GERAI NASI BAJET: MAI.. MAI!! HANYA RM4 SAHAJA
Published bySUDAH tiga tahun Mohd Saidi Ariffin, 51, berniaga nasi dan lauk pauk. Ketika orang lain meletakkan sasaran untung yang tinggi, dia hanya menyasarkan untung sederhana. Baginya berniaga juga satu ibadah dan berbuat kebajikan kepada pelanggan. : KitaReporters.com
GERAI Nasi Bajet Mohd Saidi di Jalan Danau Saujana, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Oleh kerana itu, konsep perniagaannya menekankan kepada harga sederhana dan dengan itu membolehkan lebih ramai datang membeli. Kerana itulah juga gerai nasinya di Jalan Danau Saujana, Danau Kota, Setapak, diberi nama ‘Gerai Nasi Bajet’.
Nasi bajetnya mengandungi nasi putih, sejenis lauk (ayam atau ikan tanpa mengira jenis ikan serta jenis masakan) dan sayur dengan harga RM4 sahaja.
Bagaimanapun jika ingin lauk daging kambing, harganya ialah RM5. Selain itu kuah diberi percuma.
Mereka yang hanya ingin membeli lauk sahaja pun boleh, iatu RM3 setiap satu jenis lauk. Namun dengan harga satu set penuh nasi RM4, orang ramai lebih suka membeli secara set.
MOHD SAIDI ARIFFIN
Ketika ditemui di gerainya, Mohd Saidi berkata, dia lebih menekankan jumlah jualan atau ’volume’ dalam perniagaannya, bukan untung terlalu tinggi.
Kerana itulah dia menjual nasi dan lauk pauk secara bajet supaya lebih ramai pelanggan datang.
“Apabila jualan tidak mahal, lebih ramai akan membeli. Dengan itu juga barang jualan lebih laris. Tidak mengapa untung sederhana asalkan jualan cepat habis,” katanya.
Beliau berpendapat, tidak bermakna jika menjual pada harga tinggi dengan harapan mendapat banyak untung tetapi tidak ramai pelanggan datang disebabkan faktor harga.
ENAKNYA pelbagai lauk pauk yang terdapat di gerai nasi bajet Mohd Saidi.
Tambahan lagi katanya, tempat di mana dia berniaga terletak dalam kawasan kediaman pelajar seperti Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UCTAR) dan Kolej Antarabangsa Sains Perubatan Pusrawi (PICOMS).
Menurut Mohd Saidi, itu juga antara sebab dia menjual dengan harga sederhana kerana ramai daripada pelanggannya adalah para pelajar ini.
Katanya, para pelajar mempunyai sumber kewangan terhad. Dia merasakan dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dengan harga jualan yang dalam kemampuan para pelajar tersebut.
LAUK daging kambing dimasak panas-panas di gerai nasi bajet Mohd Saidi.
Dia yang pernah bekerja di bahagian dapur (kitchen) Seri Pacific Hotel (dulu Pan Pacific) Kuala Lumpur memang pandai memasak.
Semua lauk pauk jualannya dia sendiri yang memasak.
Pilih sahaja lauk kegemaran anda, semua ada. Ayam goreng, ayam masak merah, ikan patin, ikan talapia, ikan keli, kambing bakar, cencaru sumbat belakang dan ikan bawal adalah antara lauk yang boleh pelanggan pilih.
Mohd Saidi yang berasal dari Sungai Mulia, Gombak, mempunyai peluang mencapai sehingga tahap ‘chef’ di hotel tempatnya bekerja dahulu.
Tetapi dia terpaksa berhenti setelah cedera akibat terjatuh ketika bertugas lalu bersara ilat.
SEBAHAGIAN lagi deretan lauk pauk menyelerakan yang boleh dipilih pelanggan di gerai nasi bajet Mohd Saidi.
Nyata gerai jualannya memang mendapat sambutan ramai apabila pelanggan mula bertumpu sebaik perniagaan dimulakan dalam pukul 11 pagi. Jika lambat datang kebanyakan lauk pauk sudah habis.
Mereka yang ingin merasai nasi bajet Mohd Saidi bolehlah datang mencuba.
Gerainya terletak berhampiran Surau Al-Falah Danau Kota serta tidak jauh dari Hospital Columbia.
Lokasi ini merupakan kawasan strategik dengan kondominium di sekeliling, di samping kedai-kedai perniagaan.
Ia juga merupakan laluan utama terus ke Jalan Genting Klang dan Jalan Langkawi yang menjadikan jalan ini sibuk dengan orang ramai lalu lalang atau menuju ke surau.
Walaupun di kawasan tersebut ada juga beberapa gerai makanan lain menjual nasi dan lauk pauk, gerai nasi bajet Mohd Saidi sentiasa menjadi tumpuan.
Gerai tersebut memang popular dan memenuhi cita rasa pelanggan. - KitaReporters
MOHD SAIDI melayani para pelanggan yang datang membeli nasi dan lauk pauk di gerai nasi bajetnya di Danau Kota, Setapak.