2025) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengendalikan sepenuhnya operasi
seperti lokasi, tapak dan sewa bazar Ramadan.
Sebelum ini ia dikendalikan oleh pihak ketiga. Pelbagai rungutan didengar dan rasa tidak puas hati diluah oeh para peniaga berhubung pembahagian lot niaga di samping sewa tapak yang tinggi mencecah ribuan Ringgit.

Pengunjung bersesak-sesak memenuhi bazar Ramadan Wangsa Maju yang mempunyai 320 gerai untuk membeli juadah berbuka puasa.
Menurut Dr. Zaliha, di bawah DBKL, sewa tapak hanya RM500. Daripada jumlah itu, RM200 ialah deposit yang akan dikembalikan jika peniaga mematuhi syarat operasi gerai. Ertinya sewa sebenar hanya RM300 sahaja.
Nyata peniaga bazar Ramadan Wangsa Maju, dan tentunya bazar lain di Kuala Lumpur, gembira dan puas hati dengan pengendalian oleh DBKL.
Dr Zaliha juga gembira dengar respons peniaga dan meminta mereka buat laporan jika ada yang bayar lebih daripada jumlah itu.

Ayam bakar, ayam percik ada dijual di bazar Ramadan Wangsa Maju.
Sukar untuk menyebut satu persatu apa yang boleh didapati di bazar Ramadan Wangsa Maju. Ini kerana terlalu banyak juadah pelbagai jenis dan masakan dijual, memenuhi cita rasa setiap pengunjung.
Ayam golek, ayam panggang, ayam bakar, roti John, roti boom, tepung pelita, cendol, martabak, pasembor, nasi beriani, nasi tomato, nasi ayam.... semua ada, sekadar menyebut beberapa jenis makanan.
Jadi bukan masalah mencari apa dikehendaki. Yang jadi masalah ialah memilih daripada yang banyak terpampang di hadapan mata di baris kiri dan kanan sepanjang bazar serta jumlah duit yang dibawa.
Jika ingin merasai sendiri suasana bazar Ramadan terpanjang di Kuala Lumpur, dan pelbagai juadah yang dijual, datanglah berkunjung. Lokasi bazar Ramadan Wangsa Maju sangat strategik, mudah diakses menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.
Ia terletak bersebelahan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju, juga berhampiran pusat beli belah Aeon Mall Wangsa Maju. Ia juga hampir dengan jalan besar Hulu Kelang-Kuala Lumpur.
Ayuh datang beramai-ramai. Datang jangan takdatang! Setahun sekali je! - KitaReporters

Nasi ayam, air balang antara juadah berbuka puasa disediakan di bazar Ramadan Wangsa Maju.