Pelbagai perisa skon dijual di Cameron Highlands



Kita ingatkan Cameron Highlands hanya terkenal kerana strawberinya yang tumbuh tersusun bak "bunga" dan boleh dipetik bila-bila masa dan rasa yang begitu manis. Hargapun boleh tahan murah dan tiba-tiba teringat kisah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang dipikat dengan strawberi cicah coklat, menjadikan buah tu begitu mewah sebagai lambang cinta.

Malah ada pula cerita strawberi Cameron Highlands ni tak boleh dibawa "turun" dari gunung dengan alasan cukuplah makan saja di tanah tinggi itu. Kalau dibawa balik buah akan jadi "masam".

Petua yang agak peliklah. Kalau Cameron Highlands saja dapat kekalkan kemanisan buah itu, bermakna orang yang mahu menikmati buah itu, kenalah "panjat" bukit itu untuk petik dan nilah yang menjadikan Cameron Highlands terkenal dengan strawberi yang manis.

Dalam hal ini kita juga boleh terlupa bukan buah strawberi saja, ada banyak lagi yang boleh dijadikan tarikan untuk pelancong mengunjungi tanah tinggi itu. Ini termasuk skon, aiskrim strawberi, jus strawberi dan nasi lemak strawberi serta secangkir teh O panas atau teh tarik perisa itu yang segar dari ladang.



Sewaktu ke Cameron Highlands awal Disember 2024, cuaca di puncak tanah tinggi dingin sangat. Tidak banyak kerap hujan dan orang yang berkunjung pun tidak begitu sesak. 

Sebabnya ramai bimbang dengan laporan tanah runtuh, cuaca tidak menentu dan "tiada ada yang boleh dibuat" musim tengkujuh dari Disember hingga Januari.

Opah suka sangat dengan skon. Bila dibelah dua dan disapu jem strawberi dan makan sambil menikmati segelas teh tarik, oh rasa macam di bumi Inggeris kerana itukan sarapan pagi yang mengenyangkan. 

Skon ialah sejenis roti cepat/kek yang biasanya dibuat daripada tepung gandum, barli atau mil oat dengan serbuk penaik sebagai agen pengikat dan dibakar di atas kuali leper.

Bercuti di sini, sangat menyeronokkan sepertinya kita tidak perlu bersusah payah untuk keluar negara semata-mata mencari cuaca dingin kerana di Cameron Highlands semua ada, kecuali salji. 

Dengan udara sejuk segar dan pemandangan hijau yang saujana mata memandangnya berserta dengan limpahan makanan halal, buah-buahan dan sayuran segar yang murah.


Aiskrim strawberi



Cameron Highlands dalam daerah Pahang merangkumi kawasan seluas 712.18 square kilometer, sempadannya Kelantan dan Perak dan tingginya 1,830 meter (6,004 kaki) paras laut.

Skon dijual merata-rata tempat. Hampir setiap gerai yang menjual buah-buahan, sayuran atau singgah ke ladang teh, skon menjadi hidangan utama selain juadah biasa.Empat biji skon dijual dengan harga RM25 dan empat batang airskrim yang agak besar juga saiznya pula dijual RM20.

Kalau mahu skon, aiskrim yang segar singgah saja di Opah Strawberi sebab ada tempat demonstrasi membuat skon, aneka perisa skon yang dibungkus atas permintaan atau sudah siap dibungkus dalam bentuk mini dan biasa. Ada perasa onde-onde dan pandan.

Manakala airkrim perisa strawberi dengan coklat juga paling diminati oleh pelancong. Tak sah kalau tak singgah di kedai aiskrim dan sana-sana daripada kanak-kanak hingga orang dewasa mereka tak lekang daripada pegang aiskrim yang dinikmati di tengah cuaca menggigil. 

Belum masuk ke tempat menjual buah-buahan yang sedang dipromosi sekarang adalah ubi manis yacon (rasa macam sengkuang tapi lagi manis), epal jambu, kacukan epal strawberi Cameron Highlands dan pelbagai jenis sayuan segar yang dijual murah.



Ini kali kedua singgah, sebelum ini Opah cuma lalu saja ke Cameron Highlands dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang. Kami singgah dan beli aiskrim strawberi yang dibungkus plastik macam airkrim Malaysia. Perisa asli jus strawberi.

Takut sebenarnya kali pertama sampai kerana perjalanan berliku sebab pilih "jalan belakang" yang sangat menakutkan. Bukan saja lalu di lereng bukit yang sangat sempit, jurang ke gaung hanya beberapa meter dari roda kereta. Tu belum bertembung kenderaan lain, silap kawalan stereng, gaungnya dalam hutan belantara. 

Di sepanjang jalan ada batu besar yang jatuh dari gunung di tepi jalan! Satu saja yang memikat ialah adanya air terjun di satu simpang dan sungai di puncak gunung. Takungannya kalau pecah tak boleh bayangkan betapa ngerinya kesannya.

Namun kali ini kami melalui jalan Simpang Pulai. Jauh sedikitlah tapi jalannya sangat baik. Walaupun ada laporan tentang tanah runtuh tetapi kerja-kerja membaiki dan menyelenggarakan sangat laju mereka buat.

Disebabkan cakap-cakap beginilah, ramai pelancong enggan berkunjung di musim tengkujuh November hingga Januari, bimbang keselamatan dan tanah runtuh. 

Cuma pandangan Opahlah, cuba elak daripada memandu waktu malam kerana tiada lampu sepanjang jalan yang bersimpang siur dan jika berlaku kerosakan, mendapatkan bantuan juga rumit berbanding pada siang hari, peronda lebuh raya sentiasa kelihatan. Ada dua tiga kereta tersadai tepi jalan waktu malam itu

Tapi Opah datang ketika masa baik, kerja membaiki tanah runtuh itu sudah siap dan banyak jalan di sepanjang ke tanah tinggi itu sedang giat dilebarkan dan lereng bukit ditambak.

Berbeza Cameron Highlands dengan Bukit Fraser, Genting Highlands, Bukit Tinggi ialah kawasan itu menawarkan lebih banyak tempat menarik dan  memaparkan kehidupan di kawasan kampong Melayu, China dan jika kita ke pusat percutian itu, kita kena duduk di sini lebih dua tiga hari untuk mendapat kepuasan,

Ada kawasan perkampungan Melayu itu kita boleh makan nasi lemak Restoran Abg Strawberi, Opah Strawberi manakala kawasan padat penduduk China ialah di Kampung Raja. 

Manakala di tengah "bandar" lebih kepada selerakan restoran diusahakan oleh peniaga Melayu dan bangsa-bangsa lain. Ada 7 Eleven, steamboat, kios makanan segera dan kios jus strawberi serta pusat kewangan skala kecil serta dobi dan tempat kanak-kanak untuk beriadah. Jangan terkejut ada kiosk kopi Turki lagi.



Difahamkan ada tiga ladang di sini termasuk ladang Boh di Sungai Palas dan kami sempat melawat ladang strawberi milik seorang penguasaha India, kawasan bazar agro-farm dan pusat niaga di tengah bandar. Kebetulan hari tak ramai pengunjung ada restoran ditutup. 

Ramai peniaga mengadu orang tak datang sebab dengar kes tanah runtuh dan sayuran dan buah-buahan dijual lelong saja.

Masuk ke ladang strawberi milik orang India itu adalah percuma dan bolehlah sambil-sambil makan pagi itu, melihat pemilik ladang memetik sayuran yang ditanam secara hidroponik dan buah-buah strawberi masih menghijau. 

Tak cukup ladang strawberi, anda boleh ke ladang teh Boh yang turut menyediakan  senario minum teh segar di beranda restoran, membeli cenderahati. Tapi kena ingat, ladang Boh hanya dibuka sampai jam 6 petang saja.

Opah sempat menikmati secangkir teh segar dari ladang. Petugas restoran itu siap memberitahu, "Teh tarik kami tidak sama rasa macam kedai mamak, ya Puan,". 

Alhamdulillah rasa teh macam dibuat kat dapor rumah Opah, secukup bauan daun tehnya, manis seadanya dan enaknya, ada pula mi kari dan kek. Makan pula di beranda yang kerap menjadi lokasi iklan dan penggambaran filem.

So Opah nak ajak anak-anak semua, datanglah ke Cameron Highland, ada homestay yang murah sehingga hotel mewah. Kita bangga bumi Malaysia ada semua pantai yang landai, hutan belantara, gunung ganang dan kawasan percutian dengan cuaca dingin yang senikmat-nikmat hidup untuk dihargai. - KitaReporters


15
11
0
7
0

Copy Link: