SELEPAS kenyang makan minum berbuka puasa. Anda dibenarkan bawa balik semua juadah yang disediakan pada hari itu dengan percuma. Agak pelik juga kan, mana ada hotel yang kita pergi makan pergi  macam "kenduri" berbuka puasa bersama keluarga, bayar duit dan tak cukup dengan itu, sila-sila tapau atau boleh bawa ole-ole lagi?

Jika anda mahu sambung makan lagi di rumah dan suka pula dengan setiap juadah yang disediakan itu, ambillah seberapa banyak anda mahu.

Ni bukan cerita nak "gula-gulakan" pelanggan supaya berbelanja berbuka puasa di Laman Tradisi, World Trade Centre (Pusat dagangan Dunia) Kuala Lumpur atau WTCKL tetapi memang itulah. Bagi pelanggan tetap, mereka tahu apa yang hendak dibuat, bawa tiffin atau siya (mangkuk tingkat) sendiri atau beli saja yang dijual di situ dengan harga RM59 hingga RM79 satu set.

Amalan bawa balik makanan itu hanya dibenarkan selepas jam 8.30 malam bagi memastikan semua pelanggan sudah mengambil bahagian masing-masing. Daripada buang, baiklah makanan itu dibawa pulang untuk bersahur.



Sekali lagi Opah hendak ucapkan tahniah dan bagi lima bintang kepada WTCKL masih mengekalkan amalan itu agar tidak membazir ketika  berbuka puasa. Laman Tradisi WTCKL tahun ni (2025) ketika Opah bersama anak-anak berbuka puasa pada 22 Mac 2025 lalu, "fullhouse". Dari serendah RM85 untuk warga emas hingga RM148 dewasa.

Ada lebih 300 sajian yang bermula dengan nasi kandar Saddam, nasi Mandi Yemen, kambing bakar, nasi ayam, lauk pauk ala-ala kampung, ulam-ulaman, kerabu perut, buah-buahan, segala aneka minuman panas dan sejuk sehingga segala sup, mi kari dan pemanis mulut. 

Sejak tiga tahun berturut-turut ini kali anak-anak hendak ikut bila Opah tanya, jom ikut berbuka di WTCKL. Melihat anak-anak seronok makan dan membawa pulang, baloi dengan belanja yang dikeluarkan. Hidangannya sudahlah enak, tempat duduk pun di ruang legar yang luas, cukup selesa.

Bagusnya adalah peluang membawa balik makanan itu, kita rasa tiada pembaziran. Menang-menang situasi. Kita bayar, makan dan jika hendak, ambillah sebanyak mana juadah untuk dibawa balik.


Kami ambil semua serba sedikit untuk rasa.


Tiffin itu ada lambang WTCKL hiasannya gambar bangunan di Kuala Lumpur. Hanya RM79 satu.


Selalu Opah akan bawa balik kambing bakar, manisan, lauk-pauk termasuk gulai daging, tumisan sayur, ayam, asam pedas ikan, daging serta masak tempoyak tenggiri. Kita tidak boleh makan sekali gus, semua yang dihidangkan itu tetapi bila dibawa balik, dibekukan atau dipanaskan semula untuk sahur. Senang kerja kita. 

Hati pun tak begitu marah walaupun bayar lebih RM100 seorang kerana sikap pemurah WTKC itu, Opah tak masak dua hari!

WTCKL mungkin antara yang memulakan tradisi membenarkan pelanggan membawa balik juadah berbuka puasa selepas mereka menikmati dengan limpahan makanan daripada pelbagai jenis menu dengan harga yang berpatutan. 


Untuk anak-anak yang mahukan gula-gula.


Cara ini menjadikan makanan yang dihidang itu tidak dibuang begitu saja sebagaimana yang sering berlaku ketika masa berbuka puasa setiap tahun sebelum ini.

Ramai umat Islam "marah" sampaikan ada yang mahu trend berbuka puasa di hotel ini diharamkan sebagai membantah bertan-tan makanan yang tak habis, dibuang dalam tong sampah. 

Sebab kata mereka, hotel tidak rugi pun kerana sebahagian hidangan itu sudah dibayar oleh pelanggan. Makan atau tidak, itu bukan urusan hotel. Sampai tutup waktunya, makanan itu dipunggah dan dibuang ke dalam tong sampah.


Ikan kering serba ada dan sambal, budu serta cincaluk disediakan.


Nasi Kandar Saddam dan Nasi Mandy Yemen pun ada tahun ini.


Bagi hotel ia mungkin sebahagian peraturan ketat menyediakan makanan. Jika lebih empat jam makanan itu dibimbangi tidak sesuai lagi, apalagi jika diberi kepada pelanggannya. Sistem ini dibuat di restoran makanan segera yang membuang  ayam yang dimasak, tidak dijual dan selepas melebihi had tempoh jualan.

Masalahnya kita semua tahukan, di hotel peraturan memasaknya lebih ketat berbanding di rumah. Dari segi kebersihan, barangan ayam, telor, daging, udang, ikan dan lain-lainnya mesti melalui pemeriksaan rapi. 

Bila kita ingatkan makanan itu ada hadnya, cuba kita bayangkan masak di rumah pula. Ada masanya lebihan masakan itu kita bekukan dan panaskan kemudian. Tiada masalahpun. Bukan salah siapa tapi kerana syarat ketat kebersihan itulah yang membuatkan makanan itu tidak disedekah walaupun ada banyak lebihannya. Bimbang keracunan dan disaman.

Opah masih ingat lagi, beberapa tahun lalu dilaporkan bertan-tan masakan itu dibuang dan ada pihak yang mencadangkan supaya lebihan makanan itu diberikan kepada mereka yang memerlukan.


Kambing bakar WTCKL kena cuba sebab sangat enak.


Bungkus dalam bekas plastik dan letakkan di meja depan hotel, siapa pun yang perlukan makanan itu boleh datang ambil.

Bukanlah lebihan pun sebaliknya boleh jadi satu sedekah yang baik sebab makanan itu macam kita bayar dahlah agak "mahal" dan yang ada tertinggal itu, patutnya bolehlah dikongsi dengan orang lain terutama orang miskin.

Mungkin ada yang kelaparan di luar sana. Sedikit makanan yang masih "segar" itu dapat mengenyangkan mereka seketika.



Hotel mungkin terfikir mereka akan disaman jika orang yang bawa balik lebihan itu, keracunan. Jika begitu, bermakna pihak hotel tidak mempunyai prosedur yang baguslah sepanjang tempoh menyediakan makanan itu.

Bulan puasa atau Ramadan ini yang sangat mulia. Kita berbuka bersama keluarga secara bufet itu bukan saja memeriahkan sambutan, menghabiskan masa, mencipta memori dengan keluarga tetapi yang penting memastikan ekonomi berkembang pesat selama 30 hari itu. 

Tengok saja, semahal manapun keluhan pengguna, pasar Ramadan, bazar raya malah bunga api laris bagaikan pisang goreng. 

Ramadan dekat Laman Tradisi WTCKL akan menjadikan iftar satu memori yang tidak dapat dilupakan oleh Opah sekeluarga hasil kombinasi fiesta, budaya dan kebersamaan. 

Selamat berbuka! - KitaReporters


10
11
0
5
0

Copy Link: