HENDAK ke pusat bandar jauh, belanja pun besar, namun penduduk Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu akhirnya dapat juga menikmati keenakan ayam goreng persis KFC yang sudah terkenal itu. Fina Fried Chicken (FFC) kini menjadi buah mulut penduduk di kampung berkenaan khusus dalam kalangan remaja bukan sahaja kerana rasanya yang enak serta ranggup malah harganya pula mampu dibeli oleh mereka. : KitaReporters

Gerai FFC diusahakan oleh Siti Nor Afrina Abdul Razak siswazah UiTM, Puncak Alam, Selangor dan Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.


Ayam goreng itu boleh didapati di gerai FFC diusahakan oleh bekas lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, Selangor, Siti Nor Afrina Abdul Razak yang dibuka sejak enam bulan lalu di kampung itu.

Siti Nor Afrina sebelum menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di UiTM pada tahun 2019, beliau adalah bekas pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor, dengan kelulusan peringkat Diploma Art & Design. 

Gerai FFC beroperasi semula selepas ditutup kerana PKP.


Tidak mahu membuang masa sementara menunggu tawaran menjadi pendidik sebenar, dengan berbekalkan sedikit wang simpanan Siti Nor Afrina memulakan perniagaan makanan segera seperti ayam dan kentang goreng, burger serta minuman ringan.

Perniagaan itu baru sahaja beroperasi semula kira-kira sebulan lalu selepas terhenti kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan mulai Mac 2020 lalu bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Gerai FFC akan menjadi tumpuan bermula jam 4 petang apabila orang ramai datang untuk minum petang atau pun dibungkus untuk dibawa pulang.


Beliau yang mesra dipanggil Fina, berkata selepas jam 4 petang setiap hari gerainya mula menjadi tumpuan ramai khusus kalangan remaja yang datang bersantai sambil menikmati hidangan FFC dan minuman ringan.

Pada hari Jumaat dan Sabtu, Fina terpaksa menyediakan lebih ayam dan kentang goreng serta burger kerana gerai beliau menjadi tumpuan ramai penduduk yang singgah dalam perjalanan berkelah bersama-sama keluarga di Air Terjun Sekayu yang terletak kira-kira 1.5 kilometer. 


Fina sedang menyiapkan tempahan burger yang diterimanya.


Sambutan mengalakkan setiap hari itu mendorong Fina untuk bercita-cita membesarkan perniagaannya itu dengan menambah beberapa menu makanan lagi seperti yang terdapat di restoran makanan segera di pusat bandar.

Fina berkata, sekarang ini dia sudah menerima banyak tempahan khususnya ayam goreng dan burger daripada mereka yang tinggal di pekan Kuala Berang yang jaraknya lebih 10 kilometer dari Kampung Sekayu.

Fina (tengah) bersama-sama ibu bapanya, Abdul Razak Ismail dan Nurhaizan Mahussin pada majlis Konvokesyen UiTM tahun lalu.


“Saya akan cuba membuat penghantaran segera kepada pelanggan terbabit sebaik sahaja memulakan perniagaan jam 2.30 petang setiap hari dan akan memastikan semua mereka menerima pesanan sebelum menutup gerai jam 6.40 petang. 

“Saya berasa seronok menjalankan perniagaan ini apabila turut mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa selain dapat membawa masuk makanan segera persis yang popular di pusat bandar ke pedalaman untuk dinikmati penduduk kampung,” katanya.

Untuk tempahan FFC, kentang goreng dan burger orang ramai boleh menghubungi Fina menerusi telefon 014-984 7644. - KitaReporters

68
10
1
1
0

Copy Link: