Pengunjung ke pusat pelancongan terkenal Bukit Keluang, Besut, Terengganu, masih bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga kerana baru-baru ini, ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengganggu keselamatan orang ramai yang berkunjung ke tempat perkelahan tersebut. : KitaReporters


Keindahan Pantai Bukit Keluang, Besut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri


Pusat perkelahan Bukit Keluang, Besut menjadi pilihan pelancong


Lagi cerita-cerita berkaitan pelancongan: 

https://kitareporters.com/search?search=pelancongan


Pusat perkelahan di tepi pantai Laut Cina Selatan itu menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri kerana ia memiliki pelbagai keistimewaan untuk menjadikan tempat itu sebagai pusat riadah, mandi manda, bersantai dan mendaki bukit.

Memiliki pasir yang putih bersih dan air laut yang membiru, Bukit Keluang tetap menjadi pilihan orang ramai membawa keluarga terutama pada hujung minggu dan cuti umum sambal menikmati udara laut yang bersih.


Pantai Bukit Keluang, Besut perlu pemantauan pasukan keselamatan


Bagaimanapun, pengunjung mulai resah bila berkunjung ke situ kerana beberapa kejadian tidak diingini membabitkan pelancong membuatkan pengunjung berasa takut dan gerun untuk berada di situ.

Terbaharu, empat remaja  dari Kelantan berhadapan detik cemas ketika berada di lokasi perkelahan itu apabila didatangi empat lelaki tidak dikenali yang menghampiri remaja terbabit kemudian meminta mereka menyerahkan kad pengenalan dan wang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi pada 28 Oktober 2020 lalu itu, mangsa berupa remaja perempuan berusia 19 tahun kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, kerana bimbang dengan keselamatan diri.

Sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dikatakan datang dengan sebuah kereta Produa Axia dan mendakwa diri mereka sebagai Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).


Ketua Polis Daerah Besut Abdul Rozak Muhammad


Susulan kejadian itu polis daerah Besut melancarkan gerakan memburu suspek dan hasil gerakan tersebut semua suspek berusia di antara 20 hingga 24 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini antara jam 7.30 pagi hingga jam 10 pagi pada 29 Oktober 2020 lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, empat lelaki berusia di antara 20 hingga 24 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 170, Kanun Keseksaan. 

"Dua orang, ditahan di Kampung Pengkalan Gadoh, seorang di Kampung Pak Kiang dan seorang lagi di Kampung Gong Tiong," katanya. Kereta Perodua Axia dan anak kunci kereta turut dirampas.


Pusat pelancongan Bukit Keluang, Besut


Katanya, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Keempat-empat tangkapan mengaku terbabit dalam kes yang disiasat. Semua tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan selanjutnya. 

Beliau berkata, mereka meminta semua mangsa menyerahkan kad pengenalan dan mengambil gambar dengan alasan untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku melakukan jenayah itu dan dua daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kes dadah," kata Abdul Rozak.

Katanya, Hasil ujian saringan air kencing seorang suspek berusia 22 tahun positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," tambahnya.


Pengunjung Nik Hasmira Nik Yahya


Sementara itu, seorang pengunjung Nik Hasmira Nik Yahya, 33, berkata beliau yang sering berkunjung ke pusat pelancongan itu berasa takut selepas mengetahui kejadian yang menimpa pengunjung beberapa hari lalu.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan “Nik Erra” berkata dia selalu datang ke situ untuk menjalankan aktiviti mendaki bukit tetapi sebelum ini tidak pernah mengalami sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, pengunjung dinasihatkan agar mengelakkan diri pergi berseorangan sebaliknya lebih selamat secara berkumpulan dan memilih waktu yang sesuai terutama untuk aktiviti pendakian.

“Orang ramai juga perlu meminta kad kuasa jika ada pihak mendakwa penjawat awam  supaya ia lebih selamat,” tegasnya. - KitaReporters


Mendaki Bukit Keluang salah satu aktiviti popular dalam kalangan remaja

46
40
26
14
23

Copy Link: