Perkhidmatan beca di Bandar Hilir bakal menampilkan imej lebih menarik dan selesa apabila Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) memperkenal garis panduan baharu kepada 255 pengayuh beca bermula tahun depan (2025).

Garis panduan tersebut melibatkan pakaian seragam kepada kesemua pengayuh beca, bunyi muzik yang memekakkan telinga dikurangkan, kadar bayaran kurang daripada RM50 bagi tempoh sejam dan tujuh lokasi pusat hentian beca untuk dinaiki pelancong.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, peraturan baharu yang diperkenal itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) Beca MBMB 2024 yang telah diwartakan pada Jun 2024 lalu yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan produk pelancongan utama itu.


Shadan Othman (tengah) menunjukkan buku garis panduan baharu khusus untuk pengayuh beca di Auditorium MBMB.


"Kita memperkenal garis panduan baharu ini kerana MBMB banyak menerima kritikan daripada pelancong mengenai pelbagai masalah yang timbul di sekitar Banda Hilir.

"Tujuan MBMB ini bukan ingin menganiaya mana-mana pihak tetapi kita nak memastikan pendapatan pengayuh beca ini terjamin dan pengunjung akan menjadi lebih selesa datang ke Melaka untuk melancong," ujarnya dalam sidang akhbar di Auditorium MBMB baru-baru ini.

Shadan berkata, menerusi garis panduan baharu itu telah menetapkan hanya pengayuh beca berdaftar berusia antara 18 hingga 70 tahun boleh memohon lesen bermula bulan September 2024 ini sehingga Disember 2024.

Menurutnya, pengayuh beca berusia 70 tahun bagaimanapun perlu mengemukakan laporan kesihatan daripada hospital, klinik kerajaan dan swasta sewaktu memohon atau memperbaharui lesen yang tamat Disember ini.

Beliau berkata, bagi kadar bayaran beca yang ditetapkan pula tidak melebihi RM50 bagi satu jam perjalanan jika lebih daripada tempoh masa itu terpulang kepada pengayuh beca mengenakan bayaran tambahan.

Selain itu katanya, pengayuh beca boleh beroperasi di mana-mana tujuh pusat hentian yang dibenarkan iaitu bagi zon bebas kenderaan di Menara Taming Sari, Melaka Historical Vechile Park, Medan Samudera, Dataran Sungai Melaka, Bangunan Stadhuys, Bangunan Madonna dan Hard Rock Cafe.


Bangunan Stadhuys adalah antara tujuh hentian beca yang ditetapkan untuk beroperasi.


Jelasnya, pengayuh beca juga turut diwajibkan memakai pakaian seragam yang akan diberikan oleh MBMB secara percuma.

"Kira-kira 255 beca yang berdaftar perlu menjalani proses temu duga termasuk menjalani saringan kesihatan, wajib mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila memperbaharui lesen mulai September 2024 ini,” katanya.

Selain itu katanya, usaha yang dilakukan itu juga bertujuan untuk menghalang pengayuh beca sambilan daripada beroperasi setiap hujung minggu hingga menjejaskan punca pendapatan pengayuh beca berlesen.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak aduan berikutan kemunculan pengayuh beca sambilan yang dianggarkan mencecah lebih 10 orang.

"MBMB juga menerima aduan pengayuh beca bukan warganegara turut mengambil kesempatan mencari pendapatan di sekitar Banda Hilir," ujarnya.

Selain itu katanya, menerusi garis panduan baharu itu pengayuh beca perlu mengehadkan bunyi muzik tidak melebihi 65 desibel serta memasang lagu tradisional dan had kelajuan maksimum pula ditetapkan ialah 5 kilometer (km) sejam. - KitaReporters

 

13
13
0
13
0

Copy Link: