PAPA NI SWEET!! JOM MENYENDOL DALAM KUALI
Published byVIRAL di laman sosial Facebook sejak tiga tahun lalu menjadi antara penyebab warga Kuantan tidak perlu bersusah payah mencari CENDOL KUALI PAPA SWEET milik Razali Abu di Perkampungan Cenderawasih, Kuantan, Pahang. : KitaReporters.com
Tidak mengecewakan kala menikmati hidangan cendol dan laksa utara di kedai cendol milik Razali yang mendapat jolokan Papa Sweet
Jika ada yang bertanya lokasi kedainya di Facebook, 'laju' sahaja warganet lain memberi maklum balas!! Jarang sangat yang tidak tahu lokasi Papa Sweet Home Corner (Papa Sweet) dengan tagline terbarunya Cair Di mulut Sejuk Di Perut itu.
Teruja sangat kala melihat foto-foto cendol 'menggoda' yang terpampang di Facebook dan instagram.
Malah ramai pengguna Facebook dari luar Kuantan sentiasa 'mencuri' masa berkunjung ke Papa Sweet untuk sama-sama merasai keenakan cendol viral ini selepas tular mengenai kedainya di Facebook dan selain pernah mendapat liputan beberapa akhbar.
Peminat cendol pastinya pening kepala untuk memilih cendol yang mahu dinikmati kerana semuanya sedap-sedap belaka.
Cendol biasa, cendol buah campur dan cendol durian... sememangnya boleh buat kita meleleh air liur terutama dinikmati ketika cuaca panas!
Wartawan KitaReporters.com juga tidak ketinggalan untuk menikmati keenakan cendol yang dihidangkan berbeza dengan peniaga lain. Bukan dalam mangkuk plastik biasa tetapi dalam kuali gorengan! Janggal tak?
Thumb's up untuk Cendol Papa Sweet Home Corner
Angkat terus ibu jari (thumb's up) untuk menggambarkan keenakan cendol Papa Sweet.
Hanya perkataan ‘wow’ mampu diungkapkan kerana cendol pulut durian musang king, cendol pulut dan cendol ‘fruity’ serta laksa utara yang dihidangkan benar-benar memukau pandangan mata, sekali gus membangkitkan selera.
Razali berkata, idea menggunakan kuali itu bermula selepas menikmati hidangan mi dalam kuali di sebuah kedai makan ketika menetap di Pasir Gudang, Johor beberapa tahun lalu.
“Saya dan rakan mendapat idea berniaga cendol menggunakan kuali dan ternyata idea itu berjaya menarik minat pelanggan kerana kelainan dari segi 'persembahan' hidangan selain aisnya dapat bertahan lama.
Cendol durian memang menjadi kegilaan ramai walaupun harganya sedikit tinggi berbanding cendol biasa.
"Justeru, apabila saya berpindah ke sini (Kuantan) dan berjualan cendol, saya cuba gunakan konsep sama dan ternyata ianya diterima baik oleh pelanggan,” katanya yang turut membekalkan isi cendol kepada peniaga lain.
Razali, 47, berkata Papa Sweet menawarkan 20 variasi cendol yang pastinya menyukarkan pelanggan membuat pilihan kerana semuanya menggoda mata dan selera. Semuanya nampak sedap!!
Antara yang menjadi pilihan adalah cendol durian musang king, cendol durian, cendol pulut durian, cendol fruity, cendol ais krim, cendol pulut biasa dan pelbagai jenis cendol buah-buahan seperti mangga, pisang, betik dan nangka madu dijual antara RM5 hingga RM15.
Cendol durian campur buah-buahan tempatan memang menyelerakan untuk penggemar cendol.
"Walaupun harga cendol durian agak mahal terutama isi musang king (RM15) dan variasi cendol durian (RM12), tetapi itu bukan menjadi halangan peminat cendol untuk menikmatinya. Sesekali makan apa salahnya.
"Harganya (musang king) tinggi antara RM50 hingga RM70 sekilogram sementara durian kampung, D24, IOI dan udang merah pada harga antara RM15 hingga RM30 sekilogram. Mujurlah pelanggan faham mengapa cendol durian mahal," katanya yang berniaga di No 27, Lorong Bukit Setongkol 14, Taman Cenderawasih.
Razali berkata, setiap minggu dia perlu menyediakan stok isi durian antara lima hingga 10 kilogram, pelbagai jenis buah-buahan antara empat hingga enam kilogram, jagung mentah (lapan kilogram) kacang merah (10 kilogram) bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Cendol Aiskrim campur buah-buahan.
“Saya hanya menggunakan buah-buahan segar, jagung dan kacang merah serta isi cendol diproses sendiri untuk mendapatkan rasa lebih asli lagi segar.
“Apa yang penting kepuasan pelanggan dan kualiti hidangan. Walaupun untungnya kecil, saya berpuas hati apabila pelanggan menyukai produk kami dan mencadangkan pula kepada rakan lain untuk datang ke sini,” katanya yang memulakan perniagaan mulai jam 11 pagi hingga 7 petang setiap hari.
Menikmati hidangan cendol ketika waktu panas adalah satu nikmat yang tidak dapat diucapkan dengan kata-kata.
Bagi penyediaan air gula, Razali menggunakan empat jenis gula iaitu gula melaka, gula merah, gula kabung dan gula pasir yang secara tidak langsung menjadikan air gula berkenaan mempunyai rasa lemak manis.
“Ini adalah campuran yang saya gunakan untuk mendapatkan air gula terbaik untuk semua cendol dijual. Yang membezakan adalah pilihan cendol pelbagai mengikut selera pelanggan,” katanya yang dibantu oleh isteri, Mariam Mohamed, 49.
Rasa laksa utaranya memang buat pelanggan 'terangkat'
Selain cendol, Papa Sweet juga menawarkan menu istimewa laksa utara dalam tiga saiz berbeza iaitu laksa berapi dalam mangkuk kecil berharga RM3, laksa berasap mangkuk sederhana (RM5) dan laksa meletop dihidangkan juga dalam kuali (RM7) dengan pilihan telur rebus atau telur mata.
Selain itu, pelanggan juga mempunyai pilihan menikmati sajian popia lentoq (popia basah utara), kek kampung pelangi dan ais krim Malaysia.
Pelanggan sedang menikmati cendol kuali pelbagai variasi yang ditawarkan Papa Sweet.
Razali turut menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis hari jadi, perkahwinan dan sukaneka.
Dalam tempoh tiga tahun, Papa Sweet sudah menerima kunjungan hampir 5,000 pelanggan dari seluruh negara. Hebat kan!! Mereka sanggup bertandang dari jauh semata mata untuk menikmati cendol dalam kuali!! - KitaReporters.com
KALAU sebelum ini kita mengeteh, kini boleh menyendol pula.