SAMBUTAN Hari Kebangsaan, 31 Ogos dan kemudiannya digandakan kemeriahan sepanjang Bulan Kemerdekaan serta tiba di ufuk hari bersejarah itu, iaitu Hari Malaysia 16 September pada setiap tahun sudah tentu pelbagai persiapan acara dilakukan seluruh penduduk di negara ini. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan kemerdekaan:

https://kitareporters.com/search?search=kemerdekaan


Penghayatan sejarah kemerdekaan negara, bukan sahaja kemampuan dengan kibar Jalur Gemilang, mengenakan busaya tradisional termasuk tanjak yang dipakai pada kepala malahan tidak ketinggalan membuat kek dan makanan diasosiasikan dengan dekorasi tema sambutan tersebut juga mendapat perhatian penduduk.

Berasaskan penghayatan tersebut, seramai 150 orang penduduk dan tetamu dari agensi kerajaan telah menyaksikan pertandingan dekorasi kek dan kuih-muih tradisional bertemakan kemerdekaan negara sempena Program Merdeka@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Jerantut di balai raya Kampung Bukit Dinding, Jerantut pada 12 September 2020 baru-baru ini.

Salah satu Program Merdeka@Komuniti anjuran bersama Pejabat Penerangan Jerantut dengan Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung di sebuah kampung di Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Pejabat Penerangan Jerantut.


Seramai 10 orang peserta yang terdiri daripada penduduk Bukit Dinding membuktikan kemahiran masing-masing membuat kek dan kuih tempatan dengan mengenakan dekorasi berasaskan konsep tema Hari Kebangsaan, kemerdekaan termasuk Jalur Gemilang.

Kek yang didekorasi dalam bentuk Jalur Gemilang antara yang menyertai pertandingan sempena Program Merdeka@Komuniti di Kampung Bukit Dinding, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Saripah Fadhilah


Walaupun jumlah peserta kecil, tetapi 'aura' sambutan tetap meriah dan keseluruhan pengunjung majlis Program Merdeka@Komuniti berasa kagum dan teruja apabila menyaksikan para peserta pertandingan menyediakan bahan masing-masing dengan sempurna dan menarik dalam tempoh lima jam.

Roti jala yang diwarnai berkonsepkan Jalur Gemilang antara juadah sajian kepada tetamu yang hadir memeriahkan 

Program Merdeka@Komuniti di Kampung Bukit Dinding, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Saripah Fadhilah 


Perasmian Program Merdeka@Komuniti disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Damak, Zuridan Mohd Daud. Turut hadir, Pegawai Penerangan Jerantut, Nursaliza Shapie.

SYAMRULMIZA MOHD PAKRI


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Bukit Dinding, Syamrulmiza Mohd Pakri berkata, pihaknya memilih aktiviti pertandingan membuat dekorasi kek dan kuih-muih berasaskan permintaan suri rumah tangga yang cukup berminat untuk menyertai aktiviti berkenaan.

"Setiap tahun penduduk di sini memeriahkan sambutan hari bersejarah ini hanya mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan balai raya, tetapi tahun ini, JKKK dengan kerjasama Pejabat Penerangan Jerantut membuat kelainan dengan mengisi acara pertandingan berkenaan untuk menyemarakkan sambutan ini.

"Pertandingan ini cukup mengujakan pengunjung dan tetamu sekali gus menzahirkan kemeriahan serta penghayatan sejarah kemerdekaan di samping titipan ucapan sungguh bersemangat daripada wakil rakyat dan pegawai penerangan selaku pembicara sejarah kemerdekaan negara sempena program ini," katanya di Kampung Bukit Dinding, Jerantut itu.

Antara pengunjung yang memenuhi balai raya untuk melihat pameran kek dan kuih-muih tradisional yang menyertai pertandingan sempena Program Merdeka@Komuniti di Kampung Bukit Dinding, Jerantut baru-baru ini. - Kredit foto: Saripah Fadhilah 


Menurut Syamrulmiza, pemenang pertandingan itu didominasi oleh pembuat makanan (kuih) tradisional dengan dekorasi yang menarik dan pemilihan kedudukan tempat pertama, kedua dan ketiga berasaskan pendapat ahli panel kerana hasil kreativiti gubahan dan makanan itu lebih menjiwai sejarah dan tema kemerdekaan.

Buah Melaka antara kuih tradisional berkonsepkan Jalur Gemilang yang dipilih antara pemenang kerana hasilnya lebih kreatif dan menjiwai semangat kemerdekaan. - Kredit foto: Saripah Fadhilah  


Kuih 'Puteri Ayu' yang dibuat dalam tekstur berwarna-warni Jalur Gemilang yang memikat hati panel hakim juga disenaraikan sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut. - Kredit foto: Saripah Fadhilah  


Sementara itu,  seorang pengunjung, Saripah Fadhilah Syed Mahmad berkata, aktiviti pertandingan membuat kek dan kuih-muih tempatan cukup menarik, sekali gus menzahirkan semangat patriotisme sempena pengisian Hari Kebangsaan ke-63 dan Bulan Kemerdekaan tahun ini.

"Sememangnya, penduduk di sini mempunyai kemahiran memasak (membuat) kek dan makanan tempatan yang tinggi serta keupayaan menterjemahkan nilai kreatif yang menarik dan boleh dikomersialkan.

Kuih Lapis bertemakan Jalur Gemilang antara pilihan peserta pertandingan. - Kredit foto: Saripah Fadhilah


"Apapun aktiviti ini telah dapat mendekatkan komuniti setempat dengan pemimpin setempat dan pegawai agensi Pejabat Penerangan di sini, di samping menerapkan falsafah kemerdekaan menerusi tema Malaysia Prihatin kepada generasi hari ini," katanya.

Zuridan Mohd Daud ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti turut memberikan naratif menjiwai semangat kemerdekaan  kepada penduduk khususnya generasi hari ini di Kampung Bukit Dinding, Jerantut. - Kredit foto: Saripah Fadhilah


Dalam pada itu, Zuridan memberikan tip nasihat kepada penduduk terutama generasi hari ini supaya memahami dan menghayati perspektif sejarah kemerdekaan negara untuk mencorakkan kehidupan berlandaskan perpaduan dan pembangunan pada masa akan datang.

"Walaupun proklamasi kemerdekaan tanpa setitis darah, tetapi kita (generasi) mesti ingat bukan mudah untuk membebaskan tanah air ini bagi menobatkan sebuah negara berdaulat menerusi perjuangan dan tumpahnya darah wira bangsa yang berjuang menentang British dan ancaman Komunis sebelum dan pascamerdeka sehingga kita benar aman dan makmur hari ini.

"Marilah kita teladani semangat wira bangsa dan negarawan sebelum ini untuk memberikan petunjuk bagi menjana kebahagian keluarga, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara," ujarnya. - KitaReporters

Zuridah Mohd Daud (depan, empat dari kanan) bersama  Nursaliza Shapie (depan, dua dari kiri) bersama tetamu sempena Program Komuniti@Merdeka di Kampung Bukit Dinding, Jerantut. - Kredit foto: Saripah Fadhilah


Kek coklat bertatahkan lambang 'love' dan diasosiasikan dengan warna Jalur Gemilang serta tema Malaysia Prihatin antara gubahan kreatif yang mengujakan pengunjung. - Kredit foto: Saripah Fadhilah

2
0
0
1
0

Copy Link: