Penyelam berbincang mengenai persiapan untuk menyelam di Pulau Perhentian, Terengganu pada 22 Jun 2024 ini.


Oleh ARIFF ISMAIL


Mengutip sampah sarap di dasar laut memang kerja gila?  Pada zaman moden ini, anologinya samalah dengan cerita dongeng kebodohan Pak Pandir, yang melakukan kerja yang sia-sia. 

Begitu juga dengan kisah hantaran perkahwinan tujuh dulang hati nyamuk dan tujuh dulang hati kuman dalam hikayat Puteri Gunung Ledang yang mustahil boleh dikumpulkan. 

Namun, seramai 30 sukarelawan penyelam akan membuktikan mereka bukan melakukan kerja gila atau sia-sia. Mereka akan menyelam di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu pada 22 Jun 2024 ini dengan misi besar untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai pentingnya usaha memulihara alam sekitar - di daratan atau di lautan.

Dalam program antarabangsa Menyelam untuk Mengutip Debri (DAD) (Dive Against Debris) anjuran Yayasan Salam Malaysia (Salam), Black Eye Scuba Team (BEST) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Besut itu, mereka akan membuktikan misi mereka akan berjaya dan bukan sia-sia. 

Debri adalah segala bentuk barang buangan yang dicampakkan ke laut dan mendap sebagai sampah sarap.


Azhar Hussein


Ahli Geologi, Profesor Azhar Hussein, 71, yang akan menyelam nanti berkata bukan soal jumlah debri yang akan dikutip perlu ditekankan. Lebih penting ialah sejauh mana rakyat mengambil berat soal pencemaran laut dan apakah peranan yang perlu dimainkan oleh setiap individu bagi memastikan laut sentiasa bersih.
Mantan pensyarah Universiti Malaya (UM) yang kini jurulatih penyelam itu berkata disebabkan program DAD ini mengumpul data, ia amat penting untuk mengetahui bentuk dan jenis debri dan mengesan puncanya.
“Di kawasan perairan berhampiran kampung atau jeti nelayan,  kita mungkin menemui banyak pukat hantu (ghost nets) yang tersangkut di terumbu karang selain kotak ikan dan peralatan menangkap ikan yang dibuang, manakala di kawasan peranginan, mungkin banyak ditemui pelbagai jenis botol, plastik, tin bekas minuman, bungkusan plastik dan sebagainya. 

"Jika tidak jauh daripada bandar pula, bermacam barang buangan akan ditemui,” katanya sambil menjelaskan semua ini penting untuk bahan kajian.

Tanpa data, katanya, tidak ada pihak yang tahu apa sebenarnya berlaku di dasar laut.
Beliau menyifatkan program DAD adalah salah satu cara untuk menyedarkan orang ramai supaya tidak membuang sampah sarap di merata tempat termasuk di sungai dan laut.
“Mustahil kita boleh membersihkan debri di laut yang begitu luas. Tetapi, kita boleh didik manusia supaya tidak membuang sampah ke laut,” katanya.
Ketika penyelam mengutip sampah di dasar laut, kira-kira 100 sukarelawan termasuk dari Iraq, Jordan, Pakistan, Nigeria dan China akan mengutip sampah di Long Beach di pulau itu, sebahagian daripada program itu. 

Pada sebelah petang mereka akan berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian, Kampung Nelayan untuk menyantuni murid-murid yang akan disajikan dengan ceramah mengenai pemuliharaan laut.


Nur Saifullah Noor Azahar


Nur Saifullah Noor Azahar, 29, pula menyifatkan program menyelam sambil mengutip debri ada kaitan dengan tugasnya sebagai anggota Unit Khas Skuad Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Disebabkan beliau ada lesen menyelam, setiap kali berlaku bencana atau nahas melibatkan air seperti banjir, kejadian lemas dan sebagainya, beliau adalah salah seorang yang ditugaskan dalam misi menyelamat atau mencari mangsa yang hilang, tidak semestinya di Kuala Lumpur semata-mata tetapi juga di seluruh negara, jika berlaku bencana besar.
“Program DAD ini mencabar kemampuan saya, walaupun sekadar bertarung dengan lambakan debri, bukan nyawa manusia, tetapi ia adalah pengalaman sangat berguna kepada kerjaya saya,” katanya yang sering berlatih menyelam di Tasik Titiwangsa.

Ramley Atan


Ramley Atan, 34, yang mengakui ini adalah kali pertama menyelam untuk mengutip debri, berkata dia sanggup menjalankan kerja sukarela ini sebagai tanda sokongannya untuk menyelamatkan laut daripada terus tercemar.

Menurutnya, disebabkan misi ini diadakan dalam suasana Hari Raya Korban, saya anggap ini adalah pengorbanan saya untuk menyedarkan masyarakat supaya sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar. 

Ia juga sumbangan penyelam kepada sektor pelancongan yang memerlukan laut sentiasa bersih. Pulau Perhentian adalah salah satu destinasi menyelam yang perlu dijaga kerana ia sering dikunjungi pelancong dari seluruh dunia.


Mohd Farhan Faidy Usri


Mohd Farhan Faidy Usri,  31 pula berkata beliau sanggup menyelam kerana sedar ini adalah tanggungjawab setiap individu.

“Kita tidak boleh mengharapkan orang lain melakukan tugas ini dan orang itu pula mengharapkan orang lain pula membuat kerja itu,” katanya..
Beliau yang sering membuat bahan-bahan siaran berkaitan alam sekitar dalam media sosial berkata ketika berada di bawah laut yang bersih ia begitu menenangkan fikiran dan boleh menghilangkan tekanan. Ini adalah kali kedua beliau menyertai DAD,

Meor Syarifuddin Meor Syazali


Sementara itu, Meor Syarifuddin Meor Syazali, 25, berkata dalam misi ini beliau akan menyelam dan menjadi pilot (juruterbang) dron.

Katanya, setelah selesai mengambil gambar dron dari atas bot, beliau akan menyelam dan mengutip debris, dan bila naik semula ke atas bot menyambung semula tugas pengedali dron.

Muhammad Yusri Ahmad Jalaluddin


Muhammad Yusri Ahmad Jalaluddin, 32 pula berkata disebabkan ini adalah pertama kali beliau mengambil bahagian dalam program DAD di laut terbuka dan menyelam 30 meter di dasar laut, menjadi pengalaman berguna kepadanya.
Baginya, tugas ini adalah sumbangan dan sokongannya kepada kelestarian alam sekitar.
Bagi memenuhi matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangssa-Bangsa Bersatu (UNSDG), debri yang dikutip akan diasing, ditimbang dan direkodkan, kemudian data mengenainya dihantar ke pertubuhan itu melalui Padi Aware Foundation, badan yang menyelia kegiatan DAD, selain untuk kegunaan Taman Laut, Jabatan Perikanan. - KitaReporters

11
7
0
12
0

Copy Link: