Video| Yang nak dibeli tauhu bergedel! Tapi yang dapat tauhupap! Pembeli geram peniaga tidak jujur!
Published byPelbagai juadah berbuka puasa dijual di bazar Ramadan seperti lauk-pauk dan kuih-muih. Bagi yang gemar membeli makanan di luar ketika berbuka puasa, bazar Ramadan menjadi pilihan. Terpulang pada diri masing-masing yang mana lebih mudah dan selesa.
Alhamdulillah, bulan Ramadan adalah bulan rezeki untuk para peniaga. Namun, jangan salah gunakan peluang tersebut dengan menipu pelanggan. Dalam zaman serba viral ini, jujurlah dalam berniaga kalau tidak mahu dimalukan dan dikecam dalam media sosial.
Perkara sebegini berlaku sejak dulu lagi cuma tidak diketahui ramai kerana tiada media sosial. Namun, sekarang andai tersalah sikit, semuanya akan diviralkan. Ditambah pula dengan isu barang dan makanan semakin mahal, pastinya pelanggan mahu yang dijual setaraf dengan harganya.
Lihat sahaja dalam media sosial, pelbagai cerita tidak enak didengari berkenaan kualiti makanan yang dijual di bazar Ramadan. Isu makanan basi, kuih keras macam kayu, kuantiti makanan tidak setanding harga dan bermacam-macam lagi sering didengari.
Pasti anda pernah dengar istilah karipap oksigen bukan? Jangan tak percaya, ia masih berlaku lagi hingga kini.
Pengalaman seorang wanita membeli kuih di bazar Ramadan menjadi mimpi ngeri buat dirinya. Kononnya mahu menyokong para peniaga di bazar Ramadan tapi menjadi sebaliknya.
Dia berkongsi pengalaman tersebut dalam TikTok miliknya. Dikenali dengan nama Mama Faeza, dia meluahkan rasa kesal dan geram terhadap peniaga yang tidak jujur.
Pada hari pertama Ramadan dia ke sana untuk membeli tauhu bergedel untuk berbuka puasa. Malangnya, tauhu bergedel yang dibeli tidak seperti kebiasaan. Ini kerana peniaga tersebut menggunakan inti karipap.
"Bazar Ramadan hari pertama! Haha, taubatlah geram. Ini namanya tauhupap (tauhu karipap)!,” tulisnya geram.
Bagi yang tidak tahu, tauhu bergedel diperbuat daripada tauhu kering berintikan kentang lenyek. Biasanya isi kentang lenyek akan dicampur sekali dengan isi daging atau ayam cencang, bawang goreng, daup sup dan lada sulah.
“Inti dia kentang rebus yang dilenyek halus ditambah isi daging atau ayam cencang, daun sup, daun bawang. Kemudian goreng dan makan dengan sambal kicap,” tulis salah seorang netizen.
Namun, apa yang terjadi kepada Mama Faeza, tauhu bergedel yang dibelinya berintikan kentang lenyek yang dicampur kari atau lebih tepat lagi menggunakan inti karipap. Hal tersebutlah membuatkan dia geram kerana peniaga tidak jujur.
Sementara itu ada juga netizen yang cuba bersangka
baik dengan mengatakan bahawa mungkin wujud tauhu bergedel perisa kari.
“Rasanya bukan tak reti buat atau tipu sis, memang wujud je tauhu bergedel inti dia berempah rasa kari,” jelas netizen yang bersangka baik.
Namun, menurut Mama Faeza, kalau betul wujud, terus-terang dengan pelanggan dan tukar nama makanan tersebut. Apabila disebut tauhu bergedel, sudah pasti orang ramai akan menyangka rasanya seperti mana-mana tauhu bergedel yang biasa dijual. Tetapi apabila diubah sesuka hati seperti ini, ia akan membuatkan pelanggan kecewa. - KitaReporters