TULAR dalam media sosial berkenaan isu kontroversi melibatkan sebuah syarikat swasta yang mengiklankan ibadat korban lembu Wagyu Miyazaki yang berharga RM29,999 satu bahagian. Harga satu bahagian korban yang mencecah hampir RM30,000 tersebut nyata jauh lebih mahal berbanding harga satu bahagian korban lembu biasa yang berharga sekitar RM700-800. : KitaReporters

Iklan ibadat korban daging Wagyu yang mencetuskan kontroversi.


Hal tersebut menyebabkan ramai netizen tidak berpuas hati kerana menyifatkan ia terlalu mahal. 

Namun menurut iklan tersebut, ibadat korban lembu Wagyu Miyazaki itu dibuka kepada sesiapa yang mampu dan ingin mencuba sahaja. 

Kontroversi itu telah menimbulkan persoalan apakah hukum ibadat tersebut di sisi agama kerana ia kelihatan menindas atau disebut ‘kapitalis’.

Justeri bagi menjawab persoalan orang ramai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi Facebook dan Instagram telah memperjelaskannya secara terperinci.



Menurut Dr Zulkifli, dia telah ditanya berkenaan isu tersebut ketika hadir menyampaikan agihan daging anjuran sebuah syarikat swasta.

“Semalam, (Sabtu, 4 Julai 2020), semasa menyampaikan agihan daging anjuran Mitron Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, saya ditanya berkenaan pelaksanaan ibadat korban dengan menggunakan lembu Wagyu.

“Saya menjawab bahawa hukumnya harus dan dibolehkan jika menepati kesemua syaratnya

"Walaupun begitu, saya terpanggil untuk memperincikan jawapan ini dalam ruangan al-Bayan agar kefahaman kita lebih jelas dan dalam masa yang sama dapat memahami realiti dan waqi’ semasa ketika ini di Malaysia,” tulisnya.

(AL-BAYAN SIRI 11: IBADAH KORBAN DENGAN LEMBU WAGYU)


Antara inti pati yang terdapat dalam ruangan al-Bayan mengenai ibadah korban daging Wagyu adalah seperti berikut:

“Pada asasnya, ibadah korban dengan lembu Wagyu adalah tidak menjadi masalah sekiranya individu itu benar-benar berkemampuan.

“Seseorang itu dibolehkan untuk melakukan ibadah korban dengan unta, lembu Wagyu dan sebagainya, tetapi dengan syarat mestilah berkemampuan dan tidak sampai pada tahap berhutang.

“Sesungguhnya, Islam amat menggalakkan penggunaan haiwan yang terbaik dan sihat dalam melakukan ibadah korban.

“Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kambing kibasy putih bagus yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta meletakkan kaki Baginda di tengkuk kibasy tersebut.” Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966).


Jadi, dengan penjelasan ini diharap tiada lagi kecaman atau kata-kata kesat dilemparkan kepada pihak penganjur.

Sekiranya anda mampu, tak salah untuk menyertainya. 

Namun, kalau sebaliknya atau sehingga terpaksa berhutang semata-mata mahu kelihatan ada ‘kelas’ atau daripada golongan ‘kayangan’, baik lupakan sahaja! - KitaReporters

3
0
0
0
1

Copy Link: