Pendakian ke puncak Gunung Rinjani! Cabar stamina, eratkan ukhuwah! Ekspedisi Rinjani 2024 berjaya!
Published bySEBAHAGIAN peserta ekspedisi bergambar di puncak Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia yang berketinggian 3,726 meter dari aras laut. - Koleksi gambar Ekspedisi Rinjani 2024 BKT & PBT Negeri Sembilan - KitaReporters
BERKETINGGIAN 3,726 meter dari aras laut, puncak Gunung Rinjani yang terletak di Lombok, Indonesia sentiasa menawarkan pengalaman pendakian yang dipenuhi keindahan pemandangan yang cukup memukau.
Maka, tidak hairanlah jika lokasi itu sering menjadi pilihan golongan pendaki tegar untuk menakluknya.
Baru-baru ini, sekumpulan 24 orang peserta telah menyertai Ekspedisi Rinjani 2024 anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Sembilan bermula 20 hingga 26 Mei 2024 lalu.
BACAAN doa sebelum memulakan misi pendakian yang mengambil masa 3 hari 2 malam.
Wakil penganjur merangkap Ketua Ekspedisi, Nurmarliza Mutalib berkata, program ini diilhamkan dengan objektif untuk meningkatkan tahap kecergasan serta mengeratkan jalinan ukhuwah dalam kalangan warga kerja BKT dan PBT di Negeri Sembilan.
"Selain itu, program ini juga bertujuan melatih diri untuk bekerja di dalam pasukan, belajar mengendalikan emosi dan mengasah sikap bertanggungjawab secara kelompok dan individu.
"Alhamdulillah, pendakian yang memakan masa selama 3 hari 2 malam berjaya memupuk semangat para peserta terutama dalam usaha menawan puncak Gunung Rinjani," ujar Nurmarliza yang juga merupakan Ketua Pembantu Tadbir BKT Negeri Sembilan.
Menurutnya lagi, melalui Ekspedisi Rinjani 2024, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan imej BKT dan PBT di Negeri Sembilan sebagai salah jabatan kerajaan yang aktif dalam aktiviti rekreasi dan sukan di samping melaksanakan tugasan utama kepada negara.
Secara keseluruhannya, ekspedisi tersebut disertai wakil BKT (6 orang), Majlis Bandaraya Seremban (6 orang), Majlis Perbandaran Port Dickson (10 orang) dan Majlis Daerah Jelebu (2 orang).
Pasukan itu turut menggunakan khidmat 4 orang Ketua Ekspedisi dari MORU Sdn Bhd di Nilai iaitu sebuah syarikat yang bergerak aktif dalam menawarkan perkhidmatan hiking kepada khalayak peminatnya.
PEMANDANGAN bukit bukau di sepanjang pendakian ke puncak Gunung Rinjani.
Bagaimanapun, tambah Nurmarliza seramai 5 peserta tidak berjaya sampai ke puncak atas faktor masalah kesihatan yang dihadapi ketika mendaki.
"Namun, semua peserta berjaya mendapatkan sijil sebagai kenangan menjayakan Ekspedisi Rinjani 2024," katanya.
Ditanya mengenai cabaran yang dilalui, Nurmarliza memberitahu, trip pendakian bermula di Jalur Sembalun dan turun melalui Jalur Torean.
"Antara cabaran yang kami hadapi di sepanjang Jalur Sembalun ini adalah tanah yang berdebu dan pendakian trek pacak yang agak panjang digelar Bukit Penyesalan.
ANTARA laluan sukar disebabkan struktur muka bumi berpasir dan berbatu memerlukan kekuatan mental dan fizikal setiap peserta.
"Kemudian cabaran pendakian ke puncak diteruskan seawal pukul 2.30 pagi. Secara umumnya, pendakian ini sangat mencabar kerana struktur muka bumi yang berpasir dan berbatu sekali gus memerlukan lebih banyak tenaga untuk meneruskan misi menawan puncak Rinjani.
"Selain itu, faktor cuaca yang sangat sejuk sedikit sebanyak memberi impak cabaran kepada para peserta untuk mengharungi perjalanan yang Panjang," jelas beliau.
WAKIL Majlis Bandaraya Seremban, Azizul Hakim memotret kenangan di puncak Gunung Rinjani yang berlatarkan pemandangan tasik kawah gunung berapi yang cukup indah dan berawan.
Salah seorang peserta, Azizul Hakim Mohamad Nor berkongsi, pendakian ke puncak Rinjani amat mencabar mental dan fizikal.
"Dengan cuaca yang sangat dingin, bahang matahari berada di atas kepala serta ruang udara yang dipenuhi dengan pasir dan batu kerikil, ia memerlukan kekuatan luar dan dalam diri setiap peserta.
"Apa yang pasti, perjalanan panjang dalam tempoh pendakian ke puncak Gunung Rinjani ini menemukan kami dengan panorama indah di pelbagai hentian, menelusuri tebing yang curam, kawasan bergaung, lembah menghijau dan bukit-bukau.
SALAH satu pemandangan air terjun yang dirakam peserta Ekspedisi Rinjani 2024.
"Semua itu membuktikan kebesaran Allah Yang Maha Bijaksana dalam mencipta alam semesta sekali gus membuatkan kami menginsafi betapa kerdilnya diri sebagai hamba-Nya," ungkap Azizul Hakim yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Sementara Nurmarliza berkata, untuk tempoh jangka panjang, program pendakian sebegini mungkin akan diteruskan sebagai salah satu acara dalam kalendar tahunan sebagai usaha menyokong industri pendakian negara. - KitaReporters