SELEPAS musim menuai padi berakhir, kini muncul semula acara tahunan Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang (Pesta Padi Pulau Pinang 4.0) di Kampung Terus, Guar Perahu, Penanti, Pulau Pinang.

Festival yang berlangsung buat kali keempat sejak dilancarkan pada tahun 2018 amat dinanti-nantikan oleh penduduk-penduduk sekitar Pulau Pinang terutama ‘Orang Seberang Perai’.

Kerajaan negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan lain termasuk swasta harus diberi pujian dan sokongan kerana kejayaan mereka mengadakan pesta padi Pulau Pinang ini setiap tahun. 

Ia juga merupakan satu usaha dan inisiatif terbaik bagi memberikan nilai tambah atau added value kepada populariti 'Pulau Mutiara' sebagai satu destinasi dan produk pelancongan tempatan yang menarik untuk dilawati.

Pesta ini juga secara tidak langsung  berperanan bagi memperkenalkan terutama generasi muda mengenai sejarah, warisan, budaya serta kehidupan pesawah-pesawah padi khususnya di kawasan Seberang Perai


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tanaman padi

MENARIK DAN UNIK - Pelbagai bentuk arca jerami padi dipertandingkan di Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0  di Kampung Terus, Guar Perahu, Penanti, Pulau Pinang.


Pesta Padi Pulau Pinang atau Penang Paddy Festival  berlangsung selama tiga hari bermula secara rasminya pada 22 hingga 24 Julai 2022 dan dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong-pelancong tempatan dan luar negara.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan membuat arca jerami padi, menangkap ikan di bendang, bola sepak bendang, permainan tradisional, sukan rakyat, sukan memanah, pertunjukan silat, berkuda, berbasikal dan lain-lain. 

“Rugi tau! kalau hampa tak mai, macam-macam ada,” kata salah seorang pengunjung yang teruja datang menyaksikan kemeriahan Pesta Padi di Kampung Terus.

“Apa salahnya mai di sini (Kampung Terus) setahun sekali pakat pi tengok depa (peserta-peserta pertandingan) buat arca jerami padi yang unik dan menarik,” jelas wanita separuh abad yang lebih mesra disapa panggilan ‘maklong’.


Sebahagian para pengunjung yang datang beramai-ramai teruja menyaksikan pelbagai reka bentuk  arca daripada jerami padi yang terdapat di tapak ‘Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang’ di Kampung Terus, Penanti. - kredit foto: Penang Kini.


Terdahulu, penulis ingin menceritakan sedikit latar belakang sejarah ringkas mengenai tapak ‘Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang’ di Kampung Terus, Penanti.

Pihak penganjur yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, juga sebagai Pengerusi Program, Dr. Norlela Ariffin telah memilih lokasi tersebut (Kampung Terus) sebagai tapak pesta kerana ia merupakan tapak warisan padi tertua di Seberang Perai sejak tahun 1800.

Almarhum Sultan Kedah ketika itu telah menghantar rombongan yang diketuai adinda baginda  Tengku Sulaiman bersama-sama rombongan seramai 45,000 pesawah-pesawah terbaik dari negeri Kedah untuk memperkenalkan tanaman padi di Kampung Terus dan juga termasuk beberapa buah kampung  kawasan sekitarnya yang berdekatan Sungai Terus.

Justeru, tidak hairanlah mengapa kerajaan negeri bersungguh-sungguh memberi sokongan, galakan dan insentif kepada para pesawah untuk meneruskan usaha penanaman padi; kerana objektif utamanya adalah menentukan hala tuju dan mengekalkan sektor pertanian khususnya tanaman padi di kawasan ini.


Barisan para juri terdiri daripada ADUN Penanti YB Dr. Norlela Ariffin sedang membuat pemarkahan kepada para peserta dalam acara Pertandingan Arca Jerami Padi di Kampung Terus, Guar Perahu, Penanti. - Kredit foto: FB YB Dr. Norlela Ariffin.


Lakar Layang Studio bersama Batu Belah Art Community dari Klang, Selangor telah memenangi Aunugerah Khas Kreatif  dalam Pertandingan Membuat Arca Jerami Padi di Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang di Kampung Terus, Penanti, Pulau Pinang. - Foto kredit FB Nor Faizatulaini.


Malah penganjuran ‘Pesta Padi’ ini juga dapat mempelbagaikan pendapatan dan membangunkan pelancongan warisan padi, pelancongan sungai, agropelancongan,  dan pelancongan desa serta bersesuaian dengan temanya ‘Padiku, Warisanku Rezekiku’ dan sekali gus bagi menjamin kelangsungan pengeluaran makanan atau ‘food security’ pada masa hadapan di negeri ini. - KitaReporters


Apa lagi pakat ramai-ramai masuk ke dalam bendang menangkap ikan tanpa menghiraukan kotor lumpur, panas terik matahari, pacat dan sebagainya. Apa yang penting dapatkan ikan-ikan segar air tawar buat habuan lauk untuk keluarga. - Kredit foto: Nibong Tebal Press.


TARIK.. Acara tarik tali  sudah menjadi acara kegemaran yang ditunggu-tunggu oleh setiap lapisan masyarakat dan tidak asing lagi dalam sukan rakyat atau sukaneka yang dianjurkan oleh mana-mana penganjuran pesta, karnival, festival dan lain-lain. - Kredit foto: FB Penduduk Sungai Petani.

18
14
0
10
0

Copy Link: